Saturday, January 30, 2016

Usahawan pembekal bahan binaan








1.0 Pengenalan

Sosioekonomi dapat diklasifikasikan sebagai unsur-unsur atau hal-hal yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan ekonomi. Dalam erti kata lain sosioekonomi juga dapat diungkapkan sebagai struktur ekonomi sesebuah masyarakat. Setiap golongan masyarakat mempunyai  latar belakang ekonomi yang berbeza mengikut kepada beberapa aspek seperti bentuk muka bumi, tahap kemajuan ekonomi sesebuah negara serta tahap pemikiran serta ilmu yang dimiliki bagi sesebuah masyarakat.

Kajian ini dilakukan adalah untuk mencapai beberapa objektif serta dilakukan di dalam Melaka sahaja berdasarkan limitasi kajian yang telah ditentukan bagi mencapai skop kajian yang lebih terperinci.

1.1  Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengenal pasti cabaran dan risiko yang dihadapi dalam perniagaan perkakasan ruma, dan mengenal pasti bagaimana perniagaan perkakasan ini dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi masyarakat.

1.2  Limitasi Kajian

Kajian ini dijalankan di kedai perkakasan Seng Hardware & Timber Sdn Bhd yang terletak di Durian Daun, Melaka. Kajian ini hanya mengkaji bagaimana perniagaan ini dapat menjadi pemangkin ekonomi masyarakat serta mencapai objektif kajian seperti yang telah dinyatakan.


2.0 Sorotan Literatur

Perniagaan adalah suatu kegiatan usaha individu yang berorganisasi untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan bagi mendapatkan keuntungan dalam memenuhi keperluan masyarakat. Secara umumnya, perniagaan merupakan satu aktiviti yang sangat berisiko tinggi dan kegiatan ini wujud dalam masyarakat dan industri. Pelbagai jenis perniagaan dapat dilaksanakan mengikut minat dan permintaan asalkan ada kesungguhan yang tinggi dalam diri seseorang individu. Peluang dan permintaan perniagaan jenis peruncitan dan membekal pelbagai produk binaan kepada pelanggan secara amnya wujud apabila terdapat pembangunan pesat dan pertumbuhan projek-projek perumahan  di sesuatu kawasan. Eng Seng Hardware & Timber Sdn Bhd merupakan salah satu perniagaan peruncitan membekal pelbagai produk binaan yang terkenal di Melaka. Perniagaan ini diterajui oleh Tan Sah Sing sejak tahun 1970.

2.1 Biodata Pemilik Kedai dan Permulaan Perniagaan

Anak kelima pasangan Tan Lai Hu dan Lie Xie dilahirkan pada tahun 1958 di Semabok, Melaka. Anak kelima dari tujuh adik beradik ini diberi nama Tan Sah Sing. Kehidupan Tan Sah Sing yang dibesarkan di kawasan luar bandar bersama-sama enam lagi adik beradiknya berjalan dengan baik seperti remaja lain. Namun, kehidupan beliau dan abang sulungnya berubah apabila mereka kehilangan ayah mereka. Pada usia 16 tahun beliau terpaksa menamatkan persekolahan untuk bekerja menanggung keluarga. Pada usia 26 tahun, beliau mengambil keputusan untuk keluar dari kampung dan berhijrah ke bandar mengikut jejak langkah sepupunya memandangkan keadaan ekonomi keluarganya semakin teruk. Dua tahun pertama bekerja dengan bapa saudaranya, beliau bekerja sebagai tukang kayu dan belajar selok-belok perniagaan. Setelah yakin dengan ilmu yang dipelajari beliau mengambil langkah pertama dengan menjadi sub-kontraktor bangunan. Selepas beberapa tahun, beliau berkeyakinan untuk membuka perniagaan sendiri iaitu Eng Seng Hardware & Timber yang hari ini menjadi pembekal utama pelbagai perkakasan di Melaka.


3.0 Metodologi

Dua kaedah telah digunakan untuk mendapatkan maklumat bagi mencapai objektif kajian ini iaitu kaedah pemerhatian dan temu bual. Kaedah pemerhatian merupakan kaedah yang sesuai digunakan untuk menyelidik perkembangan tingkah laku satu unit sosial. Kaedah ini sesuai digunakan untuk mencapai objektif kedua yang mana dapat mengenal pasti bagaimana perniagaan ini dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi masyarakat setempat. Penyelidik dapat melihat sendiri bagaimana perkembangan ekonomi di situ berdasarkan bilangan pekerja dan statistik bilangan pelanggan yang datang ke kedai tersebut setiap hari.

Menurut kamus pelajar edisi kedua, temu bual membawa maksud pertemuan dengan seseorang untuk bersoal jawab untuk mendapatkan berita. Terdapat beberapa langkah dalam proses temu bual iaitu persediaan menemubual, kemahiran menemubual dan pendokumentasian temu bual. Temu bual diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu temu bual formal dan tidak formal. Temu bual formal merupakan proses soal jawab melibatkan individu yang berjawatan dalam sesuatu organisasi manakala temu bual tidak formal pula merujuk kepada proses soal jawab dengan individu umum. Dalam kajian ini, temu bual formal telah dijalankan terhadap pemilik perniagaan Eng Seng Hardware and Timber Sdn. Bhd. itu sendiri iaitu Tan Sah Sing.


4.0 Hasil Kajian

Eng Seng Hardware & Timber Sdn Bhd merupakan salah satu pembekal utama bahan-bahan pembinaan yang berjaya di Melaka. Syarikat ini juga menyediakan servis membekal pasir, kayu-kayan dan perkakas rumah dalam industri pembinaan. Syarikat Eng Seng Hardware & Timber Sdn Bhd diterajui oleh Tan Sah Sing dan dibantu oleh keluarganya. Beliau mempunyai 35 orang pekerja dan 12 buah lori bagi membantu dan menampung permintaan tinggi daripada pelangan. Pada masa kini, Eng Seng Sdn Bhd. merupakan salah satu syarikat pengedar bahan mentah binaan di 30 hingga 40 lokasi di Melaka.


Rajah 1: Gambar premis perniagaan

Rajah 2: Peta lokasi perniagaan

Rajah 3: Kawasan penempatan barang binaan

Bagi memastikan industri pengedaran dan pembekalan bahan binaan ini berjaya, Eng Seng Hardware & Timber Sdn Bhd mengamalkan prinsip mesra pelangan dan mengutamakan kepentingan pelangan. Oleh yang demikian, waktu operasi yang dinyatakan oleh syarikat ini sudah pasti memberi kemudahan kepada para pelangan membuat urusan pernigaan.

Jadual 1: Jadual waktu beroperasi

Daripada pemerhatian yang telah dijalankan, didapati perniagaan Eng Seng Hardware & Timber Sdn Bhd telah membantu sosioekonomi masyarakat setempat dengan membuka peluang pekerjaan. Perniagaan ini telah memberi peluang perkerjaan kepada 35 orang masyarakat setempat. Antara pekerjaan yang ditawarkan ialah pemandu lori, penjaga stor, kerani dan lain-lain.

Eng Seng Hardware & Timber Sdn Bhd diasaskan oleh Tan Sah Sing dengan bantuan keluarganya pada tahun 1970. Berbekalkan modal sebanyak RM 60,000, perniagaan berskala kecil ini pada permulaannya lebih fokus kepada membekalkan bahan-bahan binaan untuk membina rumah seperti batu-batuan, kayu-kayan, simen dan bumbung. Kini, Tan bijak mencari peluang dan berjaya mengembangkan perniagaannya dalam pelbagai aspek produk yang diniagakan dan sekali gus meningkatkan pencapaian sosial diri.

Dalam dunia perniagaan, tahap berkembangannya sesebuah perniagaan hampir serupa dengan perkembangan kehidupan manusia. Strategi bagi menguruskan bayi tidak serupa dengan strategi untuk menguruskan penjagaan seorang remaja. Hal ini sama untuk perniagaan kecil yang baru bertapak dalam dunia perniagaan. Penubuhan sebuah perniagaan merupakan satu kejayaan yang patut dibanggakan tetapi bagi memastikan perniagaan ini terus berjaya, pelbagai cabaran yang harus diharungi untuk mendewasakan perniagaan itu. Perkara ini dapat dikaitkan dengan Eng Seng Hardware & Timber Sdn Bhd yang mana pada permulaan  penubuhan syarikat ini, masalah pengurusan kewangan menjadi salah satu cabarannya. Bagi mengatasi masalah ini, Tan perlu membuat pertimbangan sama ada berhutang bagi menyelamatkan perniagaannya ataupun mendapatkan hasil pendapatan lebih untuk menampung perbelanjaan perniagaan. Menjalankan pengurusan perniagaan dan membina perniagaan yang kukuh dalam masa yang sama sudah pasti memerlukan usaha yang tinggi dan tidak mudah putus asa. Walaupun pemfokusan kedua-dua usaha ini mengakibatkan perniagaan ini menjadi sukar tetapi kerugian yang boleh memusnahkan perniagaan ini perlu dihindari.

Menyedari akan pentingnya pengurusan kewangan, Tan mendapatkan bantuan daripada profesional untuk membantu menguruskan akaun perniagaannya, oleh yang sedemikian, segala urusan yang kompleks dan memerlukan penelitian yang rapi dapat dijalankan dengan adanya bantuan ini. Kesukaran dalam selok-belok perniagaan semakin kompleks apabila bilangan pekerja dan pelangan semakin bertambah, ini mengukuhkan lagi keputusan Tan dalam mendapatkan bantuan profesional dalam menguruskan buku perniagaan.

Pada peringkat awal perniagaan, masa yang diperuntukan, kerja-kerja yang dilakukan dan tekanan yang dihadapi sememangnya membawa kapada keluhan dan kepenatan. Namun, di atas sebab takut dengan kerencatan operasi perniagaan semasa ketiadaan beliau, Tan sanggup menggadaikan waktu rehat yang lama dengan menguruskan perniagaannya dengan bantuan pekerjanya. Walau bagaimanapun, rehat yang pendek sudah memadai baginya untuk mengelakkan dirinya daripada kelalaian yang boleh mengganggu prestasi perniagaannya.

Salah satu cabaran yang dihadapi oleh Tan juga adalah kekurangan tenaga kerja yang mempunyai kepakaran yang bersesuaian. Ini mengakibatkan tekanan emosi kepada beliau kerana beliau perlu mengendalikan pelbagai urusan dalam perniagaannya. Oleh itu, beliau telah mengambil pekerja yang sesuai dengan kekosangan di syarikatnya. Walau bagaimanapun, pengambilan pekerja yang terlalu banyak mengakibatkan pekerjanya menjadi leka semasa waktu bekerja. Bagi mengatasi masalah ini, Tan mengurangkan sebahagian daripada mereka dan hanya memilih pekerja yang berdedikasi dan rajin.

Dalam mengendalikan perniagaannya, Tan meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap pekerjanya namun sebahagian daripada mereka mengkhianati kepercayaan beliau dengan mencuri barang yang diniagakan. Bagi mengatasi masalah ini tidak berlaku pada masa hadapan, Tan mengambil tindakan memasang kamera keselamatan closed circuit televesion (CCTV) di setiap pelosok kawasan perniagaannya serta memecat pekerja yang terlibat dengan kes kecurian tersebut.

Bagi memastikan Eng Seng Hardware & Timber Sdn Bhd berjaya dan berkembang, Tan sentiasa bersedia untuk menghadapi masalah dan cabaran yang tidak diduga. Perkara ini penting dalam memastikan syarikatnya mampu berdaya saing di dalam industri perniagaan ini yang membawa kepada kejayaannya sehingga pada hari ini. Hanya bermodalkan sejumlah modal yang kecil pada peringkat awal, Tan mampu meluas dan mengembangkan perniagaannya ke tahap yang membawa kepada pendapatan yang mampu mengubah taraf hidup mereka sekeluarga kepada lebih baik. Malahan, mampu mengupah pekerja untuk memberikan pendapatan kepada golongan ini untuk menyara keluarga mereka. Bak pepatah Melayu “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”.

Eng Seng Hardware & Timber Sdn Bhd sudah beroperasi lebih empat puluh tahun. Pada masa itu, Tan hanya mempunyai sebuah kedai kecil dan keuntungan yang diperolehi setiap bulan hanya memadai bagi menarik pelangan perniaga dengan mereka secara tetap dan hanya mampu untuk memiliki sebuah lori terpakai yang berharga RM5,000 pada penhujung tahun 1970. Selepas beberapa tahun kemudian, perniagaan Tan telah berkembang dengan pesat kerana pelangan telah memberi kepercayaan dan memilih kedainya sebagai pembekal bahan-bahan binaan kepada mereka. Pada masa kini, perniagaan beliau telah mendapat banyak permintaan di seluruh pelosok Malaysia.

Perniagaan yang bermula dengan berskala kecil telah berkembang menjadi sebuah syarikat yang berdaya saing dalam industri pembekal dan pengedar bahan-bahan binaan. Selepas empat puluh tahun beroperasi, Eng Seng Hardware & Timber Sdn Bhd mempunyai aset seperti dua belas lori jentera berat, pelbagai stok kayu-kayan dan bahan binaan. Tan berjaya memperoleh aset-aset ini dengan adanya daya usaha untuk mengubah kehidupan beliau dan keluarganya kepada lebih baik dan memastikan masa depan yang cerah.

Penubuhan Eng Seng Hardware & Timber Sdn Bhd telah mengubah kehidupan Tan sekeluarga. Bermula daripada keuntungan yang sedikit dan pelbagai cabaran seperti kesukaran dalam pengendalian urusan perniagaan, Tan berjaya menaikkan syarikatnya menjadi sebuah yang mampu berdaya saing dalam industri pembekalan bahan binaan dan sekali gus menaikan taraf hidup beliau dan sekeluarga.

Apabila perniagaan Tan mampu menjana keuntungan yang tinggi, beliau mengambil insiatif untuk mengupah pekerja tambahan dalam membantu tadbir urus dan aktiviti perniagaan beliau. Perkara ini sekali gus memberikan peluang pekerjaan dan pendapatan kepada individu-individu  ini dan sekali gus membantu menaikkan taraf kehidupan mereka. Hal ini membuktikan perniagaan Tan bukan sahaja berjaya mengubah kehidupan beliau sekeluarga tetapi secara tidak langsung membantu menaik taraf kehidupan individu dan keluarga lain.

Perniagaan dalam membekalkan bahan-bahan mentah untuk tujuan pembinaan secara tidak lansung membawa kepada perkembangan prasarana dan ekonomi setempat. Apabila bahan-bahan binaan dapat diperoleh dengan mudah dengan adanya perkhidmatan dari syarikat ini, sudah pasti pembinaan prasarana di sesebuah kawasan dapat dijalankan dengan mudah. Oleh itu, perkembangan setempat sudah pasti menjadi semakin pesat dan kebahagiaan komuniti dapat diwujudkan tanpa sebarang halangan.
   

5.0 Kesimpulan

Apa yang dapat dirumuskan melalui kajian ini adalah perniagaan Eng Seng Hardware & Timber Sdn Bhd ini merupakan sebuah perniagaan yang mampu meningkatkan sosioekonomi masyarakat terutamanya masyarakat setempat dengan menyediakan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada perkhidmatan membekal peralatan untuk pembinaan. Malah syarikat ini juga menunjukkan kesan pembangunan ekonomi keluarga dan masyarakat dari satu tahap yang rendah sehingga mencapai tahap yang membanggakan sekarang setelah menghadapi pelbagai cabaran. 

Penyelidik  mencadangkan Tan Sah Sing agar mengadakan Customer Day yang mana syarikat Seng Hardware & Timber menghargai pelanggan tetap mereka dengan memberi harga yang rendah untuk setiap pembelian. Selain itu, pada hari Customer Day ini syarikat boleh mengadakan bengkel yang berkaitan. Antara bengkel yang boleh diadakan ialah Bengkel DIY (Do-It-Yourself) dan Bengkel Belajar Menukang Kayu kerana masih ramai masyarakat yang masih belum fasih mengenai kemahiran bertukang ini. Ini boleh merapatkan lagi hubungan antara syarikat dengan pelanggan. Dengan secara tidak langsung, pelanggan akan menjadi selesa dan akan menjadi pelanggan tetap kepada syarikat.


MZ Zainudin



No comments:

Post a Comment