Sunday, January 24, 2016

Kerjasama pantau kumpulan radikal







Kebimbangan masyarakat umum terhadap keselamatan diri di tempat-tempat awam di Malaysia tidak begitu ketara. Biar pun letupan dan kejadian serangan di Jakarta baru-baru ini dikaitkan dengan aktiviti militan, suasana di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Georgetown masih tenang.

Keputusan kabinet Najib Razak untuk menambah anggota keselamatan di kawasan strategik dan tumpuan ramai meningkatkan keyakinan ramai pihak. Kehadiran polis dan askar menjadikan suasana tenteram dan stabil.

Di rantau Asia Tenggara, semua negara yang mempunyai umat Islam terkesan dengan kehadiran ideologi baru yang dibawa oleh Islamic State (IS) yang menjadikan Syria dan Iraq sebagai pengkalan mereka. Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Thailand dan Filipina adalah negara yang sedang berhadapan dengan ancaman IS sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Serangan militan di Jakarta dikaitkan dengan pengaruh IS menimbulkan ketegangan keselamatan di Indonesia manakala di Singapura beberapa orang pekerja asing dari Bangladesh diusir keluar dari negara itu kerana dikhuatiri menimbulkan masalah keselamatan. Di Malaysia sendiri, rakyat negara ini yang dikesan hendak ke Syria telah ditangkap dalam siri serbuan seluruh negara. Brunei juga berperanan menjadi benteng awal untuk mengesan kegiatan ganas militan dengan mengesan dan menangkap individu yang menjadikan negara itu sebagai transit kecil. Kemampuan perisikan negara itu telah berjaya mematahkan beberapa cubaan individu dari negara-negara jirannya yang menjadikan lapangan terbang negara sebagai transit ke Turkey.

Keupayaan perisikan di Asia Tenggara boleh dikatakan sangat hebat kerana perkongsian maklumat sesama agensi keselamatan amat terserlah ketika ini.

Di Malaysia, Bukit Aman sering mengadakan taklimat dan penerangan keselamatan ke seluruh negara khususnya di universiti dan institusi pengajian tinggi kerana kelompok pelajar ini mudah terpengaruh dengan ideologi IS. Pelajar berpotensi menjadi ahli baru dalam rangkaian IS kerana kepintaran dan semangat juang yang dimomokkan atas nama perjuangan agama. Selain pelajar, penerangan juga merangkumi pensyarah dan kakitangan universiti kerana terdapat kes seorang pensyarah universiti telah terlibat dalam kegiatan militan di Selatan Filipina.

Pengaruh ideologi radikal yang muncul dekad ini merupakan malapetaka dunia akibat jurang komunikasi yang semakin kecil kerana perkembangan internet. Kemunculan media sosial yang merodak kesunyian masyarakat pelbagai agama dan bangsa menjadikan masyarakat dunia resah. Mereka resah kerana kumpulan radikal ini mengeksploitasi media sosial dengan mengembangkan ideologi mereka. Organisasi militan dan radikal membina asas gerakan mereka melalui perancangan dan pembangunan yang menjadikan internet sebagai penghubung. Internet juga menyumbang kepada keupayaan militan merancang serangan bentuk baru yang lebih canggih seiring dengan perkembangan semasa.

Kecanggihan ini ialah keupayaan melakukan misi letupan seorang diri atau lone-wolf radicalisation yang melibatkan ahli kumpulan atau kelompok yang bersimpati dengan ideologi mereka. Semua arahan hanya digerakkan melalui media sosial.

Maklumat sesebuah kumpulan radikal ini diperolehi dalam mikroblog atau laman sesawang yang dibina dalam tempoh yang singkat. Pengikut mereka ini boleh jadi sesiapa sahaja dan di mana-mana sahaja, tidak memerlukan mereka untuk menghadirkan diri ke usrah atau halaqat sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada ajaran ideologi kumpulan melalui seorang ketua yang lantik.

Justeru, untuk mengenal pasti dengan tepat bakal pengganas dan pendokong mereka agak sukar. Mereka ini tidak lagi berjanggut atau berkopiah sebaliknya berseluar jeans, t-shirt dan sedikit atau langsung tidak ada janggut. Mereka bebas bergerak ke merata tempat tumpuan dan boleh menjadikan kawasan aman sebagai medan berdarah.


Post a Comment