Di bawah tajuk Dunia Tanpa Islam secara ringkas penulisnya, Graham Fuller menyoal bagaimanakah dunia jika Islam tidak wujud langsung? Kepada sesetengah pihak, ia mungkin sesuatu yang membahagiakan: Tiada pertembungan peradaban, tiada jihad, tiada pengganas.
Adakah agama Kristian akan menguasai dunia? Adakah Asia Barat menjadi cahaya keamanan bagi demokrasi? Mungkin peristiwa 11 September tidak akan berlaku? Bahkan, jika Islam tidak disingkirkan daripada haluan sejarah, dunia akan menjadi lebih aman? Provokasi ‘jahat’ Fuller yang ingin mempengaruhi dunia membenci Islam dan beranggapan bahawa agama Islamlah merupakan punca masalah di dunia sekarang khususnya di Asia Barat.
Bagi penulis dunia tanpa Islam akan terus gelap kerana dengan kegemilangan tamadun Islamlah, Barat yang kuno itu mendapat cahaya kemajuan. Sumbangan tamadun Islam hasil daripada pertembungan melalui perdagangan dan juga Perang Salib itulah yang membuatkan manusia Barat yang hidup dengan serba daif dan kekurangan itu menemui cahaya tamadun Islam. Barat telah mengalami penyakit amnesia dan telah lupa daratan bahawa tanpa Islam, Barat tiada apa-apa.
Pada hakikatnya agama majoriti orang Barat lebih menggalakkan kehidupan rahib dan bersekongkol dengan pemerintahan zalim yang menindas rakyat.
Mereka tiada mendapat pembelaan sebab itulah sejak kebangkitan Barat ia meletakkan agama sebagai sesuatu yang peribadi sahaja. Tanpa Islam, Barat tidak akan menemui keilmuan sains dan teknologi pun kerana daripada tokoh-tokoh sains, teknologi, falsafah dan keilmuan Islam lahirlah kesedaran Barat tentang perkara-perkara tersebut.
Tanpa Ibn Rusyd, Al-Khawarizmi, Ibn Sina (sekadar menyebut beberapa tokoh keilmuan Islam), Barat akan terus gelap tanpa cahaya kebenaran. Sayang sekali kegemilangan tamadun Islam telah membuatkan umatnya alpa, lalai dan berasa selesa sehingga meninggalkan pegangan dan rujukan kepada kitab al-Quran.
Kelemahan-kelemahan ini diambil kesempatan oleh Barat yang sememangnya anti-Islam dan mengaut segala hasil mahsul Islam untuk dibawa ke Barat dan mempelajari keilmuan Islam dan dikembangkan sehingga mereka mencapai kemajuan sekarang. Malah agama mereka direformasi supaya sejajar dan disesuaikan pemikiran saintifik yang diterima daripada Islam.
Apakah Barat akan maju dalam dunia tanpa Islam? Apakah segala masalah yang menimpa umat Islam tidak berpunca dari Barat iaitu Amerika dan Eropah yang menjajahi dan merampas hasil mahsul umat Islam serta mengindoktrinasikan ajaran, falsafah dan budaya mereka sehingga menjadi konflik kepada umat Islam sekarang?
Menguasai
Apakah kerana Islam dan umat yang sentiasa menentang segala usaha dan niat Barat hendak menguasai dunia sehingga jurnal tersebut sanggup menerbitkan tajuk Dunia Tanpa Islam.
Apakah Islam sekarang merupakan satu-satunya halangan bagi Barat meneruskan imperialisme dan hegemoninya ke atas seluruh dunia.
Sebab itulah sekarang mereka dengan sengaja mengadakan dan mengembangkan propaganda fobia Islam atau Islamofobia. Semua bertujuan menyingkir atau mengenyahkan ajaran Islam dari muka bumi.
Situasi fobia bukan sahaja mempengaruhi manusia di Barat tetapi juga sedikit sebanyak telah menguasai minda masyarakat bukan Islam di negara ini, sekurang- kurang meragui kebenaran Islam.
Mereka sering menyoal kebenaran kerana sentiasa dikaitkan dengan berita keganasan dan penentangan terhadap Barat. Kita tidak mempunyai persiapan secukup perhubungan awam dan ilmu propaganda bagi menentang fitnah Barat ini. Kita sekarang dihentam dari segala sudut dan segi kehidupan.
Masyarakat bukan Islam sering melihat umat Islam sebagai tidak berguna dan sering bercakaran sesama sendiri. Sebab itulah juga tajuk sebegini sering muncul, apakah dunia akan lebih baik jika tanpa Islam.
Kelemahan umat Islam dari dalam dan kesempatan yang digunakan Barat melalui mesin propagandanya menjerumuskan Islam dan umatnya kepada suatu kemelut sekarang. Dengan bertopengkan demokrasi, mereka boleh melakukan apa saja kezaliman untuk menguasai dunia.
Jurnal ini diasaskan oleh Samuel Huntington (pengasas teori pertembungan peradaban) dan Warren Demian Manshel pada 1970 dan kini diterbitkan oleh The Carnegie Endowment for International Peace di Washington, D.C., sebuah institusi penyelidikan bagi kerajaan Amerika Syarikat.
[Utusan Online]
No comments:
Post a Comment