Sunday, January 17, 2016

Elak sengketa perkauman di sekolah







Serangan seorang lelaki Cina, dipercayai bapa kepada salah seorang pelajar di SJK(C) Pai Chee, Mersing baru-baru ini terhadap guru Melayu telah menjadi perhatian umum. Salinan laporan polis dan surat kepada Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) beredar di internet dan boleh membangkitkan isu perkauman.

Imej laporan dan salinan surat berkenaan boleh dibaca dengan jelas. Rumusan yang boleh kita buat ialah terdapat elemen perkauman, tidak profesional, pilih kasih dan prejudis.

Justeru, Pemuda Umno Malaysia menggesa Kementerian Pendidikan mengenal pasti masalah perkauman di sekolah-sekolah berkenaan kerana “ia menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena di SJK(C)”.

Menafikan bahawa tidak terdapat isu perkauman di sekolah tersebut hanyalah untuk menyedapkan hati orang ramai kerana kandungan laporan polis dan rentetan serangan yang berlaku di samping tindakan guru besar sekolah menunjukkan ada elemen perkauman.

Perkauman merujuk kepada menganggap bangsanya sahaja yang unggul, hebat dan lebih tinggi, justeru, set minda in membentuk sikap prejudis ke arah mendiskriminasi bangsa lain. Impaknya ialah hilang adab dan rasa hormat terhadap bangsa lain hingga menjejaskan keharmonian dan kerukunan hidup.

Kejadian di SJK(C) Pai Chee tidak boleh dipandang ringan. Salah satu kenyataan dalam kes ini ialah sekolah dan pihak PIBG tidak mahu guru Melayu di sekolah berkenaan.

Kenapa tidak mahu guru Melayu untuk mengajar?

Sebelum itu guru-guru Melayu berkenaan diperlekehkan dan maruah mereka diadili di khalayak. Hal ini memberi tafsiran bahawa guru besar sekolah itu tidak tahu bagaimana mengurus stafnya dan kurang beradab.

Umpama pepatah, “berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul”, derita emosi guru-guru berkenaan mendapat perhatian ramai pihak. Tidak sedikit yang memberi sokongan untuk mereka tabah dan sabar menghadapi saat-saat ini. Saya juga ingin berkongsi bagaimana kesusahan dan derita Rasulullah saw ketika berhadapan dengan masyarakatnya sendiri.

Andainya kita merasakan cacian dan hinaan yang dialami oleh guru-guru Melayu berkenaan sangat berat, wajar kita melihat kesabaran Rasulullah saw berjumpa dengan orang ramai untuk berdakwah. Sabar yang pertama ialah baginda diikut oleh Abu Lahab ke mana sahaja pergi. Dari belakang Abu Lahab melontar batu-batu kecil ke arah Rasulullah saw. Sabar yang kedua, semasa baginda hendak memasak di dalam rumah, ada orang yang akan memasukkan najis kambing ke dalam periuk masakannya. Sabar yang ketiga, semasa Rasulullah saw sujud, ada orang yang meletakkan najis kambing di atas kepalanya. Semua cerita ini ada dinyatakan dalam buku Sirah Rasulullah saw terbitan Penerbitan Seribu Dinar.

Imej sJK(C) Pai Chee sebagai institusi pendidikan sudah tercemar kerana persepsi yang wujud ketika ini. Motivasi guru terjejas dan memberi kesan ke atas proses pembelajaran murid. Hubungan guru-guru Melayu dengan pelajar juga mungkin renggang kerana wujud prasangka.

Intervensi segera daripada Kementerian Pendidikan, wakil politik dan wakil kaum dapat meredakan kes ini kerana media telah pun melontarkan pandangan mereka. Ismaweb.net menyiarkan laporan berkenaan bersama imej meja guru yang bersepah dengan buku sementara akhbar-akhbar perdana menyiarkan respon daripada parti politik.

Pasukan polis yang bertanggungjawab menjalankan siasatan wajar berkongsi maklumat sebenar supaya kekalutan itu tidak menjejaskan keharmonian masyarakat. Kementerian Pendidikan boleh memulakan siasatan dalaman terhadap guru besar dan semua guru yang terlibat supaya satu kata putus dapat diambil. Guru besar berkenaan juga wajar dipanggil sebagai sebahagian daripada siasatan kerana tindakannya dilihat tidak profesional dalam mengurus konflik di sekolah berkenaan.

No comments:

Post a Comment