Semasa berbual-bual dengan seorang pelajar Indonesia yang sedang melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur, terkeluar perkataan "Indon" dan pelajar ini nampak tidak selesa dengan panggilan tersebut. Lalu saya bertanya, "apa salahnya Indon"?
Dengan nada yang agak keras dia menyatakan asal-usul penggunaan "Indon" di Malaysia. Kisahnya bermula apabila pekerja-pekerja Indonesia yang ditahan kerana tidak ada permit kerja dan dibawa ke tempat lapang untuk diambil kenyataan. Mereka disusun berbaris-baris. Peringkat awal polis dan agensi penguatkuasa memanggil pekerja ini dengan panggilan penuh: Indonesia. Disebabkan sangat kerap pekerja dan rakyat Indonesia yang ditahan kerana pelbagai kesalahan, akhirnya untuk memudahkan pangilan rakyat Indonesia ini, panggilan ringkas yang paling mudah ialah "Indon."
Jadi apa salahnya dengan istilah Indon ini?
Panggilan "Indon" adalah panggilan yang sangat indah, lambang sebuah masyarakat yang gigih bekerja, berani dan inginkan kejayaan hidup. Sebab itulah mereka beramai-ramai datang bekerja ke Malaysia dan dapat meningkatkan beberapa sektor ekonomi Malaysia khususnya perladangan dan pembinaan. Ada juga di kalangan Indon ini yang telah mendapat taraf penduduk tetap dan apabila ditanya datang dari mana, dengan bangga dia akan menjawab "Indon."
Jadi apa masalahnya dengan Indon?
Indon adalah lambang sebuah bangsa yang telah melalui banyak jenis tamadun yang hebat. Kerajaan Srivijaya, Mataram, Majapahit dan kisah Wali Songo adalah tinggalan keupayaan luar biasa mereka. Cita-cita pemimpin Indon sangat besar dan hebat. Mereka menguasai wilayah yang amat luas dengan rakyat yang begitu ramai. Kemakmuran negara dikecapi bersama tanpa ada masalah kemalaratan seperti yang berlaku di sesetengah negara Afrika ketika ini. Walaupun susah, Indon tetap berusaha dan berdikari.
Indon adalah lambang sebuah masyarakat yang mengamalkan demokrasi, bersikap terbuka dan mahu membuat perubahan. Keadaan politik yang semakin matang membuatkan rakyat Indonesia sentiasa vokal dalam membuat tuntutan yang kadangkala tidak rasional.
Indon adalah lambang sebuah masyarakat yang cepat melenting apabila berhadapan dengan konflik dengan negara-negara jiran kerana mengambil pendekatan yang sensitif apabila dikritik.
Aspek inilah yang melemahkan pemikiran dan emosi rakyat Indonesia. Tidak mampu untuk melihat dunia dari perspektif yang lebih luas. Hal remeh-temeh yang dicipta oleh orang lain menyebabkan rakyat Indonesia, istilah yang dibanggakan, tidak ada lagi makna.
Jadi apa masalahnya dengan Indon?
Indon bukannya lambang harga diri yang rendah, bukannya imej yang buruk atau bukannya rakyat sebuah negara yang dijajah, sebaliknya Indon adalah lambang sebuah masyarakat yang merdeka, gigih berusaha dan mahu berjaya.
Lebih baik menggunakan "Indon" yang melambangkan kebanggaan daripada "rakyat Indonesia" yang cepat melenting dan kadangkala hilang pertimbangan apabila tidak dapat menerima keputusan kalah dalam perebutan wilayah.
Jadi apa salahnya dengan Indon?
Saya bangga sebagai warga negara INDONESIA lebih tepatnya NEGARA KESATUAN REPUBLIK INDONESIA bukan Indon...
ReplyDelete