Friday, January 25, 2008

Bahaya kemiskinan terhadap kedaulatan negara

Usaha untuk membasmi kemiskinan wajar dijadikan agenda utama ke arah menjaga kedaulatan negara dan mewujudkan hidup yang lebih harmoni. Melalui ikrar Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menghapuskan kemiskinan tegar sangat memerlukan pendekatan yang terbaik daripada semua pihak di kalangan kita semua.

Benarlah seperti kata ulama tersohor Sheikh Yusof Al-Qaradawi bahawa kemiskinan mendatangkan bahaya besar seperti membuatkan manusia hilang pertimbangan moral dan mencemari kemurnian hubungan antara anggota keluarga, mengancam keamanan, kesejahteraan dan kestabilan masyarakat, berbahaya terhadap kedaulatan, kebebasan dan kemerdekaan satu bangsa, bahaya terhadap kesihatan orang awam mendapatkan makanan yang berkhasiat, hidup dalam udara yang tercemar, kegundahan dan kemarahan.

Islam memandang keadaan kemiskinan akan menjadikan hidup lebih parah dan akhirnya timbul pelbagai gejala sosial dari sudut akidah, jasmani, pemikiran, keluarga, masyarakat dan seterusnya kepada negara. Ia akan mengundang padah kepada akidah umat Islam sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w maksudnya: “Kemiskinan itu hampir-hampir membawa kepada kekufuran.” (Hadis Riwayat Abu Nu’aim daripada Anas).


Bahkan Rasulullah s.a.w juga memohon perlindungan Allah daripada kejahatan yang dibawa oleh kemiskinan kerana ia akan diiringi dengan kekufuran. Dalam doanya yang berbunyi maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kemiskinan dan kekufuran”. (Riwayat Abu Daud).

Namun begitu umat Islam tidak harus menyerahkan kepada takdir semata-mata atau berpeluk tubuh tanpa diiringi dengan usaha yang padu serta bijak dalam mencatur cabaran pada masa kini. Perbuatan tersebut hanya mengundang lebih banyak sifat malas dan mengharapkan bantuan tanpa perlu berusaha semata-mata.

Apabila minda telah dijajah dengan mentaliti bantuan maka ia akan menjerat diri sendiri dan sanggup menggadaikan maruah keluarga dan negara.

Status orang miskin dan berpendapatan rendah merupakan satu hubungan yang berkait rapat dengan status tahap keimanan seseorang yang bertakwa. Oleh itu mereka yang meminggirkan golongan ini menjadi ukuran sikap sebagai seorang yang bakhil dan tidak dianggap mulia di sisi Allah s.w.t.

Oleh sebab itu ajaran Islam telah menitikberatkan konsep mengutamakan bantuan kepada fakir miskin dengan membantu mereka sebagai sebahagian daripada amalan mulia dan dijamin oleh Allah s.w.t dengan pelbagai ganjaran pahala.

Begitu juga Rasulullah s.a.w pernah bersabda daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya: “Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemuliaan baginya. Dan sesiapa yang bersikap tawadhuk kepada Allah maka Allah akan menaikkan darjatnya”. (Sahih Muslim)

Daripada kebanyakan negara yang terbabit menjadi mangsa ke dalam kancah peperangan adalah di kalangan negara dunia ketiga atau kelompok negara miskin.

Persoalannya apakah yang ada pada mereka sehingga terpaksa menjadi mangsa keadaan atau ia dianggap sebahagian daripada ujian Allah s.w.t.? Mengapa pula negara-negara kaya sering menjadi pencetus peperangan dan bersifat penjajah pada zaman moden ini?

Apakah tiada ruang walau sedikit pun untuk menegakkan kedaulatan negara tanpa dijajah?
Adalah mustahil untuk menerima kenyataan bahawa negara-negara terbabit tiada sumber ekonomi di bumi mereka sehingga terpaksa menagih simpati dunia, menjadi korban peperangan, merayu mendapatkan makanan dan bantuan perubatan serta pelbagai reaksi yang memeritkan sepanjang masa.


Akibatnya kadar keciciran dalam pendidikan dan penyakit buta huruf semakin bertambah manakala pergaduhan etnik seakan-akan tiada tanda-tanda penamatnya.

Istilah perdamaian hanya menjadi sebahagian daripada impian dan harapan mereka yang tidak tahu bilakah ia akan muncul. Selagi tanah air bermandikan darah dan kemiskinan terus bermaharajalela maka amat sukar untuk mewujudkan bangsa yang bertamadun apatah lagi untuk menerajui dunia dalam pelbagai lapangan.

Dalam banyak pendekatan membasmi kemiskinan maka strategi melalui peningkatan sumber pendapatan dan mengurangkan bebanan perbelanjaan rakyat dilihat sebagai pendekatan yang sangat relevan.

Soalnya daripada manakah sumber modal boleh memberi bantuan kepada golongan miskin? Apakah dengan menambah kadar subsidi membantu meningkatkan pendapatan isi rumah miskin sehinggakan kadang-kadang ia telah disalahgunakan? Atau dengan memastikan minda mereka dibebaskan menerusi ilmu pengetahuan, mengukuhkan keimanan dan bersatu melahirkan sebuah negara yang aman damai?

Justeru, usaha membasmi kemiskinan sama ada melalui ikrar pemerintah, menyalurkan bantuan atau dasar pemberian subsidi maka yang lebih utama ialah anjakan minda rakyatnya yang mahukan kemajuan.

Tidak kira sama ada golongan kaya atau miskin, kita semua adalah penyumbang dan pemain sebenar dalam memperkasakan modal insan. Membiarkan kemiskinan terus berleluasa samalah seperti membuka pintu kepada penjajah untuk meragut kedaulatan negara.

[Utusan Online]

No comments:

Post a Comment