MJ bakal menjadi sebahagian daripada lagenda artis dunia moden kerana jualan album-albumnya yang berjumlah jutaan unit. Kita tidak pernah mendengar artis tempatan negara kita dapat menjual album sebanyak itu kerana pasaran album di Malaysia adalah kecil berbanding MJ di mana pasarannya adalah seluruh dunia hingga ke pekan kecil di luar banda pun akan ada kaset MJ. Walaupun albumnya tidak banyak namun jangka hayat setiap album adalah panjang.
MJ terkenal kerana mencipta tarian unik yang dipanggil moonwalker dan menjadi tanda pengenalan persembahannya. Tarian ini sering ditiru sehingga terdapat kelas khusus untuk menggayakannya. Selain tarian, persembahan MJ ditandai dengan gerakan yang tepat, bertenaga dan semangat pasukan yang mantap.
Di televisyen, Internet dan surat khabar, kita dapat membaca sejarah hidup artis ini. Menariknya ialah kesediaan MJ mengucap dua kalimah syahadah dan menjadi seorang muslim. Walaupun MJ digilai ramai golongan muda-mudi, tindakannya memilih Islam sebagai cara hidup tidak pula menjadi ikutan golongan tersebut. Dari dulu hingga sekarang, tidak terdengar berbondong-bondong peminatnya yang mencari imam dan masjid untuk mengucapkan kalimah syahadah.
Lebih misteri lagi ialah kita tidak dapat melihat bagaimana kehidupan MJ selepas bergelar muslim. Adakah dia menunaikan solat lima waktu sehari semalam? Adakah dia menghadiri sebarang kelas agama untuk menambah kefahaman agamanya? Apa yang berlaku kepada anak-anaknya, adakah mereka juga menjadi seorang muslim? Persoalan-persoalan ini akan terus menjadi misteri jika kehidupan peribadinya tidak didedahkan kepada umum.
Setiap kejadian ada hikmahnya. MJ menerima Islam sebagai cara hidup setelah yakin dengan pilihannya. Walaupun sukar menguruskan kehidupan baru, MJ sama seperti saudara baru yang lain iaitu beliau perlu berusaha untuk memahami Islam supaya hayatnya akan bermakna. Lahir sebagai seorang kristian dan mati sebagai seorang Islam adalah peristiwa yang sangat menakjubkan, peristiwa yang menunjukkan kasih dan sayang Allah SWT kepada seorang hamba-Nya. MJ bertuah kerana dipilih Allah SWT untuk menerima limpahan rahmat dan hidayah.
Selain MJ, beberapa artis ternama seperti Madonna dan Tom Cruise juga memilih cara hidup masing-masing dalam beragama. Selebriti yang dilimpahi kemewahan hidup tidak kisah dengan rumah dan kereta yang mahal kerana mereka mampu membelinya. Namun untuk mendapat ketenangan jiwa, wang berjuta-juta tidak dapat membeli ketenangan yang diimpikan. Mereka perlu mencarinya sendiri dengan mengamalkan prinsip dan amalan agama berkenaan.
Bergerak dari satu agama ke satu agama yang lain adalah biasa. Namun setelah berjumpa dengan Islam, kebanyakannya akan berhenti di situ. Mereka tidak lagi mencari agama lain. Justeru dapat disimpulkan bahawa kembara hidup seseorang artis bukanlah menjadi penghibur kerana diri mereka sendiri yang sebenarnya perlukan hiburan. Dan hiburan yang mereka cari hakikatnya berada dalam hidup yang beragama.
No comments:
Post a Comment