Sunday, January 10, 2016

Cuai urus kelahiran







Penukaran bayi yang berlaku di sebuah pusat bersalin swasta baru-baru ini amat mengejutkan. Kejadian ini memberi kesan trauma kepada ibu bapa bayi yang terlibat.

Media melaporkan bahawa ia berlaku kerana terdapat pelanggaran prosedur yang dikategorikan sebagai kelalaian dan mengambil mudah. Biasanya setiap proses kelahiran mempunyai manual khusus supaya pertukaran bayi tidak berlaku. Ia juga mempunyai prosedur khusus untuk menangani kes kematian bayi, kelahiran bermasalah dan sebagainya.

Dalam kes ini, pertukaran bayi berkenaan telah dapat diselesaikan dalam tempoh dua jam namun kesan trauma akan berpanjangan bagi tempoh yang lama. Sebaik-baiknya ialah kedua-dua pihak melupakan kejadian ini selepas yakin dan berpuas hati bahawa bayi yang dikembalikan merupakan anak yang sah.

Kes tertukar bayi pernah dilaporkan berlaku di sebuah hospital kerajaan beberapa tahun lalu. Ia melibatkan pertukaran bayi lelaki berbangsa melayu dan Cina. Walaupun menyedari terdapat kelainan pada bayi mereka, pasangan yang terlibat tidak bertindak aktif untuk menukarkan kembali anak masing-masing.

Anak-anak ini membesar dengan keluarga yang berbeza dan menggunakan nama mengikut bangsa mereka sehinggalah cerita sebenar didedahkan.

Semasa pendedahan dibuat, bayi berbangsa Melayu telah pun berkahwin dengan wanita Cina dan mempunyai seorang anak. Beliau hidup sebagai seorang Cina, beragama Buddha dan semua proses sosialisasi adalah mengikut kebudayaan Cina.

Bayi berbangsa Cina masih belum berkahwin. Beliau sangat marah apabila diberitahu bahawa ibu bapanya yang sebenar berketurunan Cina. Beliau marah kerana hilang peluang dalam ekonomi kerana pada anggapannya hanya dengan berbangsa Cina beliau akan kaya dan hidup senang-lenang.

Selepas itu, kita tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka.

Banyak iktibar yang kita boleh ambil dalam kes-kes seperti ini. Pihak yang terlibat dalam proses kelahiran mesti mengambil langkah yang lebih tegas supaya ia tidak berulang dan memberi kesan trauma yang berpanjangan. Pada masa yang sama, imej sebagai pusat bersalin turut terjejas serta menimbulkan kegelisahan kepada orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan.

Ibu bapa juga wajar melihat bayi mereka semasa dilahirkan supaya dapat mengenal pasti rupa fizikal dan gerak hati bahawa bayi mereka adalah seperti mereka, sekurang-kurangnya ada tanda lahir atau pengenalan lain.



No comments:

Post a Comment