Sunday, January 27, 2008

Orang tua semakin ramai di Beijing

Seiring dengan ngauman ekonomi China, bandaraya Beijing turut berhadapan dengan peningkatan warga tua. Proses penuaan yang sedang berlaku ini adalah sebahagian daripada ciri-ciri kemajuan dalam negara moden China.

Biro Hal Ehwal Awam menyatakan Beijing dihuni oleh 2.36 juta orang yang berumur lebih 60 tahun atau mewakili 15 peratus daripada jumlah penduduk bandar raya itu.

Jurucakap biro menyatakan jumlah berkenaan bertambah 340,000 sejak tahun lepas, kadar pertambahan ini boleh meningkat dengan mendadak pada masa depan yang meletakkan tekanan berganda ke atas sistem keselamatan sosial China.

Laporan oleh jawatankuasa kerja Beijing mendedahkan bilangan warga tua akan mencecah 6.5 juta orang pada 2050 iaitu satu daripada tiga orang penduduknya melebihi 60 tahun.

Pertambahan warga tua tidak dapat dielakkan kerana lebih ramai orang yang hidup lebih lama. Sistem kesihatan dan kesedaran terhadap penjagaan diri yang lebih baik meneningkatkan jangka hayat penduduk Beijing pada 80.2 tahun iaitu meningkat 2.3 tahun pada 2002.

Warga tua yang ramai di dalam masyarakat meletakkan tekanan ke atas perkhidmatan rawatan dan perubatan serta membebankan tenaga kerja sedia ada. Membawa masuk tenaga kerja dari luar hanya akan menyebabkan masalah lain yang lebih besar iaitu ledakan populasi di Beijing.

Penduduk Beijing sehingga tahun lepas adalah 16.33 juta orang, menokok sebanyak 520,000 pada 2006.

Ketika ini kerajaan China sedang mengambil beberapa langkah bagi menghadapi pertambahan jumlah penduduk seperti membina dan mengubah suai kediaman bagi disesuaikan dengan keadaan fizikal warga tua. Sehingga kini terdapat 335 buah tempat kediaman yang menempatkan kira-kira 38,080 orang di seluruh Beijing.

Rancangan pihak berkuasa China sehingga 2010 ialah menambah bilangan katil kepada 50,000 di samping menaik taraf perkhidmatan komuniti dan perubatan.

Bagi menghadapi kekangan peningkatan kos sara hidup, kerajaan China akan terus menyediakan subsidi kepada keluarga yang berpendapatan rendah dan miskin. Bantuan sebanyak 20 yuan telah diagihkan kepada 229,000 penduduk.

Golongan warga tua yang mendapat rawatan kesihatan percuma semakin bertambah selepas pihak polis mengerahkan kakitangannya memberi pemeriksaan kesihatan kepada warga tua di Beijing sebagai sebahagian daripada khidmat sosial polis.

No comments:

Post a Comment