Saturday, January 05, 2008

Kes dera: Pek Ha diperintah bela diri

Suri rumah, Yim Pek Ha diperintah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini supaya membela diri atas empat tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas pembantu rumahnya warga Indonesia, Nirmala Bonat kira-kira tiga tahun lalu.

Hakim Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas beliau mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap keempat-empat tuduhan yang dihadapi oleh Pek Ha, 39.

Dalam keputusan lisannya, Akhtar berkata, beliau berpuas hati dengan keterangan Nirmala sebagai saksi pendakwa bahawa tertuduh yang menyebabkan kecederaannya dan adalah mustahil tertuduh dan suaminya sebagai majikan tidak mengetahui kecederaan yang dialami oleh mangsa.

“Nirmala (dalam keterangannya) memberitahu walaupun dia tidak basuh rambut pun, tertuduh akan tahu tapi dalam kes ini tertuduh dan suaminya langsung tidak membawa mangsa untuk diberi rawatan walaupun mengalami cedera parah.

“Ini menunjukkan bahawa tertuduh hendak menyembunyikan sesuatu dan ini bukan tingkah laku majikan yang prihatin,” katanya dalam nada tegas.

Sebaik sahaja selesai keputusan dibacakan, Pek Ha yang kelihatan tenang di kandang tertuduh selepas dimaklumkan mengenai tiga pilihan bela diri yang diperuntukkan, suri rumah itu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi.

Mahkamah kemudian menetapkan ibu kepada empat orang anak itu yang diwakili oleh dua peguam bela, Jagjit Singh dan Akbardin Abdul Kader, mula memberi keterangan bela diri pada 28 Januari ini.

Pek Ha dibicarakan setelah dia mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala, 22, menggunakan seterika dan air panas di rumahnya di 22B-25-6, Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala menggunakan cawan besi pada 3 petang 17 Mei 2004 di tempat yang sama.


Bagi tiga tuduhan pertama, Pek Ha didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Tuduhan keempat dibuat mengikut Seksyen 325 kanun yang sama dan jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.


Sebanyak 16 saksi pendakwa telah dipanggil oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang mengambil masa lebih tiga tahun sejak dimulakan pada 28 September 2004.

Akhtar dalam keputusannya berkata, apa yang menarik perhatiannya dan tidak boleh dipertikaikan adalah gambar-gambar dikemukakan oleh pihak pendakwaan yang menunjukkan kecederaan Nirmala selepas laporan polis dibuat.

“Gambar ini menceritakan apa yang berlaku dan apa yang penting, gambar ini menunjukkan mangsa memang telah mengalami kecederaan yang ketara walaupun diambil selepas empat atau lima bulan kejadian berlaku,” ujarnya sambil menyatakan beliau tidak perlu menjadi pakar untuk berkata seperti itu.

Beliau berkata, memandangkan tiada saksi lain (eye witness) yang melihat kejadian itu, kes pendakwaan secara keseluruhannya adalah bergantung kepada keterangan mangsa semata-mata.

Berikutan itu, katanya, beliau perlu menilai keterangan mangsa dari tiga aspek iaitu tingkah laku (demeanour), kandungan keseluruhan keterangan yang telah diberikan mangsa dan keterangan sokongan.

Sebagai hakim kes itu, katanya, beliau telah meneliti tingkah laku Nirmala melalui cara dia memberi keterangan dan cara dia menjawab soalan serta dari segi air mukanya, lalu merumuskan gadis itu adalah seorang saksi yang jujur dan menjawab soalan dengan terang serta jelas.

“Walaupun tidak dinafikan terdapat percanggahan dalam keterangan mangsa dan ada perkara yang mangsa akui tidak benar tetapi adakah percanggahan itu begitu material sehingga boleh menyatakan saksi ini (Nirmala) tidak boleh dipercayai?” soal Akhtar.

Menurut hakim tersebut, beliau menerima penjelasan Nirmala mengenai butiran palsu yang tercatat dalam borang permohonan kemasukannya ke negara ini dan laporan polisnya pula bukan keseluruhannya tidak benar.

“Percanggahan keterangan Nirmala di mahkamah (dengan laporan polis mangsa), pada hemat saya ia berlaku akibat soalan bertubi-tubi oleh peguam bela.

“Ini menyebabkan saksi (Nirmala) akan merasa gusar dan ada kemungkinan dia memberi keterangan berbeza tapi ini tidak bermakna seseorang itu tidak boleh dipercayai,” katanya.

Dengan mengetepikan percanggahan tersebut, kata Akhtar, keterangan mangsa adalah konsisten dan tidak dicabar bahawa tertuduh yang mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.


Malahan, katanya, mangsa dengan jelas dapat memberitahu bagaimana kejadian itu berlaku dan mengenal pasti objek-objek yang dikemukakan di mahkamah.

Sebagai contoh, katanya, Nirmala dapat menjelaskan bagaimana tertuduh sendiri telah meminta mangsa membersihkan seterika panas yang digunakan untuk menekap dadanya kerana ada kulit yang terlekat.

Hakim tersebut turut menolak hujah pembelaan yang menyatakan kecederaan itu dilakukan sendiri oleh Nirmala berdasarkan gambar mangsa terutama gambar kecederaan di bahagian belakang mangsa.

Di samping itu, katanya, hujah pembelaan yang menyatakan kecederaan dilakukan oleh Nirmala kerana masalah mental dan epilepsi (sawan) adalah tidak berasas.

“Selama tiga tahun kes ini berjalan, saya perhatikan mangsa adalah normal dan tenang serta tidak menunjukkan sikap ganas,” katanya sambil menambah beliau tidak dapat mengesan masalah mental Nirmala seperti yang didakwa peguam bela.

Akhtar berkata, keterangan mangsa turut disokong oleh keterangan bebas terutama gambar tersebut, keterangan dua pengawal keselamatan yang menemui mangsa, keterangan doktor yang pertama memeriksa Nirmala dan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

[Utusan Online]

No comments:

Post a Comment