Wednesday, July 29, 2009

Usahawan kek pisang

Pisang goreng adalah antara makanan segera rakyat Malaysia yang paling mudah didapati – di tepi jalan, gerai pasar malam atau restoran. Pisang bukan sahaja boleh digoreng malah dibuat kek.

Pengalaman usahawan jenama kek pisang, Nasvin Products, mengeluarkan lapan jenis kek pelbagai perisa sangat menarik. Setiap hari diperuntukkan lebih 100 kilogram pisang pelbagai jenis untuk membat 1,000 kek pisang yang dipasarkan ke pasaraya Mydin.

Nasvin, usahawan kek pisang ini memulakan bisnes kek dan biskut secara kecil-kecilan di rumah sehinggalah kini, beliau berbangga mempunyai sembilan orang pekerja, sebuah kilang dan kedai di Gombak.

Bagi mencari pasaran baru, Nasvin menyertai pelbagai jenis karnival dan pameran anjuran Kementerian Pembangunan usahawan dan Koperasi (MECD) dan Persatuan usahawan Wawasan Wanita Malaysia (Wawasanita). Melalui cara ini, dari semasa ke semasa produk beliau akan dikenali.

Bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti bisnes, dia mendapatkan pinjaman dari SME Bank untuk membeli mesin pengisar dan pembakar khas. Dia juga tidak jemu melakukan penyelidikan untuk meningkatkan kualiti pembuatan kek.

Bisnes makanan seperti kek, roti atau biskut sentiasa bertambah di pasaran. Jika kita perasan, di pasar raya terdapat berbagai-bagai jenis produk seperti ini dan ia tidak pernah berkurangan.

Ada pengusaha biskut dari Malaysia yang gigih mencari pasaran di luar negara sehingga di pembungkus luar biskut terdapat pelbagai jenis tulisan – Arab, Jepun, Tamil atau Thailand supaya pembeli dapat memahami maklumat yang hendak disampaikan.

No comments:

Post a Comment