Barangkali parlimen dibubarkan pada pertengahan Februari 2008 dan dalam masa 60 hari, pilihan raya ke-12 perlu diadakan. Petunjuk ke arah itu sangat jelas. Saban hari media menyiarkan kenaikan Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) yang melebihi 1,500 mata. Kenaikan ini sebagai kesan psikologi kepada kemakmuran ekonomi negara dan meyakinkan masyarakat untuk bersenang-lenang dengan keadaan ekonomi dan politik semasa negara.
Cakap-cakap pilihan raya telah lama didengari. Selepas banjir besar yang melanda Pahang, Johor dan Kelantan baru-baru ini, selepas musim haji adalah waktu terbaik untuk pilihan raya ini diadakan. Kisah-kisah kejayaan Barisan Nasional memerintah dan mentadbir negara mula disiarkan di media elektronik dan menjadi bahan perbincangan di media massa. Pencapaian 5 tahun dijadikan bahan kempen untuk meraih simpati masyarakat untuk terus memberi sokongan kepada mereka.
Sebarang isu yang boleh menjejaskan sokongan orang ramai akan cepat-cepat diselesaikan. Contohnya kes bersekedudukan seorang menteri kabinet, perbalahan mulut Menteri Besar Perlis dengan seteru politiknya dan kritikan terbuka anggota parti komponen segera dialihkan daripada perhatian masyarakat.
Parti pembangkang juga turut dengan strategi mereka. Perhimpunan demi perhimpunan yang diadakan sebagai indikator kepada sokongan masyarakat awam kepada mereka. Tetapi bukan semuanya berakhir dengan kejayaan kerana ada sesetengah keadaan, demontrasi hanya mengundang rasa tidak puas hati di kalangan masyrakat khususnya yang terlibat dalam sektor perniagaan dan industri pelancongan.
Bagi melaksanakan pilihan raya kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi mandat untuk menguruskannya dari awal hingga akhir. Fungsi SPR ialah :
1) membuat kajian dan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri setiap tidak kurang daripada 8 tahun selepas tarikh siapnya urusan kajian dan persempadanan semula yang terdahulu;
2) menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan semakan daftar pemilih; dan
3) menjalankan pilihan raya umum ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, dan menjalankan pilihan raya kecil sekiranya berlaku kekosongan.
Pilihan raya akan datang menyaksikan beberapa perubahan yang ketara seperti penggunaan kotak lut sinar dan mengenakan dakwat ke jari pengundi. Penambahbaikan ini diharap dapat memberi imej yang lebih positif kepada SPR untuk menjadikan setiap pilihan raya yang diadakan di Malaysia adalah bebas dari pengundi hantu atau yang sewaktu dengannya.
Dalam keghairahan SPR membuat penambaikan, tidak tahu sama ada disedari atau tidak, mereka membuat kesilapan besar apabila tidak meneliti pendaftaran nama pengundi.
Untuk menyemak daftar nama pengundi secara atas talian (online), kita hanya perlu menaip nombor kad pengenalan. Maklumat yang akan dipaparkan ialah kad pengenalan, nama penuh, jantina, lokaliti, daerah mengundi, DUN, parlimen dan negeri.
Namun ada tiga nombor kad pengenalan yang mencurigakan. Pertama: 991214740101 / 0562235 (berumur 8 tahun dari Sabak Bernam, Selangor); kedua: 981231081137 / 1207648 (berusia 9 tahun dan bergelar haji dari Sabak Bernam, Selangor); dan ketiga: 910815750017 / 3587582 (berusia 16 tahun dari Sepang, Selangor).
Paparan ini amat aneh dan melucukan. Di sebalik slogan "Cekap dan Telus," SPR tidak dapat mengenal pasti dengan tepat kelayakan pengundi seperti yang dinyatakan dalam Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu:
1. telah mencapai umur 21 tahun ke atas
2. menetap di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia
3. tidak hilang kelayakan untuk menjadi seorang pemilih
Cara bekerja anggota SPR mestilah menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi supaya ia tidak mengecewakan pengundi. Pada masa yang sama menunjukkan tahap kecekapan dan ketelusan yang meyakinkan supaya pilihan raya yang akan datang berjalan dengan terurus.
No comments:
Post a Comment