Saturday, January 16, 2016

Sumbangan Perniagaan Haji Ideris terhadap pembangunan sosioekonomi Kampung Kandang








1.0 Pengenalan

Sosioekonomi merupakan satu subjek berkaitan hubungan sosial dalam masyarakat dan kegiatan ekonomi yang dilakukan dalam masyarakat. Selain itu, subjek ini juga membina jati diri bangsa serta memupuk nilai-nilai positif dalam masyarakat. Perkataan sosioekonomi terdiri daripada gabungan dua patah perkataan iaitu perkataan sosiologi dan perkataan ekonomi. Maksud sosiologi adalah suatu bidang kajian tentang sistem dan tingkah laku masyarakat berkaitan perubahan sosial, struktur sosial dan perubahan sistem nilai yang berlaku kesan daripada kegiatan ekonomi. Manakala perkataan ekonomi pula adalah satu bidang pengajian yang cuba menyelesaikan masalah keperluan asas kehidupan manusia melalui segala pengembelingan sumber ekonomi yang berasakan kepada prinsip serta teori tertentu dalam sistem ekonomi. Hasil gabungan dua patah perkataan ini membentuk perkataan sosioekonomi yang mana ia merupakan satu hubung kait kegiatan ekonomi dalam sesebuah masyarakat.

1.1 Objektif Kajian

Antara objektif yang terdapat dalam kajian ini adalah mengetahui jenis perniagaan Haji Ideris, mengkaji sumbangan Perniagaan Haji Ideris terhadap penduduk sekitar dari sudut sosioekonomi seperti membuka peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan masyarakat setempat, sumbangan komuniti dan lain-lain, dan mengetahui cabaran dalam mewujudkan sosioekonomi masyarakat setempat.

1.2  Limitasi Kajian

Kajian ini hanya tertumpu kepada perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) Haji Ideris di Kampung Kandang, Melaka. Selain itu juga kajian ini membincangkan Perniagaan Haji Ideris serta sumbangan perniagaannya daripada sudut sosioekonomi kepada masyarakat setempat khususnya di kawasan kajian iaitu di Kampung Kandang, Melaka.


2.0 Latar Belakang

2.1 Usahawan

Haji Ideris memulakan perniagaan pada tahun 1979 iaitu selepas sahaja tamat bersekolah. Pada awal perniagaan, beliau hanya berniaga kacang rebus secara kecil-kecilan dengan menggunakan beca tiga roda. Perniagaan kacang ini yang beliau usahakan bermula dari tahun 1979 hingga ke tahun 1982. Dalam tempoh masa empat tahun ini beliau banyak menimba pengalaman dan belajar dalam menguruskan selok belok perniagaan. Dalam tempoh masa empat tahun berikutnya pula, bermula dari tahun 1982 hingga ke tahun 1986, dengan berbekalkan modal sebanyak RM500, beliau memulakan perniagaan menjual air. Awal permulaan perniagaan air ini, beliau hanya menjual tiga jenis air iaitu air kelapa, air oren dan air jagung. Selepas beberapa tahun kemudian beliau mempunyai pekerja sendiri.

Bermula pada tahun 1986, beliau menceburkan diri dalam bidang kontraktor bahagian pembinaan bangunan. Pada tahun 1999 beliau berhenti daripada bidang kontraktor kerana tidak sesuai dan krisis kejatuhan ekonomi pada tahun 1997. Selepas berhenti melibatkan diri dalam bidang kontraktor, beliau mencari inisiatif lain sebagai sumber ekonomi beliau.

Bermula pada tahun 1999 hingga sekarang beliau menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan penghasilan produk IKS iaitu perusahaan dodol secara komersial. Selain itu, beliau mempelbagaikan jenis produk IKS yang dihasilkan dan sehingga kini 30 jenis produk yang dapat dihasilkan oleh perusahaan beliau. Perniagaan beliau memperoleh banyak anugerah antaranya ialah anugerah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Fama dan anugerah daripada Ketua Menteri Melaka.


3.0 Kaedah Kajian

Terdapat dua pendekatan dalam menjalankan penyelidikan iaitu pendekatan kualitatif dan kuantitatif. Kajian yang menggunakan pendekatan kualitatif menjurus untuk menggambarkan sesuatu situasi, fenomena, masalah atau keadaan tanpa memberikan bukti bersifat numerikal manakala pendekatan kuantitatif pula memberi bukti sesuatu situasi, fenomena, masalah atau keadaan dalam bentuk angka. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif, dua kaedah penyelidikan kualitatif telah dilaksanakan dalam proses pengumpulan data iaitu pemerhatian dan kaedah temubual.

Kaedah pemerhatian merupakan satu kaedah penyelidikan berbentuk kualitatif yang digunakan untuk mengukur pemboleh ubah penyelidikan. Kaedah ini sesuai digunakan untuk menyelidik perkembangan tingkah laku satu unit sosial. Kaedah ini digunakan untuk mengumpul maklumat khusus untuk menjawab objektif iaitu mengenal pasti kesan dan sumbangan Perniagaan Haji Ideris terhadap masyarakat setempat dari segi ekonomi dan menambah pendapatan mereka. Kaedah ini dijalankan di kawasan kajian iaitu Kilang Perusahaan Perniagaan Haji Ideris di Kg. Kandang, Melaka dengan menggunakan alat bantuan seperti alat-alat perakam. Pemerhatian dijalankan dengan melawat kawasan kilang dan kedai beliau di perkampungan tersebut. Dengan menggunakan kaedah ini, penyelidik dapat melihat sendiri kesan perusahaan perniagaannya terhadap perubahan sosioekonomi masyarakat Kg. Kandang.

Menurut kamus pelajar edisi kedua temu bual membawa maksud pertemuan dengan seseorang untuk bersoal jawab untuk mendapatkan berita. Terdapat beberapa langkah dalam proses temubual iaitu persediaan menemubual, kemahiran menemubual dan pendokumentasian temubual. Temubual diklasifikasikan kepada dua jenis iaitu temubual formal dan tidak formal. Temubual formal merupakan proses soal jawab melibatkan individu yang berjawatan dalam sesuatu organisasi manakala temubual tidak formal pula merujuk kepada proses soal jawab dengan individu umum. Temubual formal dijalankan bersama Haji Ideris bin Haji Zainuddin yang merupakan pengasas dan juga pemilik kepada Perniagaan Haji Ideris tersebut. Fokus temubual menjurus kepada sejarah penubuhan perniagaan, bagaimana menguruskan perniagaan, pencapaian dan kejayaan, cabaran dan cara mengatasinya. Antara soalan-soalan yang ditanya semasa temubual kepada Haji Ideris adalah seperti berikut.

1)  Bolehkah Tuan menceritakan serba sedikit latar belakang diri tuan?
2)  Sejarah atau bagaimana boleh melibatkan diri dalam bidang perniagaan?
3)  Terangkan berkaitan perniagaan yang dijalankan?
4)  Bagaimanakah cara-cara yang dilakukan semasa memulakan perniagaan?
5)  Sejauh manakah kejayaan dan pencapaian yang dicapai dalam bidang ini pada hari ini?
6)  Apakah halangan yang dilalui untuk mencapai kejayaan seperti hari ini?
7)  Sebagai seorang usahawan Industri Kecil & Sederhana (IKS), apakah jenis-jenis bantuan yang diterima dalam bidang ini oleh pihak yang berkaitan?
8)  Bagaimanakah pemasaran produk dilakukan?
9)  Sebagai seorang usahawan berjaya, apakah sumbangan tuan kepada masyarakat khususnya penduduk setempat?
10) Adakah tuan bercadang untuk mengembangkan lagi perusahaan tuan?
11) Adakah pekerja-pekerja tuan terdiri daripada masyarakat setempat sahaja atau ahli-ahli keluarga?
12) Apakah nasihat dan saranan tuan kepada mereka dan anak muda yang ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan?


4.0 Hasil Kajian

Bagi memastikan produk yang dihasilkan lain daripada yang lain, Haji Ideris mempelbagaikan jenis pembungkusan untuk menarik perhatian pelanggan. Terdapat beberapa bentuk dan jenis pembungkusan dodol hasil keluaran Haji Ideris ini, antara jenis-jenis pembungkusan dodol adalah seperti dalam gambar. Terdapat dua  kaedah yang digunakan untuk membungkus dodol ini iaitu membungkus dengan menggunakan tenaga pekerja dan menggunakan mesin yang dicipta khas untuk membungkus dodol. 

4.1 Sumber Manusia

Perniagaan Haji Ideris mempunyai pekerja 46 orang kesemuanya, enam orang terdiri daripada pekerja tetap dan seramai 40 orang merupakan pekerja separuh masa atau sambilan. Kesemua pekerja Haji Ideris terdiri daripada masyarakat setempat iaitu penduduk Kampung Kandang, Melaka. Secara tak langsung ini merupakan sumbangan Haji Ideris kepada penduduk setempat kerana menyediakan peluang pekerjaan sekali gus boleh meningkatkan pendapatan penduduk sekitar. Purata umur pekerja tetap adalah di antara 20 tahun hingga 50 tahun manakala purata umur pekerja sambilan pula ialah di antara 16 tahun hingga 50 tahun yang melibatkan pelajar dan suri rumah. Pekerja sambilan ini melakukan kerja di rumah masing-masing iaitu kerja membungkus dodol yang siap dimasak. Dengan itu, pekerja Haji Ideris ini tidak perlu datang ke kilang untuk membuat proses pembungkusan kerana Haji Ideris sendiri akan menghantar dodol yang siap dimasak ke rumah pekerjanya, secara tak langsung ia boleh meningkatkan pendapatan isi rumah penduduk sekitar Kampung Kandang, Melaka.

Selain itu, pendekatan ini juga tidak menjejaskan tanggungjawab seorang isteri kepada suaminya dan tanggungjawab seorang ibu kepada anaknya. Julat gaji pekerja adalah sekitar RM600 sehingga RM1,800 seorang. Beliau juga menguruskan pembayaran Socso, KWSP dan lain-lain untuk pekerjanya. 

4.2 Penjualan Produk

Penjualan produk Perniagaan Haji Ideris dibahagikan empat fasa dalam setahun untuk mengambil kira keuntungan dan kerugian perniagaan. Pendekatan ini diambil bagi mengenal pasti kuantiti produk yang berjaya dijual sekali gus menghitung jumlah keuntungan yang diperoleh.

Fasa pertama penjualan produk Perniagaan Haji Ideris adalah bulan Januari sehingga bulan Mac. Pada tempoh suku pertama, penjualan produk adalah amat perlahan dan boleh dikatakan tidak berjalan. Hal ini disebabkan oleh awal tahun yang tidak mempunyai cuti yang menyebabkan pengunjung kurang bertandang ke Melaka pada tempoh masa ini.

Fasa kedua pula adalah antara April sehingga Jun. Bagi tempoh sukuan kedua, penjualan produk Perniagaan Haji Ideris mula berjalan seperti biasa dan permintaannya mula meningkat. Hal ini disebabkan oleh cuti pertengahan tahun dan peningkatan majlis kenduri-kendara sekali gus menyebabkan jumlah pelancong dan pengunjung yang bertandang ke Melaka meningkat.

Manakala bagi fasa ketiga penjualan produk pula tempohnya di antara Julai sehingga September. Pada sukuan ketiga ini, penjualan produk terus berjalan dan meningkat. Penjualan produk Perniagaan Haji Ideris bagi tiga sukuan ini merupakan pulangan modal bagi perniagaan beliau pada tahun tersebut. Modal ini dikira kos pengoperasian kilang dan kos penghasilan produk bagi tempoh 12 bulan untuk tahun tersebut.

Bagi fasa terakhir pula, tempohnya adalah antara Oktober sehingga Disember. Penjualan produk perniagaan beliau bagi tempoh tiga bulan yang terakhir ini adalah keuntungan bersih bagi tahun tersebut. Permintaan produknya keluaran kilangnya ini amatlah tinggi bagi tempoh tiga bulan terakhir setiap tahun. Hal ini disebabkan oleh cuti sekolah yang panjang sekali gus menyebabkan peningkatan jumlah kenduri-kendara dan peningkatan jumlah pelancong yang bertandang ke Melaka.

Berikut adalah senarai produk Perniagaan Haji Ideris yang dipamerkan di Direktori Halal     
Malaysia.

Arca Buah
Asam Pedas Melaka
Cencaluk Biasa
Cencaluk Pedas
Dodol Asli
Dodol Badam
Dodol Coklat
Dodol Durian
Dodol Epal
Dodol Gajus
Dodol Jagung
Dodol Kacang
Dodol Kismis
Dodol Kurma
Dodol Mangga
Dodol Pandan
Dodol Strawbery
Gula Melaka
Jeruk Cili Padi
Jeruk Limau
Minyak Kelapa Dara (VCO)
Sagun Jagung
Sagun Keladi
Sagun Pandan
Sagun Strawbery
Wajik Pulut
Wajik Pulut Durian
Wajik Sirat


4.3 Pasaran Produk

Pasaran produk Perniagaan Haji Ideris pada hari ini amat luas merangkumi seluruh Malaysia, Brunei, Singapura dan beberapa negara di Timur Tengah. Kejayaan mendapatkan pasaran yang besar bagi perniagaan beliau pada peringkat awalnya dibantu oleh beberapa agensi kerajaan untuk memasarkan produknya. Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam membantu pemasaran produk keluaran kilang beliau adalah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan agensi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas).

Selain itu, pasaran produknya mendapat tempat yang meluas di beberapa pasaraya besar seperti Mydin Mall dan Jusco di Melaka dan sekitar Lembah Kelang. Penghantaran produknya di pasaraya ini adalah berterusan kerana produk keluaran kilangnya laris dijual dan senang didapati. Selain itu, beliau pernah mendapat tawaran untuk membekalkan dodol keluaran kilangnya di kedai Mesra Petronas di seluruh Malaysia. Walau bagaimana pun beliau menolak kerana belum bersedia disebabkkan penghasilan produk memerlukan saiz yang terlalu besar untuk dihasilkan dan memerlukan beliau melatih usahawan-usahan baru di setiap negeri dan membuka francaisnya sendiri.

Pasaran produknya juga senang didapati kerana produknya berada di mana-mana sahaja di tempat tumpuan orang ramai dan pelancong. Produk-produknya diambil oleh peniaga dan dijual di kedai-kedai mereka. Antaranya di hadapan Zoo Melaka, di hadapan Taman Buaya Melaka, di sekitar Bandar Hilir dan tempat-tempat tumpuan.

4.4 Cabaran dan Halangan

Cabaran dan halangan yang dihadapi oleh perniagaan beliau pada peringkat permulaan adalah dodol tidak mendapat sambutan di pasaran dan mendapat rungutan dari segi mutu produk. Di samping itu, terdapat banyak persaingan dengan peniaga dodol yang lain sedangkan beliau baru saja hendak memulakan perniagaan dodol. Bagi mengatasi maslah ini, beliau membuat beberapa penambahbaikan seperti meningkatkan mutu produk berpandukan rungutan pelanggan. Beliau terpaksa berdepan dengan rungutan untuk mendapat beberapa maklum balas daripada pelanggan. Beliau juga mempelbagaikan perisa dodol untuk mendapat tempat di pasaran yang penuh dengan persaingan dan beliau telah menghasilkan 15 dodol berperisa yang berlainan. Selain itu, beliau juga mempelbagaikan jenis pembungkusan untuk menarik minat pelanggan.

Pada peringkat awal perniagaan, beliau  mempunyai masalah modal untuk meluaskan perniagaan dan masalah untuk mendapat pasaran secara meluas. Bagi menghadapi masalah ini, beliau mewujudkan kerjasama dan mendapat bantuan dari badan-badan kerajaan seperti Fama dan Kemas. Hasil daripada kerjasama ini, beliau telah mendapat geran bantuan untuk pembinaan kilang fasa ke-2 daripada kerajaan. Dan mendapat geran dari SMDEC (Southern Marine Fisheries Research and Development Center) untuk membuat mesin pembungkusan yang dicipta oleh beliau sendiri. Beliau juga menyertai beberapa pertandingan yang dianjurkan oleh Fama sehingga menjadi johan dalam kategori penghasilan produk bagi industri kecil. Kejayaan ini dapat meningkatkan dan mengembangkan pasaran dodolnya.

Bagi menghasilkan dodol yang bermutu tinggi, proses penghasilan dodol memerlukan masa yang sangat lama dan memenatkan. Beliau memerlukan tenaga pekerja yang ramai untuk proses membuat dodol seperti mengacau yang mengambil masa 12  jam untuk siap dimasak. Untuk  mengatasi masalah ini, beliau mengambil jalan untuk mencipta mesin pengacau dodol yang menggunakan tenaga elektrik dengan daya kreativitinya sendiri demi menjimatkan tenaga kerja manusia dan menjadikan kerja penghasilan dodol lebih mudah.


5.0 Rumusan

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Perniagaan Haji Ideris Sdn. Bhd, dapat diketahui dengan lebih terperinci jenis perniagaan serta produk yang diusahakan oleh Haji Ideris. Selain dodol, beliau menghasilkan beberapa jenis produk seperti sagun, cencaluk dan belacan. Ini dapat disimpulkan bahawa beliau juga menghasilkan produk tradisional makanan masyarakat Melaka khususnya. Selain itu, berdasarkan maklumat sumber temubual yang diperolehi, dapat diketahui latar belakang dan sejarah pengusaha dodol di Kampung Kandang, Melaka. Di samping itu dapat dipelajari cabaran dan halangan dalam sektor perniagaan yang dijalankan serta langkah untuk mengatasi segala kekangan yang timbul.

Berdasarkan daripada kajian juga dapat diketahui sejauh manakah sumbangan Perniagaan Haji Ideris terhadap pembangunan ekonomi dan menyumbang pendapatan bulanan kepada masyarakat setempat.


Rujukan

http://etabika.kemas.gov.my/portal3p/v2.01/UsahawanProduk.cfm?UsahawanID=374&KategoriID=1&NegeriID=11

http://www.halal.gov.my/ehalal/directory_standalone.php?type=P&cari=perniagaan%20ideris

http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm//news_lite.php?id=605456


MZ Zainudin, Mohamad Izzat Amir Mohd Sanuri, Mohd Rufaizulazuar Mat Yamin, Ahmad Jihadilislam Muhamad



No comments:

Post a Comment