DAP Kedah membuat keputusan untuk keluar dari Pakatan Rakyat atas alasan kerajaan negeri Kedah tidak berlaku adil kepada masyarakat bukan Melayu (khususnya Cina) di negeri itu. Tindakan itu diumumkan oleh Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su setelah beberapa buah jentera Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya. Ia perlu dirobohkan selepas didapati menerima rungutan berterusan daripada penduduk sekitar pusat penyembelihan itu di samping kedudukannya yang sangat tidak sesuai.
[Bagaimanapun operasi merobohkan premis berkenaan tidak ada kena mengena dengan penularan wabak selesema babi ketika ini namun ia mengingatkan kita kepada virus Nipah di Bukit Pelanduk sepuluh tahun yang lalu]
Kita tidak dapat mengenal pasti dengan tepat punca DAP Kedah mengambil tindakan demikian kerana mereka sering meluahkan kekecewaan sejak berada di bawah pimpinan menteri besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak khususnya apabila kerajaan negeri menaikkan kouta 50 peratus kepada pembeli rumah bumiputera.
Mencipta isu sangat mudah. Barangkali ada sebab lain yang disembunyikan seperti wakil DAP yang tidak diberi muka dalam kerajaan Pakatan, tidak diberi ruang yang lebih besar dalam proses membuat keputusan ataupun tidak diberi jawatan utama. Jika alasan keluar Pakatan semata-mata kerana pusat sembelih babi dirobohkan, ia adalah keputusan politik yang sangat lemah dan dilihat tidak matang, jadi bagaimana hendak menguruskan isu-isu lain yang lebih besar?
Lebih baik kita biarkan ahli atau kumpulan politik ini yang tidak melihat jauh dan belum matang dalam membuat keputusan serta menguruskan krisis tenggelam dan hanyut dalam kolam perkauman sempit yang dibinanya sendiri.
Di bawah menteri besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, beberapa polisi berkaitan taraf hidup dan kepentingan umat Islam diperkukuhkan supaya wujud keadilan sosial dalam negeri yang majoritinya umat Islam bangsa Melayu. Kekayaan negeri Kedah dimonopoli oleh masyarakat bukan Islam khususnya Cina yang memenuhi kawasan bandar. Oleh kerana kawasan tanah di Kedah masih luas dan banyak kampung, proses perbandaran dan migrasi desa-bandar berlaku dengan sangat perlahan.
Politik PAS dan DAP sangat jauh berbeza. Politik Islam dan politik bukan Islam juga mempunyai tujuan yang berbeza. Dalam politik Malaysia, persamaan di antara PAS dan DAP ialah berhadapan dengan Barisan Nasional dan menewaskannya dalam pilihan raya.
Politik Islam ialah dakwah dan tarbiyah, menyeru orang ramai kepada meletakkan Allah SWT sebagai rabb, Tuhan yang disembah. Ia tidak meletakkan wang, kuasa atau kedudukan exco sebagai tujuan. Program dan aktiviti yang dilaksanakan dari semasa ke semasa mesti menepati syarak dan mengajak orang ramai untuk melaksanakan sistem Allah SWT, mempersaudarakan umat Islam dan menyemarakkan rasa kehambaan kepada Allah SWT.
Politik Islam juga menggunakan kuasa sebaik-baiknya untuk menunaikan keperluan fardhu ‘ain dan fardhu kifayah dalam masyarakat. Sebagai contoh, taraf hidup dan tahap pendidikan masyarakat Islam masih belum maju, jadi tanggungjawab melaksanakan kedua-dua fardhu ini terletak pada kepimpinan menteri besar supaya masyarakat Islam kuat dalam ekonomi dan pada masa yang sama memiliki ilmu yang dapat memperkukuh kehidupan mereka.Walaupun kedua-dua aspek ini mengambil masa untuk dilihat keberkesanannya, ia boleh dicapai jika asasnya dibentuk dan dicanai dengan teliti. Kita ingin sekali melihat umat Islam Kedah menguasai ekonomi dan memiliki modal insan yang cemerlang dalam semua bidang utama pentadbiran negeri.
Politik bukan Islam pula ialah politik dunia. Konsepnya sangat terbatas pada apa-apa sahaja untuk kehidupan dan memutuskan sebarang hubungan dengan kehidupan selepas mati. Oleh kerana itu, DAP yang mengamalkan politik bukan Islam bermati-matian berjuang kerana pusat sembelih babi dan membantah kouta 50 peratus bumiputera. Mereka akan rasa sangat megah dan bangga apabila dapat berbeza pendapat dengan pemimpin Pakatan Rakyat kedah dan puas hati dengan tindakan berkenaan.
Sejarah tamadun Islam yang berkembang dan sampai ke Malaysia adalah kerana kuatnya pengaruh dan peranan politik Islam. Saudagar, pendakwah dan perajurit menjelajah dua per tiga dunia bagi melebarkan pengaruh agama Islam. Kenapa mereka begitu bersungguh-sungguh? Apa yang mendorong mereka untuk bertindak? Kenapa kubur Saad bin Abi Waqas berada di China? Banyak lagi persoalan yang boleh kita fikirkan jika hendak melihat sumbangan dan peranan politik Islam ke atas masyarakat.
Umpama pepatah, ‘datang tidak dijemput, pergi tidak disuruh,’ DAP Kedah tidak memberi makna apa-apa kepada masyarakat negeri Kedah. Jika sudah naik tocang, barangkali golongan ini tidak kekal lama dalam politik semasa kerana pengundi hari ini semakin pintar dan dapat berfikir dengan lebih baik.
Politik ugut kerana kecewa semakin tidak relevan kerana sebarang bentuk kecewa boleh diurus dengan baik. Banyak kaedah boleh diguna pakai oleh DAP Kedah jika mereka melihat krisis sebagai peluang. Antaranya ialah berunding, mewujudkan tawaran munasabah atau kompromi supaya imej dan maruah parti itu tidak tercemar dan tercela.
Dari kaca mata pengundi muda, DAP Kedah mengamalkan politik bukan Islam yang langsung tidak memberi faedah kepada perpaduan rakyat Kedah. Kelaku mereka sangat bertentangan dengan kenyataan Lim Guan Eng iaitu “Saya ingin mencontohi Khalifah Umaiyah, Khalifah Umar Abdul Aziz dalam gerak kerja saya.”
No comments:
Post a Comment