Tuesday, January 19, 2016

Adat istiadat kaum Kedayan








1.0 Pengenalan

Dalam menjalankan kajian hubungan etnik ini, masyarakat Kedayan telah dipilih sebagai subjek utama kajian. Perkara yang dikaji dalam kajian ini antaranya sejarah asal usul kaum Kedayan di Malaysia, adat istiadat yang diamalkan oleh masyarakat Kedayan dan cara hidup masyarakat Kedayan itu sendiri. Secara umumnya masyarakat Kedayan merupakan masyarakat yang tinggal di Sabah, Sarawak dan Brunei yang mengamalkan cara hidup seperti masayarakat Melayu. Kebanyakan daripada masyarakat ini masih mengamalkan agama dan kepercayaan berlandaskan syiar Islam. Masyarakat ini juga mengamalkan adat resam yang pelbagai di sepanjang tahun. Apa yang lebih menarik lagi adalah adat resam dan budaya masyarakat Kedayan ini masih lagi diamalkan sehingga kini.


2.0 Kajian Literatur

Kedayan merupakan bangsa campuran orang Jawa dan masyarakat Melayu Brunei yang mana peristiwa Sultan Brunei ke-5 iaitu Sultan Bolkiah (1473-1521) yang rajin singgah di tanah nusantara seperti di kepulauan Jawa, Sumatera, Kalimantan dan di Filipina. Di tanah Jawa, gaginda dapat melihat aktiviti orang Jawa yang rajin bercucuk tanam dan berpadi dan mereka ini dikenali dengan “jadi bertanam” (hasil tangan mereka yang banyak membuahkan hasil), maka baginda segera menawarkan mereka untuk menetap di Brunei. Setelah di Brunei, banyak aktiviti pertanian dibuat dengan giat dan banyak hasilnya lalu baginda memberikan hadiah. Di sinilah bermulanya ikatan pertalian dan persaudaraan orang Jawa melalui perkahwinan campur dengan masyarakat Melayu Brunei sehingga pada masa kini puak Kedayan banyak menetap di Daerah Temburong, Tutong, Belait dan Brunei dan Muara (Jerudong). Kaum ini kemudiannya berpindah-randah sehingga ada yang menetap di Sabah dan di Sarawak. Etnik Kedayan di Sabah dan Sarawak sebenarnya adalah sama dari segi agama, adat resam dan budaya kerana asal usul etnik Kedayan di kedua-dua negeri ini adalah sama.


3.0 Metodologi

Kaedah ini temubual telah dijalankan ke atas beberapa orang etnik Kedayan dan juga bukan Kedayan untuk menyelidik tentang etnik itu dan apa yang mereka faham tentang adat resam mereka. Melalui kaedah ini, maklumat yang diberikan bersumberkan daripada seorang individu Kedayan. Kaedah temubual ini dijalankan dengan sesi soal jawab daripada kumpulan pengkaji yang merangkumi keempat-empat aspek kajian iaitu perkahwinan, kehidupan sosial, pakaian dan makanan. Selain itu, kaedah rujukan dan sumber dijalankan bertujuan bagi mendapatkan fakta-fakta dan sumber-sumber. Kaedah ini dirujuk kepada unit-unit khas ataupun individu perseorangan yang mempunyai penglibatan secara langsung dalam kajian ini. Antara pihak yang terlibat dalam kaedah ini ialah responden etnik Kedayan yang mengetahui adat resam mereka, rujukan atas talian seperti wikipedia dan sumber-sumber yang membantu secara tidak langsung.


4.0 Hasil Kajian

1) Kaum Kedayan di Malaysia berasal dari mana?

Bangsa Kedayan atau disebut bangsa Kadayan merupakan salah satu bangsa yang menetap di Kepulauan Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei. Terdapat banyak kawasan yang menjadi penempatan Bangsa Kedayan. Majoriti masyarakat Kedayan yang menetap di Sabah, kebanyakan mereka berada di daerah Sipitang, Labuan, Beaufort dan Kuala Penyu. Kawasan ini merupakan kawasan yang mempunyai jumlah tertinggi masyarakat Kedayan di Sabah. Manakala, majoriti masyarakat Kedayan yang menetap di Sarawak, banyak boleh ditemui di Lawas, Limbang, Bintulu dan Miri. Kawasan ini pula merupakan kawasan yang mempunyai populasi tertinggi masyarakat Kedayan yang menetap di Sarawak. Bahasa yang digunakan oleh masyarakat Kedayan  ialah bahasa Kedayan “bahasa de facto” Brunei dan agama bagi orang Kedayan ialah Islam.

2) Di manakah permulaan kaum Kedayan sebelum berkembang?

Hasil kajian ini, kita mendapati banyak teori yang menjelaskan tentang kaum Kedayan. Terdapat sumber menyatakan Kedayan merupakan bangsa campuran orang Jawa dan masyarakat Melayu Brunei. Sumber ini merujuk kepada  peristiwa Sultan Brunei ke-5 iaitu Sultan Bolkiah (1473-1521) yang pada ketika itu singgah di tanah nusantara seperti di Kepulauan Jawa, Sumatra, Kalimantan dan Jawa. Sultan Brunei telah  menyaksikan aktiviti orang Jawa yang rajin bercucuk tanam dan berpadi dan menawarkan mereka untuk menetap di Brunei. 

3) Di manakah populasi tertinggi kaum Kedayan di Malaysia?

Populasi kaum kedayan yang terbanyak di Malaysia ialah terdapat di Sarawak. Salah satu ciri-ciri tumpuan utama komuniti ini ialah kawasan yang mempunyai tanah yang subur dan sesuai untuk menanam padi. Contohnya di daerah Bekenu, Sibuti yang mana pada bancian tahun 1970-an, penduduk Kedayan di kawasn Sibuti ialah 3,823orang daripada 7,496 orang di seluruh bahagian keempat, Miri, Sarawak. Berdasarkan Buletin Perangkaan 2011 oleh Jabatan Perangkaan Negeri Sarawak, jumlah penduduk Kedayan di seluruh negeri Sarawak ialah seramai 15,780 orang. Dari segi asal usulnya masyarakat Kedayan di Sarawak yang populasinya banyak tertumpu di Miri, Limbang, Lawas dan Bintulu sebenarnya berkait secara langsung dengan nenek moyang mereka yang berasal dari Brunei. Mungkin kerana faktor geografi memandangkan bahagian Miri, Limbang, Lawas dan Bintulu amat dekat dengan persempadanannya dengan Brunei ditambah lagi suatu waktu dahulu bahagian yang disebutkan ini mempunyai pengaruh yang amat kuat dengan Kesultanan Brunei kerana bahagian ini juga adalah merupakan tanah kuripan pembesar kesultanan suatu waktu dahulu.

4) Apakah adat istiadat dan pantang-larang yang diamlakan dalam kalangan masyarakat kaum Kedayan?

Banyak adat yang diamalkan oleh masyarakat Kedayan antaranya adat pertanian. Penanaman padi merupakan pekerjaan utama masyarakat ini sehingga kini. Petani Kedayan juga melakukan aktiviti mundul taipas (cara menangkap burung taripas). Memburu payau (rusa) juga merupakan pekerjaan rutin pada musim menuai oleh masyarakat Kedayan. Penduduk Kedayan yang tinggal di persisiran pantai dan di tebing sungai pula lebih cenderung kepada aktiviti nelayan. Selain itu, adat kenduri juga sering diamalkan oleh masyarakat Kedayan. Antaranya kenduri doa selamat, kenduri menyambut kelahiran bayi, kenduri gunting rambut bayi, kenduri selepas berkhatan. Antara pantang larang kaum Kedayan ialah jangan tidur sampai pagi atau bangun lambat kerana menggalakan kurang rezeki, jangan berkata atau komen benda yang pelik semasa berada di dalam hutan, jangan menjadi sombong dan menunjuk-nunjuk semasa di dalam hutan.

5) Bagaimana struktur organisasi kaum kedayan?Perbezaan zaman dahulu dan sekarang?

Struktur organisasi kaum kedayan ialah struktur masyarakat beraja. Sejarahnya dahulu kaum Kedayan ini kebanyakannya di Brunei dan diperintah oleh Sultan Brunei. Struktur organisasinya sama seperti struktur kerajaan Melayu yang lain kerana kerajaan Brunei merupakan kerajaan Melayu yang ada di sebelah Borneo. Strukturnya ialah sultan berada di atas sekali dituruti dengan pembesar-pembesar dan didokong oleh rakyat jelata. Kini, kaum Kedayan yang duduk di Sabah dan Sarawak berubah struktur organisasinya kepada demokrasi berparlimen yang tidak beraja.

6) Apakah kelebihan yang dimiliki masyarakat Kedayan yang boleh dicontohi kaum lain?

Dalam budaya Kedayan apabila seseorang lelaki itu meninggal dunia harta pusaka tidak terus dibahagikan kepada anak-anak mereka tetapi akan dijaga oleh si ibu sehingga kematiannya. Selepas si ibu meninggal dunia baharulah harta pusaka tersebut dibahagikan mengikut hukum syarak. Bangsa Kedayan ialah bangsa yang masih kekal dengan adat mereka biarpun kini ramai anak-anak Kedayan sudah mula keluar dari kampung dan bekerja di bandar. Bagi masyarakat Kedayan, benih padi ini akan dimakan oleh seluruh masyarakat Kedayan. Dengan keadaan itu, benih padi perlu dijaga dengan pelbagai aturan sehingga orang yang ditugaskan untuk membawa benih padi itu bukan dari orang sembarangan tetapi akan dibawa oleh anak dara. Sebelum menanam padi, membersihkan rumput yang tumbuh ditepi padi. Ini adalah supaya tikus dan binatang lain tidak menganggu padi itu. Ketika hendak ke padi, kebiasaan orang Kedayan akan berselawat supaya tidak dikacau oleh segala binatang yang ada di padi itu. Mereka mensyukuri atas rezeki yang diberikan oleh Allah iaitu dengan melakukan selawat. Selawat ini dilakukan kerana puak Kedayan ini merupakan puak yang beragama Islam.

7) Adakah adat istiadat kaum Kedayan yang beragama Islam dan bukan beragama Islam berbeza?

Antara adat istiadat kaum Kedayan adalah berkaitan dengan pertanian, perkahwinan dan kematian. Mereka juga mempunyai pantang larang yang mesti dipatuhi, jikalau mereka mengingkari maka akan berlaku perkara yang tidak baik kepada masyarakat tersebut. Adat istiadat dan pantang larang ini bertujuaan mewujudkan keselesaan dan keharmonian hidup masyarakatt tersebut.

8) Bagaimana kaum Kedayan dapat mengatasi cabaran-cabaran untuk meneruskan adat istiadat mereka di Malaysia?

Kaum Kedayan mempunyai pelbagai adat, tapi tiada gunanya jika adat itu dibiarkan menghilang dibawa arus pemodenan. Tanpa adat, maka hilanglah nama kaum tersebut. Kita tidak dapat menafikan kenyataan bahawa adat resam kaum Kedayan kini kurang ditonjolkan, maka tidak mustahil untuk lupus ditelan zaman. Segalanya bermula dengan individu. Kaum Kedayan terkenal dengan pakaian tradisinya yang unik. Walaupun mereka juga bangsa Melayu tetapi pakian mereka lain sedikit berbanding dengan masyarakat Melayu di Semenanjung. Sebagai masyarakat Kedayan, mereka haruslah memakai baju tradisi mereka untuk mempopularkan pakaian mereka. Ramai di antara kita yang tidak tahu pakaian yang macam mana mereka pakai sebelum era moden ini. Untuk masyarakat Kedayan lelaki, pakaian tradisi mereka ialah Baju Butang Tipai dan Baju Bersuja Berkubamban untuk perempuan. Jika pakaian ini sering dipakai oleh masyarakat mereka, pastinya pakaian mereka akan jadi lebih dikenali ramai. Setiap kaum semestinya ada makanan tradisional masing-masing seperti orang Arab terkenal dengan kebabnya, orang Itali terkenal dengan pizanya dan kaum Kedayan juga ada resepi nenek moyangnya yang tersendiri. Pernah dengar sambal tahai, tarap muda masak lemak, nasi kebuli? Itu semuanya masakan tradisi kaum Kedayan. Mereka sepatutnya memelihara resepi enak ini dengan memperkenalkan resepi-resepi purba ini kepada generasi baharu mereka. Jika mereka tidak perkenalkan kepada anak cucu mereka, maka lenyaplah tradisi itu. Walaupun kita memandang remeh terhadap hal ini, sebenarnya makanan tradisi memainkan peranan penting dalam membentuk identiti kaum. Jika sesuatu kaum itu tiada resepi tersendiri rasanya agak pelik dan tidak lengkap. Selain perkenalkan kepada masyarakat sendiri, mereka patut memperkenalkan kepada pelancong dan warga luar. Hal ini mungkin boleh dilakukan dengan mempromosikan di laman-laman sosial seperti facebook dan Instagram.

9) Apakah usaha-usaha yang dilakukan oleh kaum Kedayan untuk mempopularkan adat istiadat mereka?

Terdapat pelbagai cara atau usaha yang boleh dilakukan oleh semua pihak untuk terus mengekalkan sesuatu budaya yang diamalkan antaranya ialah dari pihak diri seseorang itu sendiri. Seseorang individu itu meminkan peranan yang amat penting dalam mengekalkan sesuatu kebudayaaan kerana tanpa tindakan daripada individu, pelbagai usaha yang dijalankan tidak akan berhasil. Seseorang dalam setiap kaum itu haruslah mempunyai keinginan yang tinggi untuk meneruskan budaya yang terdapat dalam bangsa mereka itu sendiri supaya kebudayaan itu dapat terus dikekalkan, sebagai contohnya anak-anak muda dalam kaum Melayu seharusnya membuka mata mereka untuk belajar tentang tarian Melayu seperti tarian zapin, tarian ulik mayang, tarian joget, dikir barat dan sebagainya. Pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting untuk meneruskan aktiviti kebudayaan dalam semua kaum di Malaysia. Pihak sekolah boleh mewujudkan persatuan atau kelab yang berkaitan dengan kebudayaan yang terdapat dalam sesuatu kaum. Sekolah memainkan peranan yang agak penting kerana menjadi rumah kedua kepada golongan kanak-kanak dan remaja selepas rumah mereka dan banyak masa yang akan dihabiskan oleh golongan ini di sekolah. Oleh itu, dengan adanya persatuan atau kelab yang berkaitan dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian bagi setiap bangsa, pasti akan dapat menggalakkan pelajar terutamanya sewaktu mereka masih muda ini untuk terus melibatkan diri dan mewarisi sesuatu aktiviti kebudayaan.

10) Pada pendapat anda, apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh seseorang individu apabila berkahwin dengan seseorang daripada etnik Kedayan?

Adat perkahwinan kaum Kedayan dan kaum Melayu sebenarnya hampir sama sahaja yang mana mereka akan bertunang terlebih dahulu sebelum akad nikah dan seterusnya dilansungkan majlis perkahwinan. Namun begitu, terdapat sedikit kelainan bagi etnik Kedayan ini sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan. Contohnya, adat bagi pengantin perempuan, terlebih dahulunya sebelum menjelang saat perkahwinan orang-orang tua telah memberikan beberapa petua dan adat tradisi yang mesti dipatuhi seperti mandi langir bagi membersihkan dan mencantikkan wajah dan kulit bakal pengantin perempuan. Sesetengah adat pula melarang bakal pengantin perempuan ini keluar rumah selama satu atau dua minggu sebelum majlis perkahwinan. Adat ini mesti dipatuhi kerana khuatir akan berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku ke atas bakal pengantin. Pada malam selepas diijab kabul (nikah) pula dilangsungkan majlis malam bebadak (majlis berinai). Pada malam ini majlis disertai bacaan berzanji,  merhaban dan selawat ke atas nabi. Majlis merenjis pengantin akan dilakukan oleh kaum keluarga dan jiran yang hadir dalam majlis ini semasa selawat nabi dialungkan. Selepas itu diadakan pula acara bergambus (tari-menari) dan dan pada ketika ini diadakan juga acara karaoke. Menjelang larut malam pula diadakan acara mukun atau bergendang. Acara ini sangat popular pada ketika dahulu yang mana tiga orang wanita pemukul gendang atau rempana sambil berpantun seloka, berbalas-balas dengan sesiapa sahaja yang berminat untuk berbalas pantun.

Pada hari majlis perkahwinan diadakan jamuan makan kepada semua yang hadir dan yang datang pula akan membawa buah tangan untuk diberi kepada pihak pengantin. Mandi pengantin dilakukan dengan beradat sambil diiringi dengan pukulan gulintangan dan rempana. Seperti juga dengan tradisi masyarakat Melayu, pengantin lelaki yang akan bertandang ke rumah pengantin perempuan akan diiringi oleh kumpulan rempana (kompang) dambil membawa bunga manggar. Pengantin lelaki ini akan ditunda (dipimpin) dengan menggunakan sapu tangan oleh seorang imam atau orang yang dianggap layak memimpinnya. Majlis bertimbang (bersanding) dilakukan dari atas pelamin sehinggalah  ke luar rumah supaya yang hadir dapat menyaksikan kedua-dua pengantin tersebut. Pada malam itu pula pasangan pengantin ini dilarang tidur kerana dipercayai sesiapa yang tidur akan mati cepat. Selain itu acara maliwan (pengantin lelaki akan membawa isteri bersama rombongan balik ke rumahnya) diadakan selepas tiga atau lima hari majlis perkahwinan.


5.0 Kesimpulan

Apa yang dapat kita simpulkan di sini ialah masyarakat Kedayan mempunyai cara hidup dan budaya yang unik yang perlu dipelihara dari semasa ke semasa. Dengan adanya masyarakat Kedayan di Malaysia, ia telah menyerikan lagi kehidupan masyarakat di sini yang sememangnya terkenal dengan pelbagai bangsa dan agama. Perkara ini membuktikan dengan adanya pelagai bangsa, sesebuah negara itu masih lagi mampu untuk hidup dalam harmoni dan bahagia. Dalam era kemajuan yang semakin membangun kini sudah tidak ramai lagi di antara kita yang menyedari tentang kewujudan masyarakat Kedayan ini. Oleh itu semua pihak terutama pihak kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk mengembangkan lagi kebudayaan dan mengekalkan kewujudan adat resam masyarakat Kedayan di Malaysia.


Rujukan

http://kedayansabah.blogspot.my/2012/04/sosiobudaya-adat-resam-sistem-sosial.html
http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=limbang&d=8
https://msmy.facebook.com/permalink.php?story_fbid=728485540569640&id=346369292114602
http://www.epu.gov.my/epu-theme/pdf/1.2.5.pdf
http://www.hmetro.com.my/node/26068
https://books.google.com.my/books/about/Tarsilah_Brunei.html?id=_J9uAAAAMAAJ&redir_esc=y
http://www.pelitabrunei.gov.bn/rencana/item/10817-pantang-larang-berpadi-puak-kedayan
http://www.agc.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=979:aku-seorang-tprkedayan&catid=71:admin%20ag&Itemid=91&lang=en
http://zegaugustin1228.blogspot.my/


MZ Zainudin, Wan Mohamad Syahdan Wan Mohamad Zamri, Jannatul Qasyah Ali Janniah, Muhammad Syamil Jusoh, Abdul Qawiy Abdul Rahman, Mohamad Khairul Bakhtiar



No comments:

Post a Comment