Friday, January 04, 2008

Natipah raih RM15,000 sebulan hasil ikan air tawar

Berkat mengusahakan tanah sawah terbiar, seluas dua hektar kira-kira 25 tahun lalu, kini mampu membuatkan seorang pengusaha di Kampung Ulu Sungai Buloh, Alor Gajah, Melaka, tersenyum lebar apabila projek ternakan ikan air tawar di kawasan itu, berupaya memberi pulangan lumayan.

Pengusaha berkenaan, Natipah Isnin, 48, sekarang mampu meraih pendapatan kasar antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan sekali gus membuktikan bidang pertanian menjanjikan pulangan lumayan jika diusahakan secara tekun.

Natipah yang dibantu suaminya, Kamarudin Hashim, 49, yang bekerja di Risda dan dua anaknya kini aktif membina empayar perniagaan ikan air tawar kerana mendominasi bekalan ikan air tawar bagi kawasan selatan khususnya di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Pada awalnya, beliau yang juga Ahli Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Alor Gajah ini mengusahakan tiga kolam ikan milik keluarga di atas tanah terbabit yang kemudiannya diperluaskan kepada 20 kolam ikan seluas 0.2 hektar setiap satu.

Antara ikan air tawar diternak ialah keli Afrika, patin, tilapia merah, bawal merah, lee koh, jelawat dan lampam jawa untuk dipasarkan ke pasar tani, restoran serta pengusaha kolam pancing.

Mengimbau pembabitannya dalam dunia perniagaan, Natipah berkata, beliau terdedah kepada dunia ternakan ikan air tawar sejak berusia belasan tahun, selepas melihat ibu bapanya yang menternak ikan secara kecil-kecilan sebagai hobi selain sumber pendapatan sampingan.

[Berita Harian Online]

No comments:

Post a Comment