Perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur melalui lebuh raya utara-selatan mengambil masa yang agak panjang jika menggunakan motosikal. Apatah lagi jika motosikal itu berkuasa rendah seperti Kriss atau EX5. Lebih kurang 390 kilometer dalam masa tujuh jam. Tempat berhenti untuk penunggang motosikal lebih banyak daripada kenderaan lain kerana bawah jejambat dan tempat rehat&rawat (R&R) boleh digunakan oleh mereka.
Walaupun ruang berehat di bawah jejambat tidak besar, ia membantu penunggang motosikal merehatkan diri, menyejukkan enjin dan menghilangkan sejuk terkena angin semasa merentas perjalanan jauh. Jarak satu jejambat ke jejambat seterusnya tidak menentu. Ada yang mengambil masa 30 minit dan ada yang sehingga sejam setengah barulah berjumpa satu lagi jejambat. Bayangkan jika jaraknya begitu, tiba-tiba datang hujan dan ribut, penunggang motosikal terpaksa meredah hujan dan petir sehingga berjumpa jejambat yang paling hampir. Bagi penunggang yang tidak bersedia dengan baju hujan, terpaksalah menggigil kesejukan.
Apabila sampai di Kuala Lumpur, semua anggota badan kesejukan dan kulit sudah kecut khususnya tapak tangan. Kadangkala terasa kebas dua tiga hari. Kasut yang dipakai tentu basah dan perlu dijemur sehingga kering. Kalau gam tidak kuat, belanja untuk melekatkan bahagian yang lekang terpaksa dikeluarkan.
Susah dan payah yang dialami oleh penunggang motosikal wajar mendapat perhatian PLUS kerana mereka juga menjadi pengguna lebuh raya yang aktif dan menyumbang kepada pembangunan negara. Adalah amat baik jika PLUS dapat menyediakan wakaf bagi setiap 20 hingga 30 minit perjalanan bagi mengelak penunggang motosikal basah kuyup kerana hujan di tengah perjalanan. Wakaf ini boleh diselang-seli dengan jejambat sedia ada. Luas wakaf pula boleh diseragamkan supaya kos pembinaan dapat diminimumkan.
Terdapat satu wakaf yang memberi keselesaan kepada penunggang motosikal di antara plaza tol Serdang dan Sungai Besi. Bentuk wakaf yang sama boleh disediakan di sepanjang lebuh raya utara-selatan bermula dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Johor Bahru.
Pembinaan wakaf seperti itu dapat mengurangkan kemalangan jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal kerana mereka dapat merehatkan diri dan menyambung perjalanan dalam keadaan segar. Ia juga menunjukkan PLUS sangat prihatin dengan kehendak pengguna yang mengharapkan perjalanan yang lancar.
No comments:
Post a Comment