Kumpulan Utusan, Media Prima dan The Star serta akhbar-akhbar yang lain mula melancarkan gerakan memaparkan poster Sharlinie di muka hadapan akhbar bersama lakaran wajah suspek. Selain itu, ganjaran wang ringgit dijanjikan kepada sesiapa sahaja yang dapat menjejak penjenayah terbabit yang dikatakan ada kaitan dengan pembunuhan Nurin Jazlin pada tahun lepas.
Persatuan, pertubuhan, kelab dan orang perorangan turut membantu gerakan besar-besaran ini dengan mengedarkan risalah berkaitan supaya wujud kesedaran di kalangan orang ramai untuk mengambil berat kes kehilangan kanak-kanak yang malang ini.
Keprihatinan Datin Seri isteri perdana menteri yang menziarahi keluarga mangsa turut memberi mesej bahawa kesusahan dan penderitaan keluarga kanak-kanak ini mendapat perhatian yang luar biasa dari orang ramai hinggalah pemimpin negara.
Semasa penyelidik menulis mengenai sebab-sebab berlakunya penderaan seksual ke atas kanak-kanak, seorang pembaca menyatakan bahawa di sekitar kita ada penjenayah yang berlegar-legar mencari mangsa dan kita tidak kenal penjenayah ini. Inilah yang menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan dan menangkap pembunuh Nurin Jazlin.
Kita tidak mahu lagi kehilangan Nurin Jazlin yang kedua ini kerana ia memberi kesan yang sangat buruk kepada masyarakat.
Kesan yang paling besar ialah ketakutan mereka ke atas keselamatan persekitaran. Tanpa adanya keyakinan dan jaminan keselamatan di luar rumah, pergerakan masyarakat akan tergugat. Aktiviti sosial akan menguncup serta-merta, perniagaan akan malap dan keseimbangan sosial di dalam masyarakat menjadi tidak stabil.
Kedua, keyakinan orang ramai ke atas keupayaan pihak polis untuk mengawal dan mencegah jenayah akan hilang dalam masa yang singkat sedangkan untuk membina keyakinan ini bukannya senang. Ia memerlukan tempoh masa dan kempen yang berterusan. Institusi polis sebagai pengawal keamanan tidak lagi dihormati dan dipandang mulia.
Ketiga, kebimbangan yang ketara ke atas keselamatan anak-anak akan mengundang pula masalah lain dalam proses membesarkan mereka. Ibu bapa akan mula mengongkong pergerakan anak-anak menyebabkan perkembangan mental dan sosial anak-anak mula terganggu. Ke sekolah perlu berteman, balik sekolah juga perlu berteman, hendak bergerak jauh sedikit daripada rumah akan menimbulkan kerisauan yang melampau dan akhirnya persekitaran yang dibangunkan untuk dinikmati oleh masyarakat tinggal terbiar tidak digunakan.
Dan akhirnya, masyarakat menyalahkan kerajaan kerana gagal bertindak dengan pantas untuk menyelesaikan kes kehilangan kanak-kanak ini.
Dalam kes Sharlinie, orang ramai memerhatikan kecepatan dan ketangkasan pihak polis menyelesaikan kes ini dengan segera. Kesempatan ini wajar digunakan oleh pihak polis untuk menangkap penjenayah terbabit ketika fakta menunjukkan terdapatnya peningkatan kes-kes jenayah di kebanyakan negeri baru-baru ini.
Penculik Sharlinie tidak akan ke mana. Dia berada dan berlegar-legar di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Tumpuan sisatan dan pencarian harus ditumpukan di dua kawasan ini sahaja. Mungkin dia tinggal di kawasan setinggan, berpendapatan rendah dan mempunyai masalah dengan khayalan seksual ke atas kanak-kanak. Profail suspek harus dikemas kini dari semasa ke semasa supaya tumpuan siasatan lebih terjurus kepada skop yang sangat kecil.
Kehilangan kanak-kanak comel di Britain, Magdeliene yang masih belum dijumpai juga ada mirip kehilangan Sharlinie. Sehingga sekarang kanak-kanak berkenaan belum ditemui. Kita berharap pihak polis dapat melakukan tindakan pada setiap saat kerana menyimpan masa yang lama hanya akan merugikan dan meresahkan masyarakat yang mula memberi simpati yang mencurah-curah kepada keluarga berkenaan.
Semua aspek yang memungkin kepada penemuan Sharlinie harus diambil kira sama ada secara rasional ataupun penggunaan jampi atau telek. Semua ikhtiar harus digerakkan supaya kanak-kanak ini tidak lagi menjadi mangsa kepada penjenayah yang barangkali berada di sebelah rumah kita sahaja.
Menyalahkan ibu bapa kerana anak-anak diculik tentu tidak adil kerana banyak faktor lain yang lebih kuat menyebabkan berlakunya penculikan. Ada kes anak-anak yang mendakwa diculik rakan sebaya sedangkan dia hanya hendakkan wang daripada keluarga. Ada juga berlaku kerana anak mengikut rakan sebaya keluar atau merajuk dengan keluarga. Jadi untuk menyalahkan ibu bapa, ianya harus mengambil kira pelbagai sudut.
Menyalahkan pihak polis hanyalah mekanisme "escapism" keluarga mangsa yang terlibat. Pihak berkuasa tidak memantau pergerakan anak-anak setiap masa. Justeru untuk menyalahkan mereka juga tidak praktikal.
Barangkali kita perlu melihat pelaksanaan sistem sosial di dalam masyarakat. Pendedahan kepada bahan-bahan lucah, peluang untuk melakukan jenayah, keadaan ekonomi dan tahap pendidikan masyarakat juga harus diberi perhatian. Menyalahkan penjenayah adalah satu kesilapan kerana mereka ini hanya menunggu peluang untuk melakukan tindakan.
Jadi, siapa yang harus dipersalahkan?
Bagi saya, sistem sosial kita terlalu mudah dipengaruhi oleh unsur2 negatif melalui media2..sepatutnya media digunakan sebagai medium terbaik untuk menyemai nilai2 moral dikalangan rakyat. tetapi malangnya apabila kerajaan gagal memantau kandungan media, lalu sykt media menggunakan peluang ini untuk mengaut keuntungan melalui program yang bernilai komersil, tanpa memikirkan kesan negatif kepada sistem nilai dan sosial msykt. amat malang, ia berlaku dalam negara yang dikatakan mengamalkan prinsip Islam Hadhari..siasah/pemerintah memainkan peranan utama dalam membentuk nilai moral rakyatnya..wallahua'lam..
ReplyDelete