Friday, July 03, 2009

Pemandu perkhidmatan bas RapidKL kurang sopan santun

Ahad lalu, selepas sekian lama tidak menggunakan perkhidmatan awam, saya menaiki bas awam untuk ke Kuala Lumpur. Saya menunggu bas di Perhentian Bas Sekolah Kebangsaan Hicom, Seksyen 27, Shah Alam. Lebih kurang jam 6.40 petang, sebuah bas RapidKL tiba. Saya memang tidak arif laluan bas. Saya cuma menahannya dan terus menaiki bas sambil bertanya kepada pemandu berkenaan.

"Bang, bas ni gi KL ke?"


Lantas, pemandu menjawab, "Eh mangkuk, kau tak nampak ke (sambil menghalakan tangan ke kiri cermin bas)."

Secara spontan dan terkejut, serta berundur turun dari bas itu, saya terus menjawab; "Eh, saya tanya dengan elok, jawab la dengan elok, mana nak tau, pergilah .... (saya sedar saya agak kasar kerana hilang sabar dengan sikapnya).

Banyak mata memandang ke arah saya. Bas itu tidak ke laluan Kuala Lumpur. Tidak salah pun jika menjawab 'tidak' berbanding 'Eh, Mangkuk' yang bagi saya amat kasar.

Beginikah sikap pemandu bas RapidKL terhadap penumpang? Kebetulan, pada masa sama, ada penumpang lain turun dan beliau bertanya kepada saya apa yang diperkatakan oleh pemandu itu?

Saya menceritakan kepadanya apa yang terjadi. Penumpang berkenaan memberitahu saya, pemandu itu memang 'gila' kerana sebelum itu dia pernah memarahi seorang penumpang gara-gara nada dering telefon. Ketika telefon berbunyi pemandu bas itu berkata 'dah ada telefon tu, dengar jer la sorang-sorang.' Apa sebenarnya masalah pemandu itu?

Saya terkilan dengan sikap pemandu bas RapidKL yang tiada budi bahasa kerana sebagai orang Melayu, sikapnya memang kurang ajar. Walau perkhidmatannya efisien, tiada makna jika nilai murni seperti budi bahasa diketepikan.

Saya berharap pengurusan RapidKL memantau pemandu supaya mereka tidak keterlaluan dan menjejaskan mutu keseluruhan perkhidmatan. Perkhidmatan terbaik bermula daripada budi bahasa kakitangannya.

MARZIANA MUHAMAD, Shah Alam.

[Berita Harian Online, 2 Julai 2009]

2 comments:

  1. Anonymous8:07 AM

    tak tahulah... saya tak pernah naik bas RapidKL ni. Tapi setakat pengalaman saya memandu kereta, mereka ramai yang memandu secara kurang ajar di jalan raya. Maaf kasar sikit, tapi itulah hakikatnya. Saya tak tujukan kepada semua pemandu, tapi terlalu banyak kali saya merasa marah dgn sikap mereka memandu.

    ReplyDelete
  2. salam 1 malaysia

    jangan kata RAPIDKL...sesiapa yang menggunakan kenderaan di malaysia majoriti kurang ajar tak perlu nak menuding jari....sebelum nak komen orang atau WHATEVER...cuba lihat diri sendiri dulu aku ni seorang pemandu yang berhemah ker...?????
    so tepok dada..jangan tanya selera...selera tetap berubah pokoknya tanya akal so pikir-pikirlah.....!!!

    ReplyDelete