Tuesday, January 22, 2008

"Kelihatan seperti saya, suara macam saya"

Melepaskan diri daripada bertanggungjawab ke atas sesuatu perbuatan adalah lumrah atau menjadi sifat semula jadi manusia. Ketika tersepit dia akan berusaha mencari beribu-ribu alasan dengan harapan dapat melepaskan diri. Walaupun telah nyata kesahihan dan fakta yang jelas, dia masih lagi enggan mengakui kejujuran dan berputar-belit dengan alasan yang tidak munasabah.

Keadaan ini tidak ubah seperti kisah kancil dengan buaya. Ketika kaki seekor kerbau digigit oleh buaya kerana membantu mengalihkan sebatang kayu besar di atas badannya, kancil meminta kerbau dan buaya itu melakonkan semula adegan berkenaan dari mula hingga akhir untuk menilai siapa yang bersalah. Dengan kepintaran kancil, buaya yang "kelihatan seperti saya, suara macam saya" akhirnya merana sendiri akibat tamak, rakus dan enggan bertanggungjawab. Di atas badan buaya itu diletakkan semula kayu besar yang telah dialihkan oleh kerbau. Buaya yang angkuh itu akhirnya mati kelaparan.

Mencari seorang manusia yang jujur, berintegriti dan bersedia dengan tanggungjawab amatlah sukar, lebih-lebih lagi apabila dia ingin mempertahankan kredibiliti dan reputasi sebagai golongan elit di dalam masyarakat. Situasi ini lebih teruk jika dia telah memasuki fasa hidup sebagai warga tua, enggan mengesahkan dapatan bukti dan menyalahkan orang lain di atas perbuatan buruknya.

Agamanya melarang sifat penipu. Bangsanya pun malu dengan kaki penipu. Amat malang sekiranya seorang yang berpendidikan tinggi cuba memutarbelitkan apa sahaja yang disoal kepadanya berkaitan tindakan yang telah dilakukan. Dia cuba memperbodohkan orang lain dengan jawapan yang tidak relevan, mengarut dan tidak masuk akal.

Barangkali pada masa dulu beliau seorang yang pintar, segak dan mempunyai impian yang tinggi untuk dicapai. Barangkali juga kecerdikan yang diberi kepadanya menjadikan bisnesnya sangat maju, khidmatnya sentiasa diperlukan dan status sosial yang dimilikinya menjadikan masyarakat hormat kepadanya. Oleh kerana malu, dia masih enggan mengakui kebenaran dengan jujur.

Tetapi dia tidak sedar, semakin dia bercerita kepada orang ramai, dia hanya melondehkan pemikiran dan perlakuan bermoral rendah. Semua orang mentertawakannya termasuk rakan-rakannya sendiri.

Suatu masa dahulu, ketika zaman penjajahan Belanda, seorang ketua paderi telah dilantik bagi menggantikan ketua paderi yang telah uzur dan tidak lagi dapat melaksanakan tugasnya kepada masyarakat dengan berkesan. Lalu diatur satu perhimpunan besar-besaran di dalam gereja untuk mengesahkan proses perlantikan berkenaan.


Awal-awal lagi orang ramai datang memenuhi dewan utama gereja, mengucap salam dan semua wajah nampak riang. Mereka ingin sekali melihat ketua paderi yang baru.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan puji-pujian kepada Tuhan lalu dipersilakanlah ketua paderi yang baru. Bagi memperkenalkan ketua paderi ini, majlis menjemput bekas ketua paderi untuk membaca latar belakang dan pencapaian ketua paderi itu sehingga melayakkannya untuk meraih kedudukan tertinggi itu. Dengan bersungguh-sungguh beliau membaca baris demi baris skrip di hadapannya, menjelaskaan rasional calon berkenaan dipilih dan sekali-sekala terdengar sorakan dan tepukan orang ramai yang memenuhi dewan gereja.

Ketika sedang berucap, tiba-tiba bangun seorang pemuda iaitu calon yang gagal dalam perebutan sebagai ketua paderi yang baru. Beliau naik ke pentas dan memandang bekas ketua paderi yang sedang bercakap. Tergamam dengan keadaan itu, orang ramai mula berteriak meminta pemuda itu turun ke bawah dan tidak mengganggu ucapan yang disampaikan.

Tanpa menghiraukan teriakan orang ramai, dia memberitahu tujuannya ialah untuk bertanya soalan kepada bekas ketua paderi.

"Hei orang tua! Jika kamu pandai dan hebat, apa yang ada di dalam genggaman tangan kanan aku ini?"

Pemuda ini kecewa kerana tidak dipilih menjadi ketua paderi yang baru. Tindakannya pada hari itu adalah untuk memalukan bekas ketua paderi kerana tidak memilihnya sedangkan dia merasakan dirinya lebih layak.

Bekas ketua paderi tidak menghiraukan soalan pemuda ini dan cuba meneruskan ucapannya tetapi telah disergah.

"Hei orang tua! Tidakkah engkau dengar soalan aku tadi? Apa yang ada di dalam tangan aku ni?"

Ulang pemuda yang telah mula naik darah.

Tetapi bekas ketua paderi hanya tersenyum dan tidak mengendahkan kemarahan pemuda yang berada di hadapannya.

Melihat kedegilan orang tua berkenaan, pemuda ini tidak dapat lagi mengawal marahnya. Wajahnya mula merah kehitaman kerana puncak kemarahannya akan meledak bila-bila masa.

Sementara itu di dalam dewan, orang ramai mula resah dan bersorak meminta pemuda ini turun dari pentas dan tidak mengganggu lagi ucapan bekas ketua paderi. Sebaliknya pemuda enggan berundur dan mahukan jawapan daripada bekas ketua paderi dengan harapan dapat memalukannya di hadapan orang ramai.

"Baiklah. Di dalam genggaman tangan kamu adalah seekor burung," jawab bekas ketua paderi bagi menghilangkan keresahan pemuda yang semakin agresif di hadapannya.

Pemuda ini terkejut kerana memang benar di dalam tangannya adalah seekor burung. Dia panik tetapi dapat mengawal emosinya dengan baik.

"Ya, aku tahu. Ia seekor burung. Tetapi adakah burung ini hidup atau mati?" soal pemuda yang masih enggan mengalah.

"Di dalam tangan kamu," jawab bekas ketua paderi.

"Ya di dalam tangan aku. Hidup atau mati?" pemuda mula meninggikan suara untuk melawan jeritan orang ramai yang memintanya turun.

Jawab bekas ketua paderi lagi, "Di dalam tangan kamu."

Pemuda yang sedang marah itu terus mengulangi soalannya dan bekas ketua paderi terus mengulangi jawapan yang sama.

Di dalam dewan utama gereja, orang ramai mula mentertawakan calon ketua paderi yang kecewa itu kerana jawapan yang diberikan oleh bekas ketua paderi adalah betul. Sama ada burung itu hidup atau mati, ia terletak di dalam tangannya.

Oleh kerana orang ramai mula menjerit dan berteriak memberitahu jawapan kepada pemuda ini, timbul perasaan malu lalu terus meluru keluar sambil membawa burung di dalam genggaman tangannya.

Selepas kejadian itu, pemuda berkenaan telah melarikan diri kerana berasa sangat malu dengan tingkah lakunya terhadap bekas ketua paderi.

Apakah sebenarnya yang difikirkan oleh pemuda ini apabila berada di hadapan bekas ketua paderi? Dia bercadang hendak melepaskan burung berkenaan jika bekas ketua paderi menjawab "mati," jadi orang ramai akan tertawa dan mempertikaikan kebijaksanaannya. Jika jawapannya "hidup," dia akan menggenggam kuat burung itu sehingga mati. Ini juga akan memalukan bekas ketua paderi kerana dianggap bodoh.

Apa yang telah dirancang oleh pemuda ini tidak berlaku. Akhirnya dia malu sendiri kerana enggan mengakui kejujuran dirinya. Reputasi yang dibanggakan olehnya telah menjadi reput.

No comments:

Post a Comment