Kisah-kisah yang berlaku dalam masyarakat sejak akhir-akhir ini membuatkan kita resah. Satu demi satu cerita yang muncul di media menyebabkan kita tercari-cari rujukan yang sesuai, sering bertanya kenapa ia berlaku dan bagaimana ia boleh berlaku. Jawapan kepada semua isu ini dapat menenangkan fikiran dan mententeramkan hati. Isu terbaru ialah kematian Teoh Beng Hock dan tunangnya sedang hamil anak luar nikah.
Satu demi satu kisah hidup si mati disingkap oleh media, dari kerjaya hingga peribadi. Hal politiknya semakin genting kerana sudah muncul blog yang akan mendedah kisah politik di Selangor dan mungkin berlaku sesuatu di luar jangkauan pemikiran kita kelak. Namun, kisah tunang Beng Hock yang mengandung lebih menarik kerana ia memperlihatkan kerosakan moral yang berlaku kepada sesiapa sahaja, apatah lagi yang terlibat dalam politik.
Berbanding rasuah yang kerap ditonjolkan media, hubungan seks di luar nikah dianggap masalah peribadi dan jarang diambil peduli. Dalam kes Beng Hock, Dr Reduan Tee dalam akhbar Mingguan Malaysia baru-baru ini menyatakan akhlak pemuda itu sangat lemah dan anak yang bakal dilahirkan hendaklah dikategorikan sebagai anak tak sah taraf (anak zina). Pendapat-pendapat lain juga mengundang idea yang sama kecuali Wanita MCA yang mahu anak berkenaan disahkan tarafnya. Yang hak adalah hak dan tidak boleh dihalalkan begitu sahaja.
Apakah kerjaya politik tidak berkait dengan akhlak seseorang?
Isu Teoh Beng Hock adalah satu rahmat daripada Allah SWT sebagai jawapan kepada orang-orang yang beriman yang sentiasa berdoa supaya didedahkan niat buruk dan perancangan jahat golongan kufar yang cuba melemahkan kekuatan umat Islam dan menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk mencerai-beraikan iman. Cucuran air mata dan doa yang berterusan menjadikan niat mereka disingkap sejelas-jelasnya oleh Allah Azjawa jalla.
Seseorang pemimpin mesti mempunyai akhlak yang mulia supaya dapat dijadikan contoh kepada orang lain. Perilaku buruk seperti berzina yang pernah ditunjukkan oleh seorang pemimpin kanan parti politik tidak lama dulu menjadi bukti untuk kita melihat nilai dan prinsip yang ada dalam masyarakat berkenaan. Agak aneh, pemimpin berkenaan yang meletakkan semua jawatan dalam parti dan kerajaan, kemudiaannya bertanding kembali dan dilantik menjadi timbalan presiden parti. Apa jenis masyarakat ini? Walaupun mereka dianggap golongan yang kaya dan menguasai ekonomi negara, namun nilai hidup mereka sudah rosak. Adakah bala sedang menanti masyarakat ini di kemudian hari?
Apabila memikirkan perilaku zina dalam kalangan ahli politik, pengkaji mula mencari-cari buku yang boleh dijadikan rujukan untuk mententeramkan hati. Lalu pengkaji membelek-belek tajuk sebuah buku yang telah lama dibeli tetapi belum sempat dibaca. Bukan kerana enggan membaca, tetapi kerana ia tidak ada kaitan dengan minat ketika itu. Beli sekadar untuk koleksi perpustakaan rumah sahaja.
Buku ‘Cinta di rumah Hassan Al Banna’ adalah jawapan terbaik kepada permasalahan masyarakat yang dahagakan kasih-sayang dalam rumah tangga, cara mendidik ahli keluarga dan produk yang akan dihasilkan daripada pendidikan tersebut. Dalam subtopik ‘nilai hidup ada pada iman,’ pengkaji dapati ia memberi pengajaran yang amat berguna walaupun artikelnya sangat ringkas. Kisahnya adalah berkaitan penerapan nilai iman kepada seorang anak ketika musim cuti sekolah. Hassan Al-Banna memberitahu anaknya, Saiful Islam bahawa ‘sesungguhnya Allah SWt mencintai seorang muslim yang kreatif.’
Hassan Al-Banna menerapkan nilai iman kepada anaknya dengan mengaitkan belajar percetakan sebagai ilmu yang baru dan wajar dipelajari. Melalui proses belajar percetakan itu, Allah SWT akan mencintai dirinya. Daripada nilai iman yang kecil ini, ia berkembang menjadi nilai teras dalam kehidupan Saiful Islam.
Orang seperti Beng Hock tidak dapat memahami nilai hidup seperti ini, nilai dalam perkahwinan dan kepentingan melakukan hubungan seks selepas berkahwin serta menentukan salur-galur generasi selepasnya. Jika beliau tidak memahami konsep hidup ini, bagaimana pula beliau dapat memberi kefahaman kepada rakyat? Pemimpin yang tidak berakhlak dan bermoral tidak layak memimpin rakyat yang beriman kepada Allah SWT.
Sama ada pemimpin dalam kerajaan atau pembangkang, mereka adalah sama seperti kita iaitu ada pegangan dan nilai. Jika nilai yang dipamerkan itu tidak membantu meningkatkan iman kita, apatah lagi melakukan tindakan di luar akhlak seorang muslim, dia wajar diketepikan kerana ‘iman dan kufur’ tidak dapat berada di dalam satu hati.
No comments:
Post a Comment