Wednesday, January 02, 2008

Datuk, macam mana boleh jadi macam ni?

"Cina boleh simpan, dua tidak boleh. Melayu boleh 4, simpan boleh juga. Islam empat sahaja, simpan haram." Satu lagi, "Tu la ... tapi leader as role model."

Dua khidmat pesanan ringkas yang diterima setelah tersiarnya pengakuan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik dan berjawatan menteri dalam kerajaan terlibat dengan perlakuan tidak bermoral pada kaca mata masyarakat Malaysia.

Biar apa pun agama dan bangsa seseorang pemimpin, akhlak dan moral adalah dua ciri yang sangat penting yang perlu berada kukuh di dalam dirinya. Tidak ada salah satu atau kedua-dua ciri ini, kepimpinannya dikira sebagai sangat tidak berkesan. Lebih-lebih di dalam masyarakat Malaysia, menjaga akhlak dan moral diberi keutamaan.

Krisis akhlak dan moral pada hari ini tidak lagi melibatkan pemimpin di peringkat kampung, syarikat tetapi menjangkau ke peringkat menteri dalam sektor awam. Berita ini amat mengejutkan semua lapisan masyarakat yang mengharapkan setiap pemimpin yang berada dalam barisan kabinet bersih daripada perlakuan tidak bermoral disisi masyarakat. Nampak seolah-olah akhlak diketepikan kerana mengutamakan nafsu sendiri.

Dalam hal ini, siapakah yang menjadi mangsa? Pemimpin atau rakyat?

Di negara Jepun, skandal seperti ini akan berakhir dengan perletakan jawatan atau membunuh diri. Di Barat, ia tidak menjadi isu yang besar kerana aksi seks dianggap sebagai hak peribadi, tetapi tidak di Malaysia, ketua kerajaan yang membuat keputusan setelah mengambil kira kepentingan semua perkara khususnya penerimaan masyarakat umum.

Cuba kita lihat apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh seorang dewasa ketika usia 50-an dan 60-an ini.

Pada peringkat umur ini, semua keperluan fizikal biasanya telah dicapai: rumah, kenderaan, keluarga, rakan, kepuasan kerja dan status sosial. Pada kaca mata kasar, sudah tidak ada apa-apa lagi yang perlu dicapai melainkan kedamaian hidup selepas mati. Untuk mendapatkan belaian dari isteri, mungkin keadaannya tidak lagi romantik seperti ketika muda kerana masing-masing sudah kendur daya tarikannya.

Bagi mereka yang kuat amalan agama, menunaikan kewajipan agama sentiasa berada di hati dan fikiran. Bagi umat Islam, ketika usia ini, tempat yang paling kerap dikunjungi ialah masjid atau surau. Bagi yang berkemampuan pula, menunaikan haji dan mengerjakan umrah sentiasa menjadi impian setiap tahun.


Mereka yang bukan Islam, apa pula yang hendak dicapai? Ia mengikut kepercayaan dan tatacara agama masing-masing. Ada yang suka bersedekah dan membuat amal, membelanjakan makanan, memberi perkhidmatan sukarela dan sebagainya. Tindakan-tindakan ini mempunyai signifikan selepas kematian mereka kelak.

Melihat dengan lebih dekat keadaan emosi orang yang mencapai tahap umur ini, kestabilan emosi sudah mantap kerana puncak kebebasan telah mereka capai, bebas membuat tindakan sendiri, di samping mampu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran dengan lebih cepat.

Begitu juga kemampuan untuk berhadapan dengan setiap konflik secara tolak ansur dan mampu mengawal emosi serta permusuhan. Elemen yang sangat penting ialah keupayaan mereka untuk mengawal emosi (marah, merajuk, kecewa dan sebagainya) dan bukan dikawal oleh emosi.

Jadi, tidak menjadi masalah besar kepada individu yang mencapai umur 50-an atau 60-an untuk menyusahkan orang lain dengan perkembangan emosi dan pemikiran mereka. Dari sudut perkembangan intelek, emosi dan fizikal, segala-galanya telah dicapai dan sepatutnya mereka berpuas hati dengan apa yang ada. Keluarga dan anak-anak, kerja yang memberi pengalaman kepada diri dan menikmati status sosial yang baik.

Barangkali satu perkara yang sedang berlaku kepada mana-mana individu yang berperanan penting di dalam masyarakat ialah masa yang tidak cukup bersama isteri masing-masing. Isteri sebagai teman hidup adalah sumber kepada kegagahan suami untuk bekerja demi negara. Menjawat jawatan penting sama ada di dalam kerajaan, parti politik atau pertubuhan, banyak masa yang dikorbankan untuk mencayakan visi dan misi. Kadangkala terlalu sedikit masa bersama dengan isteri dan anak-anak sedangkan sebagai manusia, mereka masih memerlukan belaian fizikal dan psikologikal, zahir dan batin.

Seorang doktor tentulah lebih arif tentang keperluan menjaga kesihatan diri sama ada fizikal atau nafsunya sendiri. Mahu ataupun tidak, peranan isteri sangat penting untuk memastikan kedua-dua keperluan ini dipenuhi. Kegagalan isteri mengenal pasti dengan tepat kehendak suami akan menyebabkan implikasi besar kepada keluarga. Bagi yang kaya-raya dan berkemampuan, mereka akan mula memikirkan "cawangan" yang baru untuk dibuka.

Bagi agama yang membenarkan perkahwinan lebih daripada satu, penganutnya tidak ada masalah besar untuk melaksanakannya. Tetapi tidak untuk agama yang melarang tindakan ini. Jadi, jalan keluarnya ialah menyimpan perempuan yang dapat memberi kebahagiaan dan kedamaian fikiran. Lagi banyak harta, lagi banyaklah perempuan yang ingin dicarinya. Tetapi dalam banyak-banyak tersebut, hanya seorang yang biasanya menjadi istimewa.

Menggunakan saluran yang melanggar pantang larang keluarga umpama menyimbah minyak ke dalam api. Sesuatu isu yang sudah besar akan menjadi lebih parah jika ia diperbesarkan lagi. Ada sindiran, kritikan dan cemuhan yang menjadikan "telinga semakin merah."

Kisah yang berlaku ke atas menteri berkenaan mengganggu kemeriahan sambutan tahun baru dan azam orang ramai. Dari satu sudut, ia menguatkan azam kepada setiap orang untuk berhati-hati dalam apa juga tindakan mereka dan mempastikan musuh tidak mengambil kesempatan. Pemimpin akan dihormati di dalam masyarakat jika mereka menunjukkan teladan yang berguna kepada masyarakat. Menyeru kepada kebaikan dan menggalakkan budaya yang memberi kesan kepada kemajuan setiap individu yang dipimpin.

Apabila berada dalam status yang tinggi dan berjawatan penting, ramai pihak yang dengki dan iri hati. Setiap langkah adalah peluang untuk dijatuhkan. Ketika sebilangan masyarakat yang miskin memerlukan bantuan kewangan untuk membuat pembedahan segera dan permohonan mereka ini tidak dilayan, di mana lagi tempat untuk orang miskin ini mengadu? Mereka mengadu kepada wakil rakyat, tuam imam dan termasuk perdana menteri tapi apa yang boleh dilakukan oleh mereka ini? Jadi tempat terbaik ialah mengadu kepada Allah swt supaya keadaan susah ini digantikan dengan kesenangan dan diberi balasan kepada yang penganiaya. Ketika masyarakat majoriti bersusah-payah memohon dan disusah-susahkan, kelompok minoriti sangat mudah mendapat bantuan bagi membiayai kos rawatan. Sikap pilih kasih sebegini, dalam apa jua bidang dan keadaan hanya menambah bilangan musuh yang akan bersorak apabila melihat dirinya mendapat kesusahan.

Pemimpin adalah model kepada orang yang dipimpin. Memilih untuk mengingkari prinsip ini, jadilah seperti apa yang kita baca di surat khabar, apa yang kita dengar di radio dan apa yang kita lihat di televisyen.

Pemimpin seperti ini wajar menarik diri daripada menjadi pemimpin kerana tidak menunjukkan teladan yang boleh dicontohi. Jadi, pemimpin ini perlulah mngundurkan diri.

Melahirkan seorang pemimpin yang dihormati, umpama mengukir batu. Batu yang keras, jika diukir dengan penuh kesabaran akan menjadi bentuk yang dikehendaki. Tetapi untuk mengukir air, amat mustahil. Sejak kecil nilai-nilai murni yang diperkuatkan dengan nilai-nilai spiritual adalah asas kepada kekuatan moral dan akhlak pada masa depan.

Jadi, Datuk, apa lagi yang difikirkan?

No comments:

Post a Comment