Monday, January 21, 2008

Undang-undang Islam di Malaysia: Prinsip dan Amalan

Editor: Ahmad Hidayat Buang
Penerbit: Penerbit Universiti Malaya
Pengulas: Mohd Yahya Mohamed Ariffin


Buku ini merupakan usaha terkini ahli akademik Universiti Malaya (UM) dalam membantu dan memudahkan umat Islam negara ini mempelajari, memahami dan mengamalkan undangundang Islam.

Empat isu penting dalam perundangan Islam dibincangkan melalui 17 bab mencakupi kekeluargaan; tatacara mahkamah, pembuktian, dan jenayah; perancangan harta keluarga serta kewangan dan muamalat.

Penggemblengan usaha sembilan ahli akademik dalam jurusan syariah dan undang-undang, Akademi Pengajian Islam, UM itu berjaya menghasilkan sebuah buku yang menyentuh isu-isu penting dalam kehidupan umat Islam di negara ini masa kini.

Walaupun penulisan mereka sarat dengan rujukan ilmiah dan kes undang-undang berkaitan namun dipermudahkan supaya kandungannya boleh difahami pembaca.

Ia dikupas dan dibincangkan sedemikian rupa bertujuan memberi panduan umum dan awal kepada pembaca yang mencari maklumat mengenai undang-undang syariah yang menyentuh hak mereka.

Dalam isu kekeluargaan, buku ini membincangkan mengenai prosedur perkahwinan, prosedur perceraian, harta sepencarian, hak nafkah dan hadanah, status dan hak anak, juga hak kekeluargaan pasangan berlainan agama.

Perbincangan mengenai hak kekeluargaan pasangan berlainan agama misalnya, menumpukan kepada kedudukan pasangan yang pada asalnya bukan Islam tetapi, salah seorang sama ada suami atau isteri kemudiannya memeluk Islam.

Bab ini turut menyentuh pelbagai hak yang boleh dituntut oleh pasangan terbabit termasuk hak nafkah, hak jagaan dan penjagaan anak, hak menentukan agama anak, hak tuntutan harta perkahwinan, hak harta pusaka serta tuntutan pencen.

Buku ini seterusnya membincangkan isu mengenai tatacara mahkamah, pembuktian dan jenayah dalam konteks mahkamah syariah.

Seperti kata penulis, masyarakat umum selalunya ditakutkan untuk datang ke mahkamah dengan alasan proses yang bakal dilalui adalah rumit dan terlampau teknikal, selain kos yang perlu ditanggung serta masa yang panjang untuk diselesaikan.

Bagaimanapun, menurut penulis tujuan undang-undang acara atau prosedur dalam mana-mana sistem perundangan adalah untuk memudahkan dan mempercepatkan proses sesuatu permohonan di mahkamah.

Di samping itu, untuk membantu pihak terbabit dan juga mahkamah menguruskan sesuatu kes dengan lebih cekap dan efisien.

Berkaitan pembuktian di mahkamah, penulis menjelaskan bahawa mahkamah syariah di negara ini memberi ruang yang luas kepada semua pihak untuk mengemukakan sebarang keterangan yang dikira relevan dan dapat membantu proses menegakkan keadilan.

Isu menarik seterusnya yang dibincangkan ialah mengenai perancangan harta keluarga. Antaranya ialah undang-undang dan prosedur wakaf.

Umat Islam yang ingin mewakafkan tanah dikehendaki mengikuti prosedur tertentu yang digariskan oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri.

Seperkara yang menarik mengenai isu ini ialah kebanyakan umat Islam tidak begitu terdedah dengan amalan wakaf kerana hanya tertumpu kepada harta kekal iaitu bangunan dan tanah.

Oleh itu, menurut buku ini perwakafan daripada harta berbentuk semasa seperti wang, saham wakaf, hasil pelaburan dan harta intelek perlu diperkenalkan dan didedahkan kepada masyarakat Islam.

Persoalan wasiat juga menarik untuk dibaca dan dipraktikkan kerana menurut penulis membuat wasiat adalah sesuatu yang difardukan dalam Islam.

Oleh itu, buku ini memberi garis panduan bagaimana untuk melaksana sesuatu wasiat, syarat yang perlu diikuti, penerimaan dan penolakannya, kadar wasiat, penarikan balik dan pembatalan wasiat, pengiraan wasiat bersama pusaka serta pihak pentadbir wasiat.

Bab berikutnya menyentuh mengenai pusaka dan membincangkan bagaimana peninggalan seseorang itu dalam bentuk harta benda dan hak kewangan diagihkan kepada waris mengikut aturan dan kehendak hukum syarak.

Satu lagi bentuk agihan harta oleh seseorang yang dibincangkan ialah hibah. Buku ini cuba menghuraikan beberapa prinsip asas hibah dan bagaimana ia boleh digunakan sebagai instrumen dalam perancangan harta orang Islam selain pusaka, wasiat dan wakaf.

Isu terakhir yang dibincangkan dalam buku ini ialah mengenai zakat dan fitrah, produk dan perkhidmatan kewangan Islam serta produk halal.

Bab mengenai zakat dan fitrah tidak hanya menyentuh perkara asas sebaliknya, mengupas permasalahan zakat harta kontemporari, kaedah pembayaran dan fasiliti yang disediakan oleh pihak berkuasa, liabiliti hak pembayar zakat serta zakat orang kurang upaya.

Dalam bab berikut, penulis membincangkan tiga kategori perkhidmatan perbankan dan kewangan Islam di Malaysia iaitu perkhidmatan dan kemudahan perbankan, insurans dan takaful selain pasaran modal Islam.

Sementara bab terakhir pula membincangkan mengenai produk makanan halal yang kini semakin ramai menyedari kepentingan konsep halal dalam Islam.

Penulis berpendapat dalam usaha menjadikan negara ini hab makanan halal ia memerlukan pemerhatian khusus daripada pihak berwajib dalam menangani kes penyalahgunaan tanda halal.

Buku ini amat sesuai dibaca oleh masyarakat yang ingin mendalami dan memahami mengenai undang-undang Islam di negara ini, selain sebagai bahan rujukan penting pelajar universiti dalam bidang syariah serta pengamal undang-undang syariah.

[Utusan Online]

No comments:

Post a Comment