Sunday, January 06, 2008

Etika dalam penyelidikan

Isu-isu etika sangat penting dalam penyelidikan sebagai panduan untuk melengkapkan setiap kajian yang dijalankan. Penyelidik yang tidak mematuhi etika penyelidikan akan merosakkan reputasi penyelidikan sosial.

Tingkah laku beretika diberikan perhatian yang serius dalam sains sosial kerana ia melibatkan manusia sebagai subjek. Ia memberi kaitan langsung terhadap kehidupan subjek yang dikaji. Elemen penting dalam etika ini ialah:


Bahasa – penyelidik menyediakan maklumat lengkap dan bahasa yang mudah difahami. Penerangan juga perlu supaya responden memahami apa yang diinginkan oleh penyelidik.

Perasaan responden – beri masa yang cukup untuk responden menjawab soalan dan tidak boleh bertanya soalan-soalan yang memalukan, menyebabkan kekacauan emosi atau pengalaman yang tidak menyenangkan. Secara umum, penyelidik tidak boleh mendedahkan responden kepada tekanan mental atau fizikal.

Etika dalam semua peringkat kajian – penyelidik harus pentingkan etika pemilihan permasalahan kajian, tentukan kaedah penyelidikan, pengumpulan data, penganalisisan data, interpretasi dan melaporkan kajian.

Mengetahui tahap pendidikan responden – mengambil kira tahap pendidikan sampel yang ingin dikaji. Tidak boleh memberi tugas yang tidak wajar atau rumit kepada responden. Keadaan ini jika berlaku akan menyukarkan proses penyelidikan dan akan mendatangkan tindak balas yang negatif daripada sampel yang dikaji.

Berterus-terang dengan responden – berikan penjelasan kepada responden tentang matlamat dan tujuan kajian. Semua maklumat perlu dijelaskan termasuk prosedur yang terlibat dalam kajian. Dengan itu, responden akan secara sukarela melibatkan diri dalam kajian berkenaan.

Utarakan data yang tepat – bertindak memberikan data yang tidak lengkap, terkeluar dari konteks, memalsukan penemuan atau kemukakan fakta yang mengelirukan dianggap melanggar tatasusila penyelidikan.

Menjaga kerahsiaan responden – penyelidik sama sekali tidak boleh mendedahkan maklumat mengenai sampel kajian sehingga ia boleh menggugat keselamatan atau maruah responden. Hak-hak peribadinya harus dipelihara dan tidak boleh jatuh ke tangan pihak ketiga.

Mematuhi etika penyelidikan adalah tanggungjawab penyelidik. Kegagalan mematuhi etika berkenaan akan menggugat kesahan dan kebolehpercayaan kajian yang dilakukan.

2 comments:

  1. Syed Afiq12:23 AM

    salam..
    sy ingin mengucapkan jutaan terima kasih keran post ni telah byk mbntu sy dlm mnyiapkn tugasan sy..satu post yg bguna..harap lebih byk post yg berinfomatif seperti ni..terima kasih..

    ReplyDelete