Sahabat, kawan, teman, saing dan rakan adalah istilah yang membawa maksud hampir sama. Jika sesuatu hubungan tersebut disifatkan mesra, ia menjadi sahabat atau teman. Jika agak jauh dipanggil rakan atau saing. Jika ada kaitan dalam persaingan, ia tidak lagi dipanggil dengan apa-apa nama sebaliknya digelar musuh.
Musuh pun banyak jenis: musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan.
Bagaimana kita dapat menyemai persahabatan yang lebih akrab dan mesra? Ketika sebahagian besar daripada masa kita digunakan untuk bekerja pada sebelah siang dan malamnya untuk urusan keluarga, membina hubungan persahabatan banyak ditentukan oleh mobiliti sosial kita sendiri. Penentu kepada kekuatan sesuatu hubungan terletak pada banyak faktor: agama, bangsa, suku, daerah, persekitaran atau kepentingan ekonomi.
Talian persaudaraan yang kuat menjadi faktor dominan kepada hubungan kekeluargaan. Adik-beradik mempunyai rasa berpunya jika hidup beberapa tahun dalam persekitaran yang sama berbanding keluarga yang bercerai dan berpisah ataupun yang selalu berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Contohnya dua orang adik-beradik yang lama berpisah dengan ibu atau bapa mereka, tidak lagi mempunyai rasa berpunya atau perasaan sayang kepada salah seorang daripada ibu dan bapa mereka kerana persekitaran telah mengubah corak berfikir dan persepsi terhadap keluarga sedia ada.
Mungkin berbulan atau bertahun tidak berjumpa dengan ibu atau bapa, ianya tidak menjadi masalah. Keadaannya berbeza bagi adik-beradik yang ada ikatan keluarga, bersama ibu dan bapa malah sentiasa diperkenalkan dengan saudara-mara yang lain. Hubungan mereka ini lebih akrab, mesra dan harmoni.
Keadaan mesra, akrab dan harmoni ini juga boleh wujud dalam kelompok manusia yang tidak ada hubungan persaudaraan, strata kelas sosial yang berbeza dan datang dari tempat yang berbeza pula. Faktor pengikat kepada hubungan seperti ini ialah ideologi atau kepercayaan yang disemai kukuh di dalam kelompok berkenaan.
Contoh yang jelas bagi menunjukkan hubungan seperti ini ialah ketika berlakunya hijrah Rasulullah saw ke Madinah. Kaum Aus dan Khadzrat, dua kelompok yang berbeza serba-serbi tetapi memiliki ikatan akidah yang kukuh, sanggup mengenepikan kesusahan sendiri semata-mata untuk menyenangkan orang lain. Tidak ada kenderaan ditawarkan unta dan tidak ada teman ditawarkan isteri. Agak sukar bagi masyarakat Islam pada hari ini untuk mengulangi apa yang dilakukan oleh dua kaum yang berbeza ini tetapi tidak mustahil ada berlaku di dalam masyarakat kita.
Bagaimana hendak menguji kekuatan hubungan di antara dua orang sahabat atau rakan ini? Apakah kita layak menggelar sesebuah persahatan itu dalam keadaan baik tanpa membuat penilaian yang objektif? Dengan membuat beberapa siri ujian, barulah kita tahu sejauh mana kasih dan pengorbanan seorang rakan kepada rakannya yang lain.
Ujian mudah ialah katakan kita memerlukan kenderaan untuk urusan penting. Setelah berfikir, orang yang boleh membantu ialah sahabat baik kita. Lalu kita menelefon dan memaklumkan keperluan kita kepadanya. Seorang sahabat yang kasih dan sayang kepada kita tidak akan menolak untuk memberi bantuan sebaliknya akan cuba memenuhi keperluan rakannya. Biar susah macam mana sekalipun, dia tetap berikhtiar untuk berkhidmat. Tanpa banyak soal dan tanpa berdolak-dalih. Jika ada program yang boleh dibatalkan, dia akan membatalkannya saja dan mengutamakan rakannya tadi.
Jika ada banyak alasan: balik lewat, tidak ada masa, ada urusan dan motosikal banyak masalah, maknanya dia bukanlah seorang sahabat yang pengasih dan penyayang.
Dari segi berhutang wang ringgit umpamanya, sebaik sahaja kita katakan tidak ada wang untuk belanja makan dan sebagainya, terus dikeluarkan duit dan diberi kepada kita, ini tandanya sahabat yang yang menjiwai kesusahan kita dalam hal wang ringgit tadi. Jika banyak berdolak-dalih, ianya belum sampai ke tahap mendahului kawan.
Pada masa peperangan di antara kaum muslimin dan musyrikin dahulu, terdapat sebuah kisah yang terkenal mengenai mengutamakan orang lain. Seorang pejuang yang kehausan diberi air untuk menghilangkan dahaga. Ketika beliau hendak meneguk bekas air yang dipegangnya, terdengar rengekan haus daripada rakan sebelah lalu diberikan kepada rakannya itu. Kes yang sama turut berulang kepada rakan-rakan pejuang yang lain sehinggalah mereka terkorban.
Rasa kasih dan mengutamakan sahabat semakin luntur di dalam masyarakat hari ini. Jika ada sedikit perbezaan pendapat atau konflik di antara jiran, rakan sekerja atau terguris hati, perbalahannya mengambil masa untuk reda. Ada kes yang berlaku sesama jiran yang melibatkan tanaman rumput, pagar atau anak-anak yang aktif. Hilangnya rasa kasih dan sayang sesama jiran, teman atau sahabat ini sudah tidak dapat dielakkan kerana ia adalah ciri-ciri sebuah masyarakat yang bergelora dengan krisis nilai. Nilai yang berada di dalam agama, budaya dan sosial masyarakat tidak diambil sepenuhnya kerana kekangan kepada keadaan hidup.
Apabila harga barang naik, keperluan kepada pendapatan yang lebih tinggi diutamakan. Jika dulu ada satu kerja, pada hari ini terpaksa melakukan dua kerja. Siang untuk kerja tetap dan malam untuk kerja sampingan. Keadaan ini menyebabkan masa untuk membina nilai yang didukung dalam agama dan budaya tidak dapat diterapkan sepenuhnya. Apa yang berlaku ialah fikiran dan tindakan dibuat berasaskan logik dan keperluan diri bukannya di atas nilai yang menjadi pengukuh kepada pembentukan pemikiran, sikap dan norma di dalam masyarakat.
Pengabaian dan menolak untuk menerapkan nilai-nilai menyebabkan anak-anak kurang menghormati ibu bapa, anak gadis mendengar cakap kawan-kawan daripada ibu bapa sendiri dan rakan karib sanggup mengenepikan persahabatan kerana terpengaruh dengan tarikan kekayaan dan kesenangan.
Bagaimana pula langkah yang praktikal bagi menyemai rasa kasih semasa sahabat atau rakan ini? Apakah cukup sekadar berjumpa setiap minggu dalam majlis rasmi atau usrah?
Pendekatan terbaik terletak pada kebijaksanaan kedua-dua pihak. Banyaknya aktiviti bersama tidak semestinya mendekatkan fikrah atau menyatukan hati kerana ia harus mengambil kira keperluan, kehendak dan minat. Penyemaian yang berjaya dan berpanjangan ialah yang mempu mendekatkan hati, merasionalkan fikiran dan mengerakkan seluruh perasaan dan fikiran kepada mengutamakan sahabat biar apa pun yang berlaku.
No comments:
Post a Comment