Monday, July 27, 2009

Gerakan Radikalisme di Malaysia (1938-1965)

Penulis: Ramlah Adam
Tahun: 2004
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Muka Surat: 500

Gerakan politik radikal Melayu merupakan kegiatan yang dominan dan menarik dalam sejarah politik Malaysia terutama ketika zaman penjajahan British sehingga selepas merdeka. Gerakan ini boleh dianggap sebagai transformasi politik masyarakat Melayu, yang begitu terkenal selama ini dengan sikap konservatif dan sentiasa menurut perintah golongan atasan dan raja. Buku ini cuba memberi suatu perspektif yang berdasarkan kajian akademik yang bertanggungjawab terhadap gerakan radikal Melayu sebelum perang sehingga pembentukan Malaysia. Dengan menggunakan rekod-rekod rasmi, akhbar-akhbar sezaman dengannya, temu ramah dan memoir, di samping bahan rujukan sekunder, buku ini cuba melahirkan suatu keseimbangan dalam menelusuri kegiatan golonga radikal. Buku ini diharap dapat memberi suatu kronologi dan perkembangan sejarah gerakan golongan radikal Melayu di negara ini. Di samping itu juga, buku ini cuba memberi interpretasi baharu yang dapat memperkayakan lagi horizon pemikiran masyarakat pembaca terhadap kegiatan golongan radikal. Buku ini sangat sesuai dijadikan bahan rujukan untuk pelajar di pusat pengajian tinggi yang mengikuti kursus sejarah Malaysia, para guru danpelajar sekolah menengah dan peminat sejarah Malaysia."


Ulasan Editor: Membaca buku sejarah sangat mengasyikkan. Justeru, buku ini mendedahkan kisah-kisah yang berlaku semasa politik orang Melayu mula aktif selepas mendapat pendedahan daripada dunia luar. Aspek utama yang diberi perhatian oleh Ramlah Adam ialah peranan watak-watak khusus seperti Ibrahim Haji Yaakob, Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam di samping Dato’ Onn Jaafar.

Buku menarik ini mendedahkan sifat pengecut yang ada pada Ibrahim Haji Yaakob sebagai tokoh ulung yang menggerakkan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Beliau, isteri, abang ipar dan kawan rapatnya telah melarikan diri ke Indonesia dengan bantuan Jepun sebelum Jepun mengaku kalah dan meninggalkan Tanah Melayu. Di Indonesia, Ibrahim mendapat kedudukan yang baik dalam tentera Indonesia dan sempat membuka sebuah bank perdagangan. Beliau meninggal dunia di Indonesia dan dikebumikan di sana sebagai seorang pahlawan Indonesia. Ibrahim berasal dari Sulawesi, ternyata cuba mendapatkan sebuah jajahan baru bagi Indonesia, tanah ibundanya.

Peranan Parti Komunis Malaya juga mendapat perhatian. Penyusupan PKM dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sangat ketara sehinggakan Ketua Rejimen ke-10 (Melayu) PKM, Mokhtaruddin Lasso dilantik menjadi ketua PKMM yang pertama. Contoh lain pengaruh PKM ialah ejaan ‘Malayu” dalam perlembagaan PKMM. Ejaan itu dikekalkan untuk menunjukkan perlembagaan itu dikarang oleh bukan Melayu. Dipercayai dasar-dasar itu telah ditaip dan disogokkan kepada pemimpin PKMM. Selain itu, salah satu keazaman PKM yang lain ialah berhasrat menjadikan Semenanjung Tanah Melayu sebagai jajahan Republik Rakyat China yang ke-20.

Kegagalan pergerakan radikal Melayu mendapat sokongan orang Melayu ialah kerana mereka tidak dapat memecahkan struktur tradisional sistem masyarakat Melayu yang meletakkan raja sebagai pemimpin. Kegelojohan pemimpin radikal Melayu yang menyokong Malayan Union
menjadikan UMNO bertambah kuat dan mendapat kepercayaan British sebagai wakil tunggal suara orang Melayu untuk berunding bagi mencapai kemerdekaan.

Pendedahan menarik yang lain ialah satu rombongan orang Cina yang diketuai oleh Lau Phak Kuan telah dihantar ke London untuk mendesak tuntutan-tuntutan mereka seperti bahasa Cina menjadi bahasa kebangsaan, sekolah Cina sebagai sekolah kebangsaan dan penghapusan hak istimewa orang Melayu. Kelompok CIna itu tidak mahu hak-hak mereka dikesampingkan begitu sahaja.

Pergelutan untuk menjadi jaguh dalam mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu menyaksikan pertembungan antara UMNO, PAS dan Dato' Onn. Semasa Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan di Stadium Merdeka, Dato' Onn tidak hadir ke upacara rasmi itu kerana enggan melibatkan diri dalam kemerdekaan yang tidak melindungi orang Melayu. Beliau tetap menolak kerakyatan jus soli sebagai dasar kerakyatan Tanah Melayu. Beliau juga melihat kemerdekaan yang dicapai oleh Tunku Abdul Rahman itu sebagai tidak bermakna. Namun, pemimpin PAS, Dr Burhanuddin hadir pada pengisytiharan itu.

No comments:

Post a Comment