Menerobos masyarakat untuk mengembangkan usaha-usaha pengislahan adalah tugas dan tanggungjawab yang memerlukan pelan tindakan terancang. Peranan pengislah yang pelbagai fungsi boleh diaktifkan dengan dua cara iaitu:
1. Sentiasa bergerak
Perjalanan dari satu tempat ke tempat lain untuk berjumpa masyarakat memerlukan seseseorang pengislah yang sentiasa berjalan ke sana-sini untuk mencari orang. Umpamanya dari satu daerah ke daerah lain, ia perlukan banyak wang, tenaga dan pengorbanan masa – baik yang besar atau kecil. Jika mereka bekerja, terpaksa pula mengambil cuti, berbelanja sendiri untuk tiket kenderaan dan minyak petrol seterusnya mengorbankan masa bersama keluarga.
Seorang pembuat perubahan akan cuba mencari dan menyumbang kepakarannya, apa sahaja yang boleh ditolong dia akan berikan biarpun mengambil masa. Pengalaman bersama masyarakat menjadikan dirinya seorang yang puas kerana telah dapat memberikan sumbangan secara percuma.
Memahami budaya dan adat resam masyarakat adalah keperluan yang mesti dikuasai secepat mungkin. Mempelajari dialek dan lenggok bahasa mereka lebih memudahkan pengislah melihat ruang-ruang untuk membaiki kelemahan dan meningkatkan kekuatan sedia ada. Contohnya, mesti ada di dalam masyarakat golongan yang menghadapi masalah belajar, kurang arif tentang kepentingan belajar atau menghadapi masalah keluarga.
Pengislah akan cuba mendekati kelompok sasar mereka yang bermasalah ini untuk membantu. Bagi yang tidak mahu belajar, dia akan adakan soal selidik umum untuk mendapatkan data, seterusnya memahami keperluan, membuat rancangan tindakan dan akhirnya melaksanakan program pembangunan pelajar cemerlang. Sasaran utama ialah pelajar-pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan supaya keputusan peperiksaan menjadi lebih baik.
Bergerak untuk mencari masyarakat dan membuat pengislahan sebenarnya membantu mereka menghargai nilai kehidupan yang sedia ada. Seorang pekerja pencuci lantai yang bekerja mencari pendapatan untuk menyara diri dan keluarga tidak tahu berapa banyak nilai dirinya jika pengislah tidak memberitahu. Seorang pelajar juga tidak tahu nilai dirinya jika tidak diberitahu dan begitu juga dengan seorang ibu atau ayah, dia tidak tahu nilai jika tidak diberitahu.
Inilah peranan pengislah yang sensitif dengan masyarakat. Dia cuba memahami keadaan dan mencari jalan untuk membantu. Jika tidak mampu, dia mencari rakan-rakan untuk turut bersama membantu masyarakat yang dibimbingnya. Bekerja seorang diri tidak dapat memberi impak yang besar berbanding berkumpulan kerana kekuatan pasukan lebih banyak daripada seorang diri.
Pengislah harus bergerak setiap masa, melata ke seluruh negara dan merancang gerakan kecemerlangan.
2. Berjumpa masyarakat
Menghayati fikrah dan berkongsi dengan masyarakat mesti menjadi fokus kepada seorang pengislah. Proses menyampaikan fikrah ini memerlukan perancangan yang bersistematik, bukannya menerjah begitu sahaja. Banyak cara untuk merancang dan ianya boleh dilakukan dengan mendapatkan pandangan dan idea daripada banyak pihak.
Sasaran utama yang harus menjadi tumpuan ialah memimpin dan membaharui nilai masyarakat. Konsep dakwah mengubah masyarakat melalui kaedah tarbiyah melahirkan pemimpin berkualiti. Pengislah yang berkualiti akan menjadi ikutan kepada masyarakat kerana kekuatan di kelilingi oleh unsur-unsur atau elemen yang lemah.
Menemui masyarakat adalah untuk merawat hati mereka, membina diri yang lebih aktif, dinamik dan mahu mengubah diri dan keluarga. Apabila hati masyarakat telah sedia dengan perubahan, ketika inilah seorang pengislah dapat memberi input untuk membina kekuatan mereka. Antara input tersebut ialah merancang aktiviti mengikut keperluan, memberi peranan kepada setiap ahli masyarakat yang layak dan menggerakkan kreativiti dengan sumber yang terhad.
"Barangsiapa yang menjadikan akhirat kecintaannya, Allah melancarkan semua urusannya, hatinya kaya, dan dunia datang kepadanya dalam keadaan tunduk." (Riwayat Ibnu Majah)
Menjayakan dakwah dan tarbiyah
Pengurniaan akal, penglihatan dan pendengaran oleh Allah swt adalah untuk mengkaji dan berfikir tentang penciptaan alam, perjalanan sistem kehidupan dan yang paling penting ialah untuk mengenal pencipta. Dakwah perlukan kesungguhan kerana tugas ini sangat penting. Jika bermain-main dengan kerja dakwah, ianya tidak dapat menyelesaikan masalah akar umbi yang melata di dalam masyarakat. Mereka yang meminta izin untuk berundur melaksanakan kerja-kerja dakwah ini amat sukar dikelompokkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman.
Membantu kerja-kerja Islam dengan sepenuh hati, keikhlasan dan kesungguhan, insya Allah, usaha-usaha tersebut akan dipermudahkan. Cabaran atau halangan satu demi satu akan dilalui dengan mudah. Sekatan yang merintangi usaha dan kerja dakwah akan tersingkap perlahan-lahan.
Contohnya, jika kita berniat untuk mendirikan sebuah sekolah untuk pendidikan kanak-kanak di sebuah kawasan yang ramai penduduk. Lalu kita mendapatkan tapak sekolah, tawar-menawar harga dan memohon kebenaran daripada agensi kerajaan yang berkaitan. Sepanjang proses ini, banyak peringkat yang dilalui, kadangkala mengambil masa untuk disediakan. Kalau cepat berputus asa, impian melihat sebuah sekolah sebagai tapak untuk melahirkan pelajar-pelajar beriman dan beramal tidak akan menjadi realiti. Hanya angan-angan.
Jika kita menetapkan usaha yang berterusan sehinggalah berjaya mendirikan sebuah sekolah, kepuasan hati dan rasa bersyukur adalah anugerah yang sangat berharga.
Cabaran-cabaran utama seorang pengislah untuk menjayakan dakwah dan tarbiyah ialah:
1. Kerjaya dan proses menuntut ilmu tidak berasaskan dakwah dan tarbiyah
Mencari kerja untuk menyara hidup diri dan keluarga adalah satu kewajipan. Tidak ada daya juang untuk mencari ilmu yang dapat meningkatkan pengetahuan dan pengalaman yang dapat memberi pengkayaan kepada proses pengembangan dakwah adalah suatu yang merugikan.
Bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang hanyalah tuntutan sebagai pekerja bagi menjayakan perancangan jemaah untuk mendapatkan habuan dalam bentuk gaji, bonus, ganjaran dan kemudahan pinjaman. Tetapi waktu-waktu selepas itu tidak diuruskan dengan berkesan hingga mengabaikan proses tarbiyah untuk diri sendiri.
2. Dakwah dan tarbiyah tidak menjadi keutamaan dalam pengurusan hidup
Kejayaan pelaksanaan dakwah dan tarbiyah hanya boleh menjadi kenyataan apabila kita meletakkan usaha-usaha ini sebagai keutamaan, menjadikan setiap usaha dakwah sebagai teras kepada semua jenis kerja dan menyerapkan elemen tarbiyah sebagai pengukuh kepada kerja-kerja dakwah.
Meletakkan dakwah dan tarbiyah di puncak matlamat hidup menjadi asbab kepada pertolongan Allah swt. Ketika Imam Hassan Al Banna hendak menghadapi peperiksaan penting keesokan hari, malam ini beliau masih lagi melakukan kerja-kerja dakwah. Dalam erti kata yang mudah ialah beliau melakukan dua kerja serentak. Pertolongan Allah swt sangat jelas. Malam itu ketika tidur dia bermimpi soalan peperiksaan dan jawapannya sekali yang akan ditanya. Ketika peperiksaan, amat mudah baginya untuk menjawab. Pertolongan Allah swt kepada mereka yang benar-benar membantu agamaNya sentiasa tiba jika dakwah dan tarbiyah menjadi keutamaan kerja.
Sibuk dengan urusan kerja sehingga mengorbankan iltizam dakwah dan tarbiyah adalah pilihan yang merugikan sepanjang masa. Sekiranya kita masih ada masa, kembalilah meletakkan dakwah dan tabiyah sebagai kerja utama.
3. Berkompromi dengan sistem, lemah dalam aplikasi dan komitmen jemaah
Sistem pentadbiran yang sedang dilaksanakan tidak membawa sebarang faedah kepada kejayaan dakwah dan tarbiyah kerana pelaksanaannya membawa jauh daripada mengagungkan Allah swt. Pemimpin-pemimpin yang lahir daripada sistem seperti ini tidak membawa pengislahan sebenar kerana matlamatnya sangat jauh tersasar daripada matlamat yang hakiki tujuan penciptaan manusia.
Di samping sistem, lemahnya dalam mengaplikasi dan komitmen terhadap jemaah menambah lagi jarak renggangnya dengan kejayaan dakwah dan tarbiyah. Sudahlah sistem yang ada melalaikan dan mengikat fikiran, jiwa dan hati untuk bergerak aktif, hubungan yang lemah dengan program pembangunan diri oleh jemaah menambah lagi derita kepayahan untuk menjayakan proses dakwah dan tarbiyah sama ada untuk diri ataupun keluarga.
Jadi, usaha untuk mengubah sistem sedia ada yang tidak mengajak kepada mengagungkan Allah swt adalah satu kemestian. Eratkan hubungan dengan program pembangunan jemaah supaya kita layak untuk memikul tanggungjawab dakwah dan tarbiyah ini.
4. Jawatan bertukar menjadi matlamat, bukannya alat
Keasyikan mengejar jawatan yang diulit dengan pelbagai keistimewaan status sosial dalam masyarakat menghalang pandangan kita untuk menjadikan dakwah dan tarbiyah sebagai teras kepada matlamat hidup. Hakikat sebenarnya ialah jawatan mesti menjadi alat bagi mencapai matlamat kerana jawatan boleh digugurkan bila-bila masa.
Perdana menteri, presiden atau menteri akan hilang jika kalah dalam pilihan raya. Tetapi andai kata meltakkan matlamat boleh dicapai dengan berbagai-bagai cara, mengejar jawatan tidak lagi menjadi satu impian yang besar.
Untuk membetulkan kembali persepsi jawatan sebagai alat bukannya matlamat, kefahaman yang mendalam mengenai peranan jawatan bagi menjayakan matlamat mesti diterangkan dari semasa ke semasa. Barulah pelaksanaan kerja dakwah dan tarbiyah berjalan dengan lancar, teratur dan berkonsepkan pencapaian matlamat.
5. Lemah mengurus masa untuk pentarbiyahan
Semua orang diperuntukkan masa yang sama setiap hari iaitu 24 jam. Pengisian masa ini bergantung kepada kita. Apa yang perlu dibuat, bagaimana melakukannya dan sejauh mana kesannya program yang dirancang itu kepada diri. Kegagalan mengurus masa mengundang rugi kepada sesiapa sahaja yang cuba untuk melengah-lengahkan dakwah dan tarbiyah kerana masa yang ada itu tidak akan kembali lagi.
Lemah mengurus masa ini boleh dilihat dalam pelbagai perspektif. Contohnya menghadiri usrah. Kenapa usrah seringkali lewat dimulakan? Program yang sepatutnya bermula jam 9 malam sering terlajak sehingga ke pukul 10 malam kerana menunggu kedatangan ahli usrah seperti menunggu buah nangka yang hendak jatuh. Ternyata ahli usrah seperti ini tidak ada sensitiviti untuk datang lebih awal.
Banyak faedahnya jika program usrah dapat diadakan pada masa yang lebih awal seperti perbincangan yang mendalam dan padat, aktiviti menghafal surah-surah terpilih dapat diperkemaskan dan banyak lagi program lain yang berfaedah dapat diteruskan.
Kenapa susah sangat untuk mengurus masa pentarbiyahan ini?
Sebab utama ialah mementingkan masa tidak menjadi budaya. Kesedaran terhadap masa tidak menjadi perkara yang diutamakan. Ia berbalik kepada proses yang dilalui sejak kecil.
Pengislahan masyarakat melalui dakwah dan tarbiyah adalah cabaran yang sangat besar kepada pengislah, pendakwah atau pemimpin yang cenderung kepada kerja-kerja Islamik. Tanpa ada bekalan dakwah dan tarbiyah, tidak mungkin usaha yang dibuat ini akan berjaya dengan memuaskan. Bekerja seorang diri juga tidak akan ke mana kerana kejayaan yang sebenar terletak pada jemaah.
Subhanallah,sangat menarik
ReplyDeleteTergerak hati saya untuk menjadi seorang pengIslah...