Thursday, January 03, 2008

Sejauhmana MCA mampu melahirkan pemimpin bermoral dalam politik Malaysia?

Tahun baru 2008 tidak memberi harapan yang diimpikan kepada parti politik utama kaum Cina di Malaysia, MCA, khususnya kepimpinan bermoral. Semangat dan azam baru tidak mampu untuk melindungi kekecewaan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat apabila mendengar pengakuan terbuka hubungan sulit seorang menteri kabinet yang juga memegang jawatan kanan dalam MCA.

Ia lebih mengecewakan apabila kita memikirkan kepimpinan contoh dari kaum Cina Malaysia ketika ini didominasi oleh MCA. Di dalam kotak sebahagian besar masyarakat Malaysia ialah bagaimana MCA, sebagai parti politik yang mewakili etnik Cina menyusun strategi bagi membentuk dan melahirkan seorang bakal pemimpin parti itu pada masa depan. Urusan perkaderan sangat penting bagi mempastikan legasi kepimpinan terus berjalan setiap kali pertukaran pemimpin berlaku.

MCA bukannya sebuah parti politik yang maksum daripada kesilapan dan kesalahan. Sudah ada pemimpin kanan parti yang berkonflik sesama sendiri sama ada berkaitan pertandingan dalaman, urusan bisnes atau bertumbuk ketika persidangan diadakan. Tetapi konflik peribadi yang melibatkan hubungan seks di luar nikah adalah luar biasa kesannya kepada watak dan peribadi pemimpin.

Sama ada parti politik kerajaan atau pembangkang, kisah hubungan seks ahli-ahli parti ini menjadi perhatian umum seperti yang berlaku dalam kes Vijandran beberapa tahun lalu.

Keberanian menteri berkenaan membuat pengakuan secara terbuka penglibatan beliau dengan wanita muda disifatkan sangat hebat. Beliau sendiri yang mendedahkan aib diri untuk pengetahuan umum. Tindakan ini memberi implikasi besar bukan sahaja kepada dirinya malah keluarga, rakan taulan dan organisasi yang ada hubung kait dengan beliau.

Simpati masyarakat terhadapnya tetap ada tetapi tidak mampu untuk menghalang mereka daripada mencemuh dan mengkritik perlakuan yang tidak bermoral ini. Kata-kata nista telah bergema di sekitar beliau dan masyarakat Malaysia secara umum tidak dapat menerima sifat seorang pemimpin yang berkelakuan tidak bermoral. Hal ini tidak dapat dielakkan kerana konsep kepimpinan melalui teladan masih menjadi teras kepada kepimpinan masyarakat.

Peribadi pemimpin menjadi contoh kepada masyarakat kerana baik pemimpin baiklah masyarakat. Justeru itu, pemimpin yang tidak bermoral di dalam masyarakat wajar diketepikan kerana kepentingan rakyat dan negara lebih penting daripada kepentingan individu.


Sejarah hitam yang dipalitkan ke muka MCA adalah gambaran kualiti kepimpinan parti itu. Anggapan orang ramai terhadap pemimpin lain dalam MCA telah berubah sama sekali. Biarpun pelakunya telah meletakkan jawatan, namun imej buruk peribadi pemimpin utama ini akan terus menjadi kajian dan buah mulut orang ramai.

Kita ingin melihat apakah strategi seterusnya yang akan dilakukan oleh MCA bagi memulihkan imejnya dalam senario politik negara. Pendekatan terbaik ialah membuat pengukuhan dan ikrar untuk menolak mana-mana pemimpin yang berjawatan dalam kerajaan dan parti.

Nilai-nilai kepimpinan yang baru perlu menjadi salah satu elemen penting dalam kursus-kursus kepimpinan kerana nilai beginilah yang menjadi pengawal kepada tingkah laku menyimpang dan songsang.

MCA sebuah parti politik yang kukuh dari segi kewangan dan tidak ada masalah untuk mengumpulkan dana bagi sebarang aktiviti. Tetapi wang yang banyak tidak mampu untuk membeli seorang pemimpin yang jujur, amanah dan berakhlak mulia kerana ciri-ciri ini tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.

Nilai-nilai diri seorang pemimpin dibentuk oleh jenis latihan dan didikan. Pemimpin tidak dilahirkan dalam masa satu hari, satu minggu atau satu bulan sebaliknya melalui proses, ujian dan cabaran. Pemimpin juga perlu ada seorang pendidik atau murabbi yang akan membimbing, memberi tunjuk ajar dan dapat memberi teguran jika melakukan kesilapan.

Dunia pengurusan dan kepimpinan moden meletakkan ketua atau bos di dalam organisasi sebagai pembimbing. Saranan ini dilihat agak tersasar kerana belum tentu bos ini dapat memberi bimbingan dan tunjuk ajar yang terbaik.

Konsep yang dibawa oleh Islam lebih tepat kerana falsafah dan konsep yang diterapkan sangat kukuh dan membawa setiap pemimpin untuk mentautkan diri dengan Tuhannya. Konsep yang digunakan ialah "jalan yang lurus" seperti maksud ayat dalam surah al-fatihah: tunjukilah kami jalan yang lurus.

MCA perlu menilai kembali strategi perkaderan yang digunakan sekarang bagi mengenal pasti kelemahan sehingga melahirkan seorang pemimpin penting dalam parti itu yang tidak mengendahkan perlakuan moral yang baik dan menjadi contoh kepada masyarakat. Merancang kepimpinan yang bermoral adalah satu kemestian jika hendak mendapat sokongan masyarakat Malaysia selepas ini.

No comments:

Post a Comment