Monday, September 21, 2015

Wasiat qur’ani aktivis harakah






Penulis: Jam’ah Amin ‘Abdul ‘Aziz
Penterjemah: Bahrudin, Lc
Tahun: 2007
Penerbit: Uswah, Yogyakarta, Indonesia.
Muka Surat: 435

Imam Hasan Al-Banna, sebuah nama yang tidak asing lagi dalam gerakan dakwah dan pemikiran Islam komtemporari. Banyak ideanya tetap hidup dan relevan, meskipun beliau telah lama dipanggil menghadap Allah swt. Salah satu mutiara ilmu yang diwariskan Hassan al-Banna adalah tafsir al-quran al-karim.

Dalam kalangan aktivis dakwah sendiri, pembicaraan tentang kajian tafsir Hassan al-Banna belum sebanyak pembicaraan tentang pandangan beliau mengenai Islam secara umum, dakwah, tarbiah atau siasah. Boleh jadi, hal ini disebabkan Hassan al-Banna belum sempat menyelesaikan satu penafsiran lengkap dari seluruh ayat al-quran dalam satu kitab tafsir lengkap. Selain itu, tarbiah quraniah yang beliau lakukan pun ditulis di media cetak berbeza-beza sehingga warisan al-Banna dalam tafsir al-quran nyaris menjadi barang asing.

Buku ini merupakan hasil kerja keras Jam’ah Amin ‘Abdul ‘Aziz dalam mengumpul, meneliti dan menulis ulang mozaik tafsir-tafsir Hasan al-Banna semasa hidup. Berbeza dengan kitab tafsir pada umumnya, warisan ini terbilang amat ringkas, beliau hanya sempat membicarakan tiga surah al-quran. Meski pun demikian, keringkasan itu telah membuka cakerawala pembacanya tentang wajah Islam yang syamil.

Tidak berlebihan jika ustaz Muhammad Mahdi ‘Akif, Mursyidul Am ketujuh Ikhwanul Muslimin menyebut buku ini sarat dengan solusi, relevan dengan pelbagai persoalan yang dihadapi umat Islam, laksana projektor sejarah yang menerangi jalan menuju Allh swt.


Sunday, September 20, 2015

Krisis pelarian di Eropah







Krisis pelarian di Eropah mendapat perhatian masyarakat dunia. Peningkatan jumlah pelarian dari Syria, Afghanistan dan Eritrea yang menuju ke benua itu menjadi isu antarabangsa apabila seorang kanak-kanak tiga tahun, Alan Kurdi, mati terdampar di tepi pantai menarik simpati masyarakat dunia. Jutaan pelarian sedang bergerak mencari perlindungan di negara-negara maju dengan harapan dapat mengubah destini masa hadapan mereka.

Pelarian Syria menuju Eropah bagi mencari tempat yang lebih selamat. Di Syria sendiri, perang saudara belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, apatah lagi Rusia dilaporkan baru sahaja membekalkan senjata canggih kepada rejim Assad.

Krisis pelarian yang sedang berlaku ini boleh dikaitkan dengan faktor penolak dan faktor pendorong.

Dua sebab dilihat menjadi penolak untuk pelarian ini keluar dari kawasan konflik. Pertama, suasana hidup yang bergolak seperti kemiskinan, politik yang tidak stabil dan perang saudara menyebabkan pelarian berebut-rebut menaiki laut bagi melarikan diri daripada realiti hidup sedia ada. Di Syria, kematian sudah dianggarkan lebih daripada 200,000 orang. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan 500,000 orang meninggalkan Syria pada tahun 2015.

Kedua, lebih banyak konflik di Tunisia, Selatan Sudan, Somalia, Libya dan Mesir bakal berlaku kerana perubahan iklim yang menyebabkan banyak kawasan menjadi kering. Keadaan ini meningkatkan persaingan terhadap sumber makanan dan keperluan hidup, migrasi besar-besaran dan konflik awam yang berpanjangan.

Di sebalik faktor penolak ini, wujud juga faktor penarik yang menyebabkan pelarian ini bersungguh-sungguh mahu keluar dari negara mereka. Pertama, usaha menyelamat di laut dan penyediaan tempat tinggal oleh negara Kesatuan Eropah seperti Italy dan Greek. Operasi Mare Nostru di Mediterranean untuk menyelamatkan 150,000 orang menjadi harapan kepada pelarian untuk mencari perlindungan di Eropah.

Kedua, industri pelarian ini menyebabkan penyeludup manusia mendapat faedah sebagai punca pendapatan. Bermula dari pembuat bot, pengurus tempat perlindungan, penarik kereta sapu hinggalah tuan punya rumah persinggahan, semuanya mendapat habuan masing-masing termasuk segelintir penguatkuasa yang tidak amanah.

Ketiga, pertubuhan dan persatuan agama di Eropah menyediakan bantuan sara hidup atas dasar saudara seagama. Program perintis di Australia pada 2013 terhadap 300 orang pelarian menjadi contoh bagaimana peranan pertubuhan bukan kerajaan dalam memberi bantuan kepada agensi kerajaan untuk meringankan penderitaan pelarian.

Melihat kepada krisis yang berlaku di Eropah sekarang, jumlah pelarian yang ramai dari Syria dan Eritrea merentasi Mediterranean pada tahun 2014 berbanding negara-negara lain menunjukkan ada hal besar yang berlaku kepada rakyat dua negara ini.

Bagi mengatasinya, permintaan terhadap bot di Eritrea mesti dikurangkan dan di Syria, perang saudara mesti ditamatkan.

Seorang pelarian Syria, Jana berkata, “Hari ini rakyat Syria melihat diri mereka telah pun mati. Mungkin bukan fizikal mereka yang mati tetapi yang mati adalah psikologi dan sosial mereka. Rakyat Syria adalah sebuah kemusnahan kemanusiaan, telah sampai ke puncak kematian”.
  

Friday, September 18, 2015

Musibah bukan bererti berhenti beribadah







Tidak beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut Eidul Adha. Bagi mereka yang berada di Tanah Suci sekarang ini mereka akan membuat persediaan untuk meneruskan ibadah mereka sehinggalah di Arafah. Walaupun pelbagai ujian yang diberikan oleh Allah swt terhadap Jemaah kali ini tetapi ianya merupakan salah satu cara untuk Allah swt mengangkat darjat seseorang hambaNya itu. Moga-moga saudara kita yang ditimpa musibah di sana berada dan bersama-sama dengan golongan para syuhada’ insyaallah. Kerana Rasulullah s.a.w ada menyebutkan melalui hadis baginda yang bermaksud:

“Sesiapa yang keluar untuk mengerjakan haji lalu mati, ditulis baginya pahala haji sehingga Hari Kiamat. Siapa yang keluar menunaikan umrah lalu mati, ditulis baginya pahala umrah sehingga Hari Kiamat. Dan siapa yang keluar untuk berjihad lalu mati, ditulis baginya pahala berjihad sehingga Hari Kiamat. (H.R. Abu Ya’la, disahihkan oleh Ahmad & Albani)

Ini juga merupakan di antara tanda-tanda seseorang itu mati dalam keadaan Husnul Khatimah seperti sabda Nabi s.a.w:

الشُّهَدَاءُ خَمْسٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّه

Maksudnya: “Syuhada’ (orang-orang yang mati syahid) itu ada lima, “orang mati kerana terkena penyakit Taun, orang yang meninggal kerana sakit perut, orang yang mati tenggelam(lemas), orang yang ditimpa bangunan rumah atau tembok; dan orang yang gugur di jalan Allah. (H.R. Bukhari & Muslim)

Moga-moga saudara-saudara kita yang telah pergi meninggalkan dalam kejadian di Tanah Suci tersebut memperolehi Husnul Khatimah dan seterusnya emndapat ganjaran orang yang mati syahid seperti yang dijanjikan oleh Allah swt dan Rasulullah s.a.w.

Seterusnya kita di sini yang masih berpeluang meneruskan kehidupan serta pengabdian kepada Tuhan sekalian alam ini Jalla waa’la jangan pula lena dibuai mimpi tanpa memperteguhkan lagi tali keledar ibadah serta memperketatkan lagi baju keimanan kita dengan amalan-amalan wajib serta sunah yang telah dituntut kepada kita.

Bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban pada minggu hadapan disunnatkan agar tidak memotong kuku dan membuang rambut mulai 1 Zulhijjah sehinggalah selesai melaksanakan ibadah korban ..Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

Apabila masuk 10 haribulan Zulhijjah, sedangkan salah seorang dari kamu mahu berkorban, maka janganlah membuang sesuatu anggota rambut dan kulit (atau kukunya)”. (H.R. Muslim)
Sabda baginda lagi:

Jika telah masuk 10 hari pertama bulan Zulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambut dan kukunya walau sedikit”. (H.R. Muslim)

Larangan memotong rambut ini termasuk juga mencabut mahupun mencukur atau apa-apa cara yang boleh menghilangkan segala jenis rambut dan bulu di badan.Menurut Imam al-Nawawi r.h:

“Yang dimaksudkan dengan larangan memotong kuku dan rambut adalah larangan menghilangkan kuku dengan memotong,menghilangkan rambut baik sama ada mencukur, memendek, mencabut, membakar,bahagain anggota badan yang lain”. (Syarah Muslim, Imam al-Nawawi)

Diriwayatkan dari Ummu Salamah r.ha dari Rasulullah s.a.w baginda bersabda.
Maksudnya: Apabila sepuluh hari pertama (Zulhijjah) telah masuk dan seseorang di antara kamu hendak berkurban, maka janganlah menyentuh rambut dan kulitnya sedikitpun”. (H.R. Muslim)

Pendapat para ulama tentang larangan memotong rambut dan kuku

Imam Syafie: Jika memasuki sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, maka barangsiapa yang berniat untuk menyembelih korban, disunahkan baginya untuk tidak mencukur rambut dan memotong kukunya hingga dia selesai menyembelih korban. Menurut Imam Syafie memotong kuku dan mencukur rambut hukumnya makruh tanzih, bukan haram.

Imam Abu Hanifah: Mencukur rambut dan memotong kuku adalah harus, tidak dimakruhkan dan tidak pula disunnahkan.

Imam Malik mempunyai tiga pendapat dalam hal ini pendapat pertama, hukumnya tidak makruh, pendapat kedua, hukumnya makruh, dan pendapat ketiga, hukumnya haram jika korbannya itu korban sunnah (Nailul Authar, Imam Syaukani Bab Maa Yajtanibuhu fi al-‘Asyari Man Araada al-Tadhiyyah).

Imam Ahmad: Mengharamkan perbuatan(memotong rambut dan kuku) tersebut.
Imam al-Son’ani dalam Subulus Salam mengenai masalah ini berkata,” Terdapat qarinah bahawa larangan itu bukanlah pengharaman”.

Ini kerana terdapat hadith lain yang menjadi qarinah iaitu hadith Aisyah r.ha. yang bermaksud:

“…………Rasulullah s.a.w pernah dihadiahkan 2 ekor kibasy untuk dikorbankan, lalu aku bermain-main dan memintal bulu kibasy tersebut dan Rasulullah s.a.w tidak mengharamkan apa yang diharamkan bagi orang yang berihram”. (H.R. Bukhari)

Kesimpulanya kita sebagai umat Islam yang hidup dengan berpaksikan al-Quran dan sunah hendaklah sentiasa berkejar-kejar di dalam mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah swt, terutamanya dalam ibadat sunah selagi mana ianya tidak membebankan serta menyusahkan maka hendaklah kita buat dan sempurnakan sehabis baik. 


Pusat Islam
Universiti Teknikal Malaysia Melaka


Wednesday, September 16, 2015

Idea hebat dan idea biasa-biasa








Tidak kira apa yang kita cuba usahakan, kita boleh melakukannya dengan lebih baik apabila berkongsi idea. Luangkan masa dengan orang lain, bercakap, bertanya soalan dan meminta pandangan mereka. 

Banyak jenis orang yang boleh berkongsi idea seperti orang yang lebih gemar kerja berpasukan, orang yang mahu melihat kejayaan idea yang telah difikirkan bersama-sama ataupun orang yang menghargai kelebihan orang lain dalam perkara-perkara yang mereka sendiri ada kelemahan. 

Berkongsi idea biasanya lebih berjaya apabila dianggotai oleh mereka yang pandai berfikir, menghargai pendangan, memiliki pengalaman, emosi yang stabil dan boleh memupuk hasil pemikiran terbaik daripada anggota pasukan yang lain. 

Siapa yang kita bawa ke meja rundingan akan membezakan antara idea yang hebat dengan idea yang biasa-biasa.

Monday, September 14, 2015

Majalah Haluan edisi 9/2015







Majalah Haluan edisi 9/2015 telah diterbitkan. Slogan majalah ini adalah mendidik jiwa membangun minda menepati kehendak masyarakat Islam hari ini yang mencari-cari panduan dan arah hidup. 

Edisi kali ini nampak lebih menarik dan padat dengan isu-isu jiwa dan semasa. Antara topiknya adalah Islam4U yang mengupas nilai-nilai baik yang membiak, kemudiannya kisah salafussoleh iaitu kisah Nabi Ayyyub a.s yang diuji dengan dugaan hidup paling berat. Secara peribadi saya suka kisah Nabi Ayyub a.s kerana kehidupannya adalah contoh ketinggian taqwa, kesucian iman dan kesabaran kepada seluruh manusia.

Menghazam kisah Nabi Ayyub a.s menjadikan kita seorang yang tabah dan sabar dengan asam garam hidup tidak kira siapa kita. Kepada mereka yang berkecimpung dalam kaunseling keluarga, mengenali Nabi Ayyub a.s dan perjalanan hidupnya adalah satu kelebihan supaya dapat berkongsi dengan klien. Begitu juga dengan keluarga, suami atau isteri yang memahami kisah nabi ini dapat melihat bagaimana nilai-nilai sabar dan tabah tumbuh mekar dalam keluarga mereka.

Satu lagi yang menarik ialah satu amalan usahawan Jepun yang dimuatkan dalam Kembara Usahawan. Kisah kali ini adalah istilah "irasshaimase" iaitu ucapan selamat dadatang ke kedai kami. Ia dilakukan oleh hampir semua kedai di Jepun kerana persaingannya sangat hebat. 

Ungkapan yang saya fikir menarik kali ini ialah tuntut ilmu sebelum ke liang lahad. Biasanya kita dengar tuntut ilmu sehingga ke liang lahad, tetapi lain pula kali ini. Maksudnya ialah meneruskan pencarian ilmu ketika usia masih ada, tubuh badan masih sihat dan mencurahkan bakti kepada masyarakat sebagai amal pahala yang akan dibawa ke akhirat.

Thursday, September 10, 2015

Pengalaman akademik di Brunei








Sekali lagi saya berkesempatan menghadirkan diri dalam sebuah persidangan antarabangsa di Brunei baru-baru ini. Kali ini saya hadir sebagai pembentang kertas kerja di Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) yang kelapan di Bandar Seri Begawan bagi berkongsi pengalaman tentang pengaruh persekitaran terhadap kecenderungan meminati Islam dalam kalangan pelajar bukan Islam. Artikel tersebut telah diterima dengan baik dan dimasukkan ke dalam prosiding persidangan.

Sekali lagi juga, macam biasa, saya memilih penerbangan AirAsia yang bertolak dari KLIA2 jam 1.30 petang. Namun, masa penerbangan agak lewat.

Berada di tempat duduk hadapan amat memuaskan hati. Semasa hendak berlepas, juruterbang membuat sedikit pengumuman khususnya memaklumkan kelewatan masa penerbangan hari itu.

Ada sesuatu yang menarik kali ini. Sepanjang terbang bersama AirAsia, inilah kali pertama saya mendengar doa naik kenderaan dibaca oleh juruterbang. Sebaik mendengar doa ini, saya mengangkat tangan. Rakan penumpang di sebelah nampak macam memahami doa yang dibacakan itu.

Dua jam penerbangan agak lama. Terlelap sekejap tidaklah menjadi halangan untuk saya menikmati perjalanan kali ini.

Di Bandar Seri Begawan, saya berjumpa rakan-rakan akademik dari pelbagai universiti. Masing-masing bakal membentangkan kajian kepakaran mereka untuk dikongsi dan dibahaskan. Di sini juga saya berjumpa rakan lama sekolah menengah yang kini menjadi pensyarah. Beliau bukanlah bijak sangat tetapi kesungguhan dan keinginan untuk berjaya dalam hidup menjadikannya seorang yang lebih baik.

Saya juga menjemput rakan-rakan akademik untuk berjalan-jalan sekitar Bandar Seri Begawan, melihat suasana bandar dan merasai suasana hidup di sini.

Tempat pertama kami ialah Kompleks Yayasan Hassanal Bolkiah, tempat membeli-belah. Biasanya saya akan membeli kacang pistachio untuk dibawa balik kerana harganya jauh lebih murah. Berbanding tahun lepas, harga satu kilogram kacang ini sudah naik menjadi B$18.20, namun masih dikira murah. Rakan-rakan yang lain juga turut setuju dengan pandangan saya ini.

Selepas itu, kami melihat-lihat sekitar bandar Brunei. Tidak banyak perubahan. Bangunan terbiar bersebelahan Tamu Kianggeh masih berdiri kukuh. Terminal bas dan teksi kurang sibuk kerana tidak ramai pekerja asing waktu itu. Biarpun bas lebih mudah didapati, mendapatkan teksi adalah suatu masalah besar. Biangan teksi tidak banyak di sini kerana masyarakat Brunei lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri untuk bergerak.

Di kedai penggurup wang, keinginan rakan saya untuk menukar wang dolar Amerika terbantut kerana kerana pekerja wanita di situ tidak mahu menerima nota lama seratus dolar. Nasib baik ada rakan lain yang sedia membantu.

Selepas itu, kami bergerak ke Kampung Ayer bagi menikmati udara segar kampung yang didirikan di atas air. Teksi bot senang didapati di tebing jeti, cuma kena pandai berunding untuk tentukan harga. Dulu, saya dapat B$20 untuk berpusing-pusing sekitar kampung ini, kali ini harganya sudah naik kepada B$30. Saya minta dikurangkan kepada B$25 sahaja. Pemandu teksi bot, Akmal mengalah dan kami dapatlah meninjau sekitar kampung air utama ini.

Kemudahan yang terdapat di sini meliputi sekolah, balai polis dan balai bomba, kedai petrol, masjid dan surau serta perhentian bot.

Kami bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk melihat sendiri struktur kampung air ini yang meliputi kawasan yang luas. Dari jauh kami dapat melihat binaan konkrit di tengah-tengah kampung iaitu tiang jambatan yang sedang dalam pembinaan bagi menghubungkan kampung air dan tebing bandar. Apabila siap, jambatan ini akan mengubah kehidupan masyarakat di sini seterusnya boleh menjadi mercu baru pelancongan Brunei.

Selepas puas menikmati suasana kampung air, kami bergerak pula ke Muzium Teknologi Melayu yang terletak di Kampung Pelambaian. Muzium ini menempatkan sejarah masyarakat Brunei sejak dahulu merangkumi kegiatan ekonomi, teknologi perikanan, kemahiran tangan dan pembinaan rumah. Ada sebahagian teknologi ini sama dengan teknologi yang digunakan oleh masyarakat Malaysia. Bagi pelancong yang ingin mengetahui sejarah masyarakat Brunei, melawat muzium ini saya rasa adalah satu kemestian supaya kita dapat mengaitkan masyarakat Brunei dengan pembangunan negara mereka pada hari ini.

Seorang rakan mencadangkan kami mencari kedai makan kerana masing-masing sudah rasa lapar. Saya cadangkan kami menyusuri Jalan Muara dan akhirnya kami sampai di Mentiri. Selepas melalui bulatan arah ke Muara, saya memilih sebuah kedai makan bersebelahan kedai hardware.

Masing-masing memesan sup, soto dan bihon dengan minuman teh tarik india, suatu yang baru bagi kami. Saya hanya dengar teh tarik tapi di sini saya dapat menikmati teh tarik india. Ternyata Brunei lebih kreatif dalam memperkenalkan jenis teh tarik ini.

Kemudian kami bergerak ke pekan Muara. Saya menerangkan kepada rakan-rakan tentang nama kampung yang ada di sekitar laluan ini seperti Kampung Serdang dan Kampung Sungai Buluh. Saya juga berkongsi pengalaman pernah tinggal di Taman Pengiran Alauddin di Kampung Sungai Buluh ketika mula-mula datang ke Brunei dulu. Di sinilah saya kenal nasi katok yang masih berharga satu ringgit.

Di Muara, saya bawa mereka berpusing-pusing sekitar pekan dan saya dapati keadaannya masih seperti dahulu. Kemudiannya kami ke terminal pelabuhan Serasa iaitu tempat kapal laut ke Labuan. Jeti terminal ini telah dinaik taraf dan lengkap dengan pelbagai kemudahan. Sekitar tahun 1997 dahulu keadaannya sangat ringkas kerana bilangan pengguna yang tidak begitu ramai. Seiring dengan pertambahan penumpang, jeti ini dibesarkan dan ruang untuk meletak kenderaan semakin baik.

Oleh kerana hampir senja, kami memutuskan untuk pulang ke hotel. Kali ini saya bawa mereka melalui lebuh raya di laluan persisir pantai Jerudong. Lebuh raya ini tidaklah sehebat lebuh raya di Malaysia namun memberi keselesaan kerana kenderaan di sini tidak dipandu laju. Ketika di Jerudong, saya maklumkan mereka tentang Jerudong Park iaitu pusat hiburan yang terkenal di Brunei. Sebelum tahun 2000, bermain semua jenis permainan adalah percuma dan sangat menyeronokkan. Kini, hanya sebelah bahagian taman yang dibuka dan pengunjung perlu membayar untuk bermain. Saya cadangkan mereka untuk datang ke sini jika melawat Brunei pada masa hadapan.

Dari Jerudong Park, saya memandu arah ke Sengkurong iaitu tempat saya bekerja dahulu. Sengkurong semakin pesat membangun kerana wujud pertambahan bangunan perniagaan yang menempatkan bank, pasar raya dan restoran. Bank yang dibuka adalah Baiduri Bank manakala bank yang saya perasaan tidak lagi beroperasi di sini adalah HSBC Bank dan BIDB Bank. Tempat HSBC Bank diambil alih kedai cermin mata. Dulu di atasnya ada pusat tuisyen yang dikendalikan oleh Jawahir, orang India yang sudah lama bekerja di Brunei. Saya tidak pasti apakah pusat tuisyen ini masih wujud.

Bertentangan bangunan tersebut adalah sekolah rendah. Saya maklumkan kepada mereka yang padang bola sepak sekolah ini sangat hebat.

Masjid Sengkurong adalah tempat saya bersolat jemaah, berehat dan berbuka puasa pada bulan ramadhan. Alhamdulillah keadaannya masih sama seperti dahulu yang mengingatkan saya kepada memori 15 tahun lalu. Pada bulan ramadhan, saya berbuka puasa bersama-sama pekerja dari Bangladesh dan India. Gambarnya saya masih simpan sampai sekarang.

Seterusnya kami melalui satu lagi kawasan perniagaan iaitu Tanjung Bunut. Kawasan ini benar-benar berubah kerana menempatkan ruang perniagaan yang baru, moden dan pelbagai. Di sini ada pasaraya Hua Ho, bank, restoran makanan segera dan institusi pendidikan swasta. Tanjung Bunut menjadi saingan kepada Sengkurong tetapi saya lihat ia lebih menyerlah.

Akhirnya kami sampai ke Traders Inn iaitu tempat rakan-rakan saya tinggal. Mereka mengucapkan terima kasih kerana kesudian saya membawa mereka mengelilingi Bandar Seri Begawan. Saya juga berasa puas kerana dapat memberi khidmat kepada rakan-rakan akademik yang baru kali pertama ke Brunei, berkongsi pengalaman tentang budaya dan cara hidup masyarakat Brunei di samping mengenengahkan idea-idea bagi menggalakkan perkongsian pintar dalam memajukan masyarakat kedua-dua negara.



Wednesday, September 09, 2015

Kongsi pemikiran kita








Saya yakin bahawa idea yang terbaik atau hebat yang muncul di hadapan kita telah bermula dengan dua atau tiga idea yang baik-baik. Tentulah idea-idea ini dihasilkan daripada perkongsian pemikiran. 

Berbeza kalau berfikir sendiri kerana tidak banyak maklumat yang dapat dijana. 

Saya dapat merasakan pelajar-pelajar yang aktif dalam kerja berpasukan, sama-sama mencari jawapan yang lebih baik daripada jawapan pelajar seorang diri. Tetapi biasanya, terutama di sekolah, guru masih lagi mementingkan jawapan yang betul berbanding jawapan yang lebih baik. 

Di universiti, pelajar dilatih dan digalakkan membuat keputusan secara berkumpulan. 

Alangkah bagusnya jika guru-guru kita dapat mempraktikkan kaedah ini di peringkat awal sekolah supaya pelajar terbiasa dengan perbincangan dan perkongsian.