Thursday, January 24, 2008

Pegawai teknikal, guru, tentera, polis kini boleh sertai PTD

Pegawai perkhidmatan teknikal, perguruan, tentera dan polis kini boleh menyertai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dalam satu usaha kerajaan mengekalkan kakitangan terbaik dalam perkhidmatan awam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata usaha itu bertujuan mendapatkan calon-calon berbakat dan mempunyai kepakaran tertentu melalui sistem dikenali “multiple entry” di semua peringkat jawatan dengan skim dan ganjaran bersesuaian.

Ini bermakna pelantikan ke PTD tidak akan hanya dibuat bagi calon-calon baru atau lantikan terus seperti amalan sekarang, katanya ketika merasmikan Sambutan Jubli Emas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

“Ini akan menjadikan kumpulan pegawai berbakat lebih besar dalam perkhidmatan awam. Kami mahu mengambil bakat terbaik,” kata Najib.

Ketika SPA menyambut ulang tahunnya ke-50, beliau menyarankan satu kajian dan perancangan yang menyeluruh dibuat mengenai pembangunan modal insan bagi keperluan perkhidmatan awam untuk 50 tahun akan datang.

Najib berkata kajian itu akan dapat memperincikan keseluruhan rantaian pembangunan tenaga manusia meliputi penentuan bakat dan kepakaran baru yang diperlukan, pelan latihan bersepadu, meneliti semula skim-skim perkhidmatan serta strategi pengambilan dan pelantikan lebih kreatif serta inovatif.
“Tindakan proaktif dalam bentuk kajian itu pasti akan dapat membantu kerajaan dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya yang lebih mencabar dan kompleks dengan lebih berkesan lagi,” katanya.

Pada masa sama, kajian itu akan membantu institusi pengajian tinggi awam dan swasta supaya lebih bersedia dalam menyediakan graduan yang dapat memenuhi keperluan tenaga kerja negara, kata Najib.

Ini, katanya, akan mengelak berlakunya lambakan graduan yang menganggur semata-mata disebabkan kelulusan akademik mereka tidak memenuhi keperluan pasaran kerja sedia ada.

Bagi menggalakkan lebih ramai bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam, Najib mencadangkan pemberian biasiswa di peringkat institusi pengajian tinggi agar mereka “terikat” untuk menyertai perkhidmatan awam setelah tamat belajar kelak serta dorongan kenaikan pangkat untuk menarik golongan itu.

Beliau juga berkata terdapat trend yang meningkat dalam kalangan pemohon untuk menyertai perkhidmatan awam sejak enam bulan lalu selepas kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Najib berkata Majlis Harga Negara, yang penubuhannya beliau umumkan semalam, berperanan bukan sahaja bagi memastikan bekalan barang keperluan mencukupi pada harga yang stabil malah boleh membantu mengawal inflasi.

Barang-barang keperluan yang tidak mudah rosak akan dimasukkan dalam senarai Stok Simpanan Kebangsaan agar ianya boleh diedar kepada orang ramai apabila terdapat kekurangan bekalan sesuatu barang keperluan di pasaran kelak, katanya.

[Bernama]

No comments:

Post a Comment