Tuesday, January 05, 2016

Peranan agama Islam dalam masyarakat plural di Malaysia








1.0 Pengenalan

Masyarakat Malaysia yang berbilang kaum melahirkan pelbagai budaya dan juga agama yang menjadi pegangan hidup rakyatnya. Orang Melayu yang semestinya beragama Islam, Cina beragama Buddha, Konfusian serta masyarakat India beragama Hindu. Ketiga-tiga kaum utama inilah yang mendominasi perubahan nilai dalam kalangan masyarakat Malaysia. Dalam tajuk “Peranan agama Islam dalam masyarakat plural di Malaysia”, kita membincangkan aspek berikut: bagaimana cara-cara hidup orang-orang muslim boleh membawa keharmonian dalam masyarakat yang pelbagai di Malaysia.


2.0 Kajian Literatur

Agama ialah ajaran yang dianuti atau dipercayai oleh seseorang. Agama merupakan sesuatu yang dipegang dan menjadi ikutan. Agama merupakan salah satu fenomena sosial yang mana penganutnya mengikut sesuatu ajaran. Di Malaysia, terdapat agama Islam, Hindu, Buddha dan Kristian. Plural bemaksud jamak atau banyak. Dalam konteks kajian ini, plural merujuk kepada masyarakat majmuk di Malaysia. Masyarakat majmuk terdiri daripada Melayu, India dan Cina.

Penghayatan nilai-nilai baik dari setiap agama dapat membantu menjadikan Malaysia terus aman dan makmur. Hubungan yang harmonis antara kaum di Malaysia mestilah terus dipupuk dan ditanam dengan nilai-nilai baik yang disarankan oleh setiap agama yang dianuti oleh rakyat Malaysia. Rasa hormat-menghormati kepercayaan dan agama kaum lain perlu disemai dalam kalangan generasi kepada generasi agar diteruskan bagi mengekalkan keunikan negara kita ini. Masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai budaya dan agama sememangnya mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi. Sekiranya nilai-nilai ini dihayati maka masyarakat akan hidup aman dan tenteram. Penghayatan nilai-nilai murni dalam agama dan budaya akan mewujudkan kehidupan yang bertamadun dan dapat bertindak sebagai pemangkin kepada keutuhan nilai murni dalam masyarakat.

Malaysia yang terdiri daripada negeri-negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu (Semenanjung), Sabah serta Sarawak ditubuhkan pada 16 September 1963. Penduduk Malaysia boleh dikategorikan kepada dua kumpulan utama iaitu penduduk pribumi dan bukan pribumi. Penduduk peribumi sebahagian besarnya terdiri daripada orang Melayu. Selain orang Melayu, terdapat juga pelbagai kumpulan etnik pribumi lain seperti Orang Asli di Semenanjung dan pelbagai etnik pribumi di Sabah dan Sarawak. Penduduk bukan pribumi terdiri daripada orang Cina dan India serta sebilangan kecil etnik-etnik lain.


3.0 Metodologi

Kajian ini telah dijalankan menggunakan cara literal dan kualitatif. Buku-buku dan internet merupakan sumber utama untuk mendapatkan maklumat mengenai kajian ini. Selain itu, pengkaji turut menemu bual tiga orang responden yang berlainan kaum seperti Melayu, India dan Cina bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai kajian ini.


4.0 Hasil Kajian

Soalan 1: Bagaimanakah peranan agama Islam dapat menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik?

Menurut responden Melayu, salah satu peranan yang dapat dijalankan oleh umat Islam untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai etnik ini adalah ketika orang-orang muslim menyambut Hari Raya Aidilfitri. Mereka boleh mengadakan rumah terbuka atau mengadakan jamuan kecil-kecilan yang sekali gus mereka dapat menjemput sanak-saudara dan jiran tetangga.

Seterusnya, responden kedua dan ketiga iaitu Cina dan India mempunyai idea yang sama. Mereka bersetuju bahawa agama Islam adalah agama yang membawa kedamaian dan ketenangan yang sentiasa mensejahterakan penduduk-penduduk di muka bumi ini.

Soalan 2: Apakah faktor-faktor yang menyumbangkan kepada peranan agama Islam dalam masyarakat plural di Malaysia?
           
Menurut responden Melayu, beliau menyatakan bahawa faktor yang dapat menyumbangkan kepada peranan agama Islam dalam masyarakat plural di Malaysia adalah dengan mengeratkan hubungan silaturrahim antara masyarakat. Contohnya ketika musim perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ketika inilah mereka dapat berjumpa beramai-ramai dan berkongsi cerita dan gelak tawa justeru hubungan mereka akan menjadi semakin akrab.

Seterusnya bagi responden India, beliau mengatakan Islam banyak mengajar nilai-nilai murni kepada penganutnya yang sekali gus memberi impak positif kepada orang-orang di sekelilingnya. Sebagai contoh salah satu yang diamalkan dan disanjung tinggi oleh masyarakat Islam adalah menjaga hubungan silaturrahim. Selepas itu responden yang seterusnya dari responden Cina. Beliau juga memikirkan hal yang sama seperti responden India.

Soalan 3: Sejauh manakah nilai dalam agama Islam dapat diterapkan dalam masyarakat plural di Malaysia?

Respons yang diberikan oleh ketiga-tiga responden ialah mereka memberikan contoh nilai bertolak ansur. Mereka mengaitkan hal ini dengan perayaan kaum. Responden India menyatakan bahawa setiap kaum bertolak ansur dengan perayaan kaum masing-masing walaupun sedikit bunyi bising yang dilakukan semasa menyambut perayaan manakala repondan Melayu dan Cina berpendapat bahawa kerajaan bertolak ansur semasa perayaan disambut dengan memberi cuti kepada semua kaum agar dapat menyambut perayaan tersebut bersama-sama. Nilai kebebasan beragama sangat penting dalam mewujudan keamanan dah keharmonian sesebuah negara. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, kebebasan beragama sedia terjamin dalam perlembagaan negara. Kebebasan ini mewujudkan keharmonian dalam masyarakat Malaysia sejak kita memperoleh kemerdekaan. Kesefahaman kepada pengaruh dan peranan nilai agama itu mewujudkan masyarakat yang mampu bekerjasama dan berinteraksi. Dalam erti kata lain, masyarakat harmoni dalam menangani masalah yang dihadapi.

Soalan 4: Adakah agensi kerajaan seperti Jakim dapat menyumbang kepada peranan agama Islam dalam masyarakat plural?

Jawapan yang diberikan oleh ketiga-tiga responden ialah Jakim memainkan peranan yang besar seperti menyumbang dana bagi membina masjid ataupun menghasilkan infrastruktur yang dapat menyumbang ilmu agama seperti sekolah-sekolah agama. Hal ini sekali gus memberikan kesan yang cukup mendalam dari sudut sumbangan yang dilakukan oleh pihak Jakim. Selain itu, ia juga dapat menangkis salah faham dan tuduhan-tuduhan terhadap Islam. Sekiranya pihak Jakim aktif dalam dialog antara agama, ia akan dapat menyelesaikan banyak salah faham mngenai Islam serta menyangkal tuduhan-tuduhan mansyarakat bukan Islam. Seterusnya, sumbangan Jakim adalah dapat membina hubungan baik dan menunjukkan sifat keterbukaan antara penganut pelbagai agama.

Soalan 5: Bagaimanakah kaedah yang sesuai untuk berdakwah kepada orang bukan Islam?
           
Tiga responden telah ditemu bual yang berlainan bangsa iaitu Melayu, Cina dan India. Melalui temu bual yang dijalankan, responden Melayu menyatakan kaedah yang sesuai adalah melalui ceramah agama manakala, responden India dan Cina berpendapat bahawa media massa adalah cara terbaik. Penyebaran maklumat merupakan peranan utama dalam media massa, oleh itu penyebaran dakwah amat sesuai melalui media massa seperti facebook dan seumpamanya kerana laman sosial seperti itu menjadi tumpuan utama masyarakat pada hari ini. Contohnya mereka boleh berkongsi ilmu-ilmu agama di timeline mereka. Ini dapat memudahkan bagi orang yang beragama lain untuk membaca secara terbuka.

Soalan 6: Berikan pandangan tentang penyebaran agama Islam dalam  masyarakat Islam?
           
Melalui temu bual yang telah dijalankan responden Melayu berpendapat bahawa ianya berkesan kerana ramai bangsa lain yang beralih agama kepada agama Islam manakala responden Cina dan India mengatakan ianya tidak berkesan atas sebab yang berlainan. Bersandarkan pendapat responden Melayu, kita dapat melihat bilangan umat Islam semakin bertambah setiap tahun. Di sini kita dapat melihat bahawa penyebaran agama Islam yang berkesan berjaya menambah jumlah umat Islam di muka bumi. Dakwah ini boleh ini boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Di era permodenan ini, teknik berdakwah ini berlaku dengan lebih luas dan lebih efektif malah lebih mudah.

Responden India mengatakan ianya tidak berkesan disebabkan banyaknya berlaku kes murtad (keluar agama) dalam masyarakat Islam sendiri. Responden Cina pula menyatakan ramainya masyarakat Islam sendiri tidak mempraktikkan perkara yang diperintahkan agama mereka.

Soalan 7: Siapakah memainkan peranan dalam  penyebaran agama Islam?

Mengikut responden India, ulamalah yang memainkan peranan dalam penyebaran agama Islam. Responden Cina juga mempunyai pandangan yang sama dengan responden India iaitu ulama berperanan sebagai penyebar agama Islam. Mengikut jawapan daripada responden Melayu, peranan penyebaran agama Islam patut diberikan kepada Jakim, Maim dan Jais serta jabatan-jabatan agama yang lain. Dengan wujudnya jabatan agama, kita tidak boleh menyangkal bahawa agama Islam lebih tersebar dan terjaga kesuciannya. Berdasarkan jawapan yang diberikan oleh semua responden iaitu ulama dan jabatan agama. Adalah penting untuk kita mengetahui siapa sebenarnya yang layak memainkan peranan penyebaran Islam ini. Ini supaya kita boleh membantu mereka yang perlukan rujukan penyelesai masalah atau pembimbing, tidak kira yang Islam atau bukan Islam.

Soalan 8: Adakah sambutan dalam agama Islam seperti hari raya korban dapat memberi impak kepada masyarakat plural di Malaysia ?
           
Mengupas jawapan responden Melayu, responden menyatakan ada impak ke atas masyarakat plural melalui sambutan hari raya korban tersebut. Hari raya korban tidak hanya mempunyai aktiviti penyembelihan tetapi aktiviti gotong-royong juga ada dijalankan. Jadi, pada masa inilah aktiviti-aktiviti ini dijalankan dengan penyertaan daripada kaum-kaum lain. Mengikut responden India pula, dengan penyertaan masyarakat plural lain dalam aktiviti hari raya korban, kita dapat meningkatkan nilai tolong-menolong. Responden Cina pula menyatakan bahawa impak yang diberikan sangat besar. Beliau berpendapat apabila mereka yang berlainan kaum tolong-menolong antara satu sama lain, mereka akan secara automatik akan lebih rapat atau erat. Respons yang diberikan menunjukkan bahawa mengeratkan hubungan adalah sangat penting untuk menyampaikan dakwah yang berkesan pada masa akan datang. Justeru menunjukkan masyarakat plural di Malaysia bersifat terbuka untuk menerima Islam.

Soalan 9: Di manakah masyarakat plural di Malaysia dapat mempelajari tentang ilmu agama Islam?
           
Responden India menyatakan bahawa terdapat dua tempat di Malaysia untuk mempelajari ilmu agama Islam iaitu masjid dan sekolah. Hal ini jelas membuktikan bahawa kaum lain juga didedahkan tentang agama Islam sejak di sekolah lagi melalui subjek-subjek wajib atau am di sekolah. Responden Melayu pula berkata tempat untuk masyarakat plural di Malaysia dapat mempelajari tentang agama Islam adalah di masjid, madrasah dan sekolah. Responden Cina yang turut menyatakan bahawa tempat untuk belajar agama Islam ialah di masjid dan institut pengajian tinggi. Hal ini kerana tempat belajar seperti sekolah dan tempat pengajian tinggi amat sinonim dengan ilmu. Ilmu dalam konteks ini ialah ilmu sains dan agama. Di sekolah juga, kaum bukan Islam juga dapat mempelajari tentang agama mereka dan pada masa yang sama dapat mempelajari ilmu agama Islam memandangkan sekolah dan institut pengajian tinggi mempunyai surau atau masjid mereka sendiri.

Soalan 10: Sejauh manakah keberkesanan media massa dalam mengembangkan dakwah kepada orang bukan Islam?
           
Responden India menyatakan media massa amat berkesan dalam mengembangkan dakwah kepada orang bukan Islam. Media massa menerusi iklan-iklan agama Islam di televisyen dan filem yang bertemakan agama Islam. Responden Melayu menyatakan bahawa media massa berkesan melalui iklan dan facebook. Facebook dalam konteks media massa ialah media sosial. Responden Cina juga bersetuju dengan keberkesanan media massa dan menyatakan pengaruh televisyen dan akhbar memainkan peranan yang penting. Hal ini jelas menyatakan bahawa televisyen berjaya menyebarkan agama Islam kepada orang bukan Islam dengan iklan atau ceramah. Mustahil untuk sesebuah rumah tidak mempunyai televisyen. Jadi, medium yang paling dekat dengan orang ialah televisyen. Pihak penyiaran hendaklah memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan agama Islam kepada etnik bukan Islam.


5.0 Kesimpulan

Agama Islam hendaklah diangkat sebagai agama yang harmoni oleh masyarakat plural di Malaysia. Umat Islam hendaklah bijak dalam mempertahankan agama mereka di samping bertolak ansur sesama penganut agama Islam demi menjamin keberkesanan dakwah kepada orang bukan Islam.


Rujukan

Temu bual bersama Cik Varneshwaran a/l Seathuraman pada 10 November 2015.

Temu bual bersama Cik Mohamad Bukhairihar Alzhumar bin Osman pada 11 November 2015.

Temu bual bersama Cik Hoh Chee Seng pada 29 Oktober 2015.

Sora. (2014). Pengertian Media Massa dan Menurut Para Ahli, diambil 16 November 2015, dari http://www.pengertianku.net/2014/07/pengertian-media-massa-dan-menurut-para.html.

Romel. (2014). Media Sosial: Pengertian, Karakteristik dan Jenis, diambil 17 Novemebr 2015, dari http://www.romelteamedia.com/2014/04/media-sosial-pengertian-karakteristik.html.


MZ Zainudin, Mohammad Ridwan Rosli, Ahmad Wahi Ab.Rahman, Ahmad Hidzir Shamsudin, Wan Muhammad Faruqi Wan Abdillah, Muhammad Zakwan Mohd Zin                            


No comments:

Post a Comment