Masyarakat moden yang dikuasai oleh teknologi tidak boleh disifatkan sebagai ideal kerana ia berhadapan dengan kekangan yang besar dan rasa kosong serta tiada kepuasan. Manusia tidak terdaya hendak mengharungi realiti hidup sebenar berdasarkan kudrat semata-mata. Hanya bimbingan ilahi yang dapat menyelamatkan masyarakat daripada kemusnahan dan memelihara mereka daripada kemerosotan nilai-nilai kemanusiaan. Ia mengukuhkan nilai-nilai etika asas, melemahkan unsur-unsur perkauman, eksploitasi ekonomi dan ketidakadilan sosial.
Mesej daripada al-quran dan hadis Rasulullah SAW bebas daripada pemalsuan. Allah SWT berjanji untuk menjaga dan mengekalkan keadilan dan kesucian teks al-quran dan menjauhkannya daripada korupsi golongan yang membenci Islam.
‘Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.’ (Al-Hijr ayat 9)
Islam adalah versi lengkap sebuah kehidupan yang selari dengan kehendak semula jadi manusia, selari dengan kepercayaan beberapa orang nabi dan rasul seperti Nabi Nuh AS dan Nabi Ibrahim AS. Namun, kepercayaan para nabi ini telah diubah oleh pengikut-pengikut selepas itu sehingga menjejaskan kesucian kepercayaan itu.
Dari perspektif Islam, dunia bukannya tempat yang berdosa, justeru manusia lahir dalam keadaan bebas daripada membuat dosa.Tidak ada sesiapa pun yang bakal membawa dosa orang lain kerana dosa bukannya satu bentuk pewarisan.
Al-quran menyatakan setiap orang bertanggungjawab ke atas tindakannya. Islam mengesyorkan jalan tengah di antara memanjakan diri dan menyeksa diri. Tidak ada sesiapa pun yang dikecualikan, dipinggirkan, diberi keistimewaan tertentu atau dipilih. Tidak ada sesiapa yang membawa beban orang lain di atas prestasi mereka ketika hidup di dunia.
Al-quran menentang isme, menyerang kepercayaan triniti, mendedahkan penyelewengan dalam agama Yahudi dan golongan atheis. Islam memiliki pandangan sendiri terhadap sains dan akidah. Sebagai contoh, al-quran memberi penerangan yang memuaskan ke atas setiap fenomena yang berlaku.
‘Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.’ (Al-Mukminun ayat 14)
Al-quran berulang kali menekankan keperluan, kepelbagaian dan kepentingan mempelajari alam semesta dan sejarah untuk memahami tujuan penciptaan manusia. Islam bukan sekadar pemurnian agama-agama wahyu sebelum itu malah menyempurnakan kewujudan agama-agama tersebut. Islam menolak pendapat yang hanya satu kaum memonopoli satu-satu pegangan agama, sebaliknya bimbingan wahyu adalah bersifat umum dan untuk semua lapisan umur dalam kalangan manusia.
No comments:
Post a Comment