China mempunyai permusuhan yang panjang ke atas agama seperti mana yang dilakukan terhadap ajaran Falun Gong beberapa tahun lalu, seterusnya menyerlahkan sikap berkenaan terhadap Tibet. Bagaimanapun, tidak seperti Falun Gong, Uighur kurang popular di Barat dan mereka juga tidak mempunyai pemimpin yang berkarisma seperti Dalai Lama.
Wilayah Autonomi Xinjiang Uighur (XUAR) adalah nama yang diberi kepada Turki Timur oleh kerajaan China. Xinjiang bererti ‘batasan baru’ dalam bahasa China. Pemerintah Manchu yang menyerang Turki Timur pada 1759 telah menjadikannya sebahagian daripada wilayah China.
Siapakah Uighur?
Uighur bukanlah satu-satunya kelompok Islam di China, sebaliknya masyarakat Hui juga diiktiraf sebagai Islam. Selain itu minoriti Tajik, Kyrgyz dan Kazakh juga boleh dijumpai di Xinjiang. Dua peratus daripada penduduk China adalah Islam iaitu 24 juta orang.
Uighur adalah orang-orang Turki. Bahasa mereka adalah sebahagian daripada rumpun Altaic. Semenjak mereka menerima Islam pada kurun ke-10, masyarakat itu menggunakan tulisan Arab sehinggalah kerajaan China memaksa penggunaan tulisan latin ke atas mereka. Bagaimanapun penggunaan tulisan Arab dibenarkan kembali pada tahun 1983 untuk menjaga ‘minoriti nasional’ China.
Republik Turki Timur
Uighur memiliki sejarah negara yang kaya, sesuatu yang cuba disembunyikan oleh propaganda kerajaan China. Pemerintahan Manchu di Turki Timur telah dihalau keluar oleh pahlawan-pahlawan Uighur pada tahun 1862. Nikmat kemerdekaan tidak lama kerana Manchu menawan semula wilayah itu pada tahun 1876 dan mengukuhkan kedudukan mereka lapan tahun kemudian.
Penentangan terhadap kerajaan China melahirkan dua buah republik pada kurun ke-20 yang mana satu daripadanya muncul kerana pembabitan Kesatuan Soviet pada tahun 1934. Negara kedua ialah Eastern Turkistan Republic (ETR) yang wujud pada 12 Nivember 1944. Di bawah tekanan Kuomintang dan Komunis, pemimpin-pemimpin ETR menerima jemputan ke Beijing yang mana mereka tidak pernah sampai ke sana kerana ketika melalui Kesatuan Soviet, kapal terbang mereka terhempas. Pada Oktober 1949, People’s Liberation Army (PLA) menyerbu ETR.
Sepanjang lima tahun sebelum pendudukan komunis China, pembentukan republik Uighur adalah detik-detik istimewa yang sentiasa diingati dan disambut gembira oleh pejuang-pejuang kebangsaan Uighur pada hari ini.
Komunis China (1949- sekarang)
Revolusi Budaya yang diperkenalkan oleh Mao Zedong adalah detik yang menyukarkan masyarakat Uighur. Agama dikatakan sebagai pelemah masyarakat dan menerima layanan yang buruk daripada tentera-tentera Merah. Laporan Human Rights Watch menyatakan masyarakat Uighur dipaksa menternak babi, masjid ditutup dan dijadikan gudang babi untuk menambahkan penderitaan masyarakat Islam di sana.
Dasar galakan berpindah kepada orang-orang Han menyaksikan pertambahan mendadak dari enam peratus pada 1949 menjadi 40 peratus pada 1978 menyebabkan Uighur menjadi minoriti di negara sendiri, disisihkan dalam kedua-dua sektor pendidikan dan perdagangan.
Permusuhan yang memuncak di antara Uighur dan Han tidak dapat dielakkan lagi. Ketika seorang wartawan bertanya kepada sekumpulan kanak-kanak Han yang berkumpul di sekitar patung Wang Zhen (pejuang revolusi China) kenapa mereka menganggapnya sebagai hero. Jawabnya, ‘kerana dia membunuh ramai Uighur.’
Jawapan daripada seorang kanak-kanak berumur 10 tahun adalah gambaran perasaan penjajah puak Han ke atas peribumi Uighur.
Ketegangan juga ditingkatkan dengan penguasaan bisnes oleh puak Han. Oleh kerana monopoli yang berterusan dan pentadbiran berat sebelah, sesetengah kelompok di dalam masyarakat Uighur percaya bahawa penentangan bersenjata adalah satu-satunya pilihan yang ada seperti mana yang dilakukan oleh masyarakat Islam di Selatan Thailand pada hari ini.
No comments:
Post a Comment