Thursday, January 14, 2016

Kadar kelahiran etnik Cina merosot di Malaysia






Sumber: star online


Kadar kesuburan etnik Cina di Malaysia menunjukkan trend penurunan. Pada tahun 2000, kelahiran adalah 2.6 bagi setiap wanita manakala pada tahun 2014 berada pada kadar 1.4. Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia ini ada kaitan dengan banyak isu membabitkan etnik Cina pada masa hadapan.

Dapatan ini selari dengan trend penurunan kadar kesuburan etnik Cina di lima buah negara di Asia iaitu Korea Selatan (1.25), Hong Kong (1.18) Taiwan (1.12), Macau (0.94) dan Singapura (0.81).

Pertama, politik. Adakah parti politik Cina akan bersatu mempertahankan kepentingan etnik itu di Malaysia? Kini terdapat banyak parti politik yang memperjuangkan isu-isu etnik itu dalam pelbagai bentuk. MCA bersama dengan kerajaan Barisan Nasional dilihat tidak lagi berupaya menarik sokongan etnik Cina terhadap kerajaan berbanding DAP yang semakin “kencang” meluaskan pengaruh dalam kalangan etnik Melayu dan Cina serta menguasai kawasan bandar.

Di sebalik kemerosotan pengundi Cina, apakah yang bakal berlaku kepada pengaruh dan kuasa politik etnik Cina kelak? Ia bakal menjadi mimpi negeri apabila parti-parti Cina perlu membuka keahlian kepada bukan Cina disebabkan bilangan etnik Cina semakin berkurangan dalam tempoh 60 tahun akan datang.

Kedua, ekonomi. Lingkaran ekonomi Malaysia, sama ada suka atau tidak, masih lagi didominasi etnik Cina. Biar pun kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru sejak 46 tahun lalu, ekuiti ekonomi etnik Cina masih besar. Namun keadaan pasti akan berubah dalam tempoh lima dekad akan datang. Dengan kadar kesuburan yang merosot setiap tahun, peratusan populasi etnik Cina akan menurun secara mendadak.

Pada tahun 1957, mereka membentuk 38 peratus penduduk Malaysia, namun peratusan ini berkurangan kepada 24.6 peratus pada tahun 2010. Dalam tempoh 60 tahun, jumlah mereka turun sebanyak 13.4 peratus. Malah dalam tempoh 60 tahun lagi, Cina akan menjadi minoriti jika trend ini berterusan.

Ketiga, pendidikan. Adakah sekolah vernakular Cina akan menjadi tontonan umum di muzium? Kemasukan pelajar Cina ke sekolah-sekolah vernaklular telah berkurangan pada 483,852 pada 2014. Empat tahun lalu jumlah ini ialah 539,621 orang. Jumlah yang rendah ini berkait rapat dengan kadar kelahiran per 1000 populasi. Pada tahun 2013, kadar kelahiran baru bagi wanita Cina hanya 4.9 berbanding India 6.1 dan bumiputera 15.6.

Oleh yang demikian, sekolah-sekolah vernakular Cina mengalami defisit pelajar Cina sebaliknya pelajar bukan Cina yang berminat ke sekolah itu meningkat. Pada tahun 2014, jumlah mereka seramai 87,463 berbanding tahun 2010 seramai 72,443 orang.

Masa hadapan etnik Cina di Malaysia terletak pada tangan mereka sendiri.



Post a Comment