Tuesday, January 12, 2016

Pandangan masyarakat bukan Islam terhadap makanan halal








1.0 Pengenalan

Masyarakat Malaysia terdiri daripada rakyat berbilang kaum, bangsa dan agama. Setiap agama mempunyai makanan halal masing-masing. Dalam prinsip makanan halal dalam agama Islam, Allah swt telah berfirman yang bermaksud: “Diharamkan kamu memakan bangkai binatang, darah yang mengalir, semua bahagian babi, binatang yang disembelih tetapi tidak menyebut nama Allah swt dan binatang yang mati kerana tercekik, terpukul, terjatuh, ditanduk, binatang yang mati dimakan binatang buas kecuali yang sempat disembelih jika masih kuat bernyawa”. (Surah al-Maidah, ayat 3). Akan tetapi, masyarakat bukan Islam seperti masyarakat Buddha, Hindu dan lain juga memiliki konsep makanan halal yang berbeza. Makanan halal merupakan aspek yang amat penting dalam agama masing-masing. Hal ini demikian makanan yang dihalal akan mendatangkan manfaat kepada tubuh badan kita manakala makanan yang diharamkan akan memudaratkan kesihatan manusia.

Kebersihan dan mutu produk makanan halal di pasaran Malaysia dijamin oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Logo “Halal” boleh terdapat atas produk makanan yang halal. Islam mempunyai nilai dan peraturan serta batas tersendiri dalam setiap urusan kehidupan termasuk soal pemakanan. Pengambilan makanan bukan sahaja dinilai daripada aspek keseimbangan, malahan aspek halal adalah perkara utama yang perlu dititikberatkan. Makanan merupakan satu daripada keperluan harian dalam kehidupan kita. Generasi muda pada masa kini tidak menitikberatkan konsep makanan halal dalam pengambilan makanan. Mereka hanya mengutamakan keenakan makanan dan abaikan konsep makanan halal. Dengan ini, pelbagai usaha harus dijalankan untuk meningkatkan kefahaman mereka terhadap makanan halal Islam.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah mengetahui konsep makanan halal dalam Islam dan bukan Islam, mengkaji kefahaman masyarakat bukan Islam terhadap makanan halal dan mencadangkan usaha-usaha peningkatan kefahaman terhadap makanan halal.


2.0 Hasil Kajian

2.1 Konsep makanan halal dalam masyarakat Islam

Dalam kamus fiqih mengatakan halal difahami sebagai segala sesuatu yang boleh dikerjakan atau dimakan. Seterusnya, makanan halal juga boleh dijelaskan dengan sesuatu bahan makanan yang suci dan baik di samping tidak melanggari syariat Islam sewaktu mendapatkan dan menggunakannya. Makanan yang halal selalunya dikaitkan dengan konsep ‘halalan toyyiban’. Jelaslah bahawa Islam mewajibkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik serta makanan yang berkhasiat dan seimbang. Antara ciri-ciri makanan yang halal menurut agama Islam ialah makanan dari jenis yang dihalalkan mengikut hukum syarak. Selain itu, sumber perolehan makanan adalah dari sumber yang halal bukan dari sumber yang haram. Bersih dan tidak memudaratkan kesihatan tubuh badan. Manakala ciri-ciri makanan haram pula ialah makan yang boleh memudaratkan jasmani dan rohani.

Justeru, makanan yang halal haruslah dalam keadaaan masih elok dan baik untuk digunakan. Islam amat menitikberatkan umatnya agar memakan makanan yang bersih bagi melindungi diri dari serangan penyakit , memelihara kewarasan akal fikiran untuk berfikir (sihat jasmani dan rohani) serta membentuk akhlak dan tingkah laku yang baik. Dalam aspek ibadat pula makanan, minuman dan pakaian amat berkait rapat dengan ibadat kerana ibadat itu sendiri bersifat suci maka jika apa yang dimakan adalah halal maka eloklah ibadatnya.

Islam mengharuskan umatnya makan makanan haram jika berlakunya darurat dengan syarat hanya terdapat makanan dan minuman yang haram pada ketika itu, makan atau minum sekadar menyelamatkan nyawa dan makan atau minum tidaklah sampai kenyang. Hikmat rukhsah makan dan minum daripada sumber haram ialah membuktikan ajaran Islam tidak membebankan malah memudahkan umatnya. Seterusnya, menunjukan nyawa adalah amat berharga dalam Islam dan perlu dipertahankan. Hikmat seterusnya ialah memberi kelonggaran ketika darurat kepada umat Islam demi untuk menyelamatkan nyawa.

Konsep halal dalam Islam perlulah dipraktikkan oleh umatnya agar tidak berlaku sebarang kesan keburukan yang tidak di ingini. Kesimpulannya, konsep halal dalam Islam banyak menekankan tentang betapa pentingnya kebersihan terhadap makanan yang dimakan serta kesan penjagaan kewarasan jasmani dan rohani umatnya dalam melakukan ibadat dan aktiviti harian.

2.2 Konsep makanan halal dalam masyarakat bukan Islam

Terdapat tiga agama selain agama Islam di Malaysia seperti Kristian, Hindu dan Buddha mempunyai konsep yang tersendiri tentang makanan halal. Bagi penganut agama Kristian mazhab Roman Katolik, mereka tidak dibenarkan memakan khinzir. Selain itu, haiwan yang berkuku belah, bersela panjang,  tidak memamah biak dan juga ikan yang mempunyai sirip/sisik juga tidak dibenarkan. Bagi mazhab Sevent Day Adventist pula tidak dibenarkan penggunaan alkohol, tembakau (rokok) atau ubat-ubatan yang terlarang. Orang-orang Advent juga menghindari daripada konsumsi kopi dan minuman yang mengandungi kafein.

Di samping itu, bagi agama Hindu atau berbangsa India pula, mereka dilarang memakan lembu kerana mereka menganggap lembu itu Tuhan mereka. Namun begitu, menurut ajaran Hindu Bali pula, makanan yang diperbolehkan ialah makanan yang memiliki sifat kebaikan untuk memperpanjang usia hidup, menyucikan kehidupan dan memberi kekuatan, kesihatan, kebahagiaan dan kepuasan yang memiliki kandungan penuh sari, berlemak, bergizi dan menyenangkan hati. Sementara itu, antara kriteria ataupun sifat serta ciri-ciri makanan yang dilarang untuk dimakan ialah makanan yang terlalu pahit, terlalu masam, panas sekali atau menyebabkan badan menjadi panas, terlalu pedas, terlalu kering dan berisi banyak bumbu yang keras sekali yang disukai oleh orang dalam sifat nafsu. Makanan ini dipercayai akan menyebabkan dukacita, kesengsaraan dan penyakit.

Akhir sekali, bagi agama Buddha, hanya bahan-bahan yang benar-benar suci, bersih dan berkhasiat dibenarkan untuk dimakan, yang lain semuanya dilarang. Agama Buddha sekeras-kerasnya melarang pengikutnya untuk makan daging binatang, hasil laut, burung dan kehidupan-kehidupan yang lain. Di samping itu, agama Buddha hanya mengesyorkan pengikutnya untuk makan sayur-sayuran berdaun, sayur-sayuran berbuah dan buah-buahan yang bersih dan suci. Selain itu, penganut agama Buddha juga mempunyai tumbuh-tumbuhan yang haram untuk dimakan. Tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di bawah tanah seperti halia, bawang, bawang putih dan sebagainya dilarang untuk dimakan oleh pengikut agama Buddha. Tumbuh-tumbuhan tersebut hanya perlu dimakan oleh manusia yang makan daging supaya daging yang mereka makan dapat dicerna dengan cepat.

2.3 Kefahaman masyarakat bukan Islam terhadap makanan halal

Kajian ini telah melakukan temubual dengan empat orang responden bukan Islam untuk mengkaji kefahaman mereka terhadap makanan halal. Mereka terdiri daripada kaum Cina, India, Orang Asli, dan Iban.

Melalui temubual dengan responden, dapat disimpulkan bahawa kebiasaan masyarakat bukan Islam mengetahui dan mendapatkan maklumat berkenaan dengan makanan halal Islam melalui ahli keluarga, rakan sebaya dan internet. Ahli keluarga merupakan orang yang terdekat kepada kita. Dengan ini, ahli keluarga yang berpengetahuan tentang makanan halal Islam akan menyampaikan maklumat tersebut kepada ahli keluarga lain. Sistem pendidikan di Malaysia telah melibatkan pelajar yang berbilang kaum. Rakan sebaya yang beragama Islam boleh memberi maklumat mengenai makanan halal Islam kepada pelajar yang bukan Islam. Internet pula muncul sebagai sumber yang paling popular untuk mencari maklumat. Oleh itu, generasi kini banyak mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan makanan halal Islam melalui sumber internet.

Selain itu, didapati bahawa masyarakat bukan Islam mempunyai kefahaman bahawa makanan halal Islam merupakan makanan yang dibenarkan, suci dan bersih untuk dimakan melalui temubual dengan responden. Sebenarnya dalam konteks Islam, makanan yang tidak mengandungi apa-apa bahagian dari binatang yang dilarang dalam hukum syarak seperti khinzir boleh dikatakan sebagai makanan halal dalam Islam.

Di samping itu, masyarakat bukan Islam dapat mengenal pasti bahawa produk makanan dalam pasaran halal ataupun tidak melalui logo Jakim. Kebiasaan produk makanan dan minuman dalam pasaran Malaysia mempunyai logo Jakim supaya boleh dibeli oleh pengguna yang beragama Islam atau bukan Islam.

Keempat-empat responden dalam temubual terdiri daripada kaum yang berbeza dan mempunyai agama masing-masing. Melalui temubual tersebut telah mendapati bahawa agama Buddha dan agama Hindu juga mempunyai makanan yang dihalalkan dan diharamkan. Dalam agama Buddha, daging lembu telah diharamkan untuk diambil kerana binatang lembu telah  menyumbang besar dalam bidang pertanian pada zaman dahulu dan ramai penganut Buddha tidak akan makan daging lembu. Dalam agama Hindu pula penganut Hindu menganggap lembu sebagai Tuhan mereka dan juga muncul sebagai makanan yang dilarang makan dalam agama mereka. Selain lembu, minuman seperti arak juga diharam dalam agama Hindu kerana akan memudaratkan manusia.
2.4 Usaha-usaha peningkatan kefahaman terhadap makanan halal

Berdasarkan laporan yang telah dikemukakan, usaha yang boleh dijalankan bagi meningkatkan kefahaman terhadap makanan halal dalam kalangan masyarakat telah diringkaskan secara terperinci. Terdapat empat usaha yang dikemukakan iaitu dengan mengadakan kempen-kempen kesedaran, mengetatkan undang-undang khusus terhadap makanan halal, keperluan pendidikan dan menerbitkan buku-buku tentang kefahaman sebenar produk-produk makanan halal di pasaran. Setiap usaha ini mempunyai tujuan yang sama iaitu memberikan kefahaman dan kesedaran kepada pengguna tentang kepentingan dan ciri-ciri makanan halal. Pengambilan makanan halal dan bersih dalam kehidupan seharian amat penting. Oleh itu setiap anggota masyarakat harus bijak dalam  membezakan antara makanan yang halal atau makanan yang meragukan. Oleh itu kempen-kempen yang dijalankan dapat membantu menyedarkan masyarakat tentang produk-produk makanan yang ada di pasaran yang telah secara sah mendapat pengesahan dan diiktiraf oleh Jakim. Terdapat juga sesetengah produk yang menggunakan logo palsu yang berjaya memasuki pasaran melalui pihak yang tidak bertanggungjawab. Hal ini terjadi kerana kurangnya kefahaman tentang status makanan halal.  

Selain itu juga, usaha mengetatkan undang-undang terhadap makanan halal dapat membendung masalah penggunaan logo halal palsu secara berleluasa. Undang- undang yang dijalankan adalah bertujuan bagi memastikan setiap syarikat yang mengeluarkan makanan halal mestilah mematuhi undang-undang yang telah dikuatkuasakan. Bagi mengukuhkan lagi kefahaman dan kesedaran tentang produk makanan halal dalam kalangan masyarakat, keperluan pendidikan ditawarkan di Malaysia. Pelbagai institusi yang menawarkan pendidikan latihan halal sama ada di peringkat badan bukan berkanun, institusi latihan swasta dan institusi pendidikan di universiti telah diwujudkan. Tujuan institusi-institusi ini ditubuhkan adalah bagi membantu menyediakan kefahaman, pendidikan dan kesedaran halal kepada pengguna dan pengguna industri halal. Pendidikan ini lebih tertumpu untuk generasi muda supaya dapat mendidik mereka dengan lebih awal dan cepat.

Usaha keempat yang juga amat penting untuk meningkatkan kefahaman tentang makanan halal adalah dengan menerbitkan buku-buku tentang kefahaman sebenar produk-produk makanan halal di pasaran. Isu kesucian sesuatu produk atau perkhidmatan adalah sensitif kepada masyarakat islam. Bagi orang islam, sebarang isu berkaitan dengan persoalan halal dan haram perlu diberi perhatian. Dengan menerbitkan buku-buku sebegini, ianya dapat memberikan input-input yang lebih terperinci dari setiap aspek yang berkaitan dengan status produk halal. Oleh itu, dengan usaha ini, ianya mampu membantu pengguna untuk membuat pilihan yang lebih bijak.


3.0 Rumusan

Kesimpulannya, terdapat pelbagai perbezaan pendapat tentang makanan halal dalam masyarakat bukan Islam dan masyarakat Islam. Bagi masyarakat bukan Islam, makanan halal dikategorikan mengikut kepercayaan agama dianuti seperti Hindu, Buddha dan Kristian. Manakala makanan halal bagi masyarakat Islam pula dirujuk oleh hukum yang telah ditetapkan oleh syarak. Banyak perbezaan yang didapati jika dibandingkan antara konsep halal dalam Islam dan bukan Islam.

Dalam Islam makanan halal dan berkhasiat (halalan toyyiban) amat penting dalam kehidupan manusia untuk membentuk peribadi diri seseorang. Makanan yang halal juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap perkembangan jasmani dan rohani. Jika elok apa yang dimakan maka eloklah sikap manusia itu. Seterusnya bukan sahaja masyarakat Islam malahan masyarakat bukan Islam juga mempunyai makanan halal mereka yang tersendiri mengikut kepercayaan agama masing-masing. Contohnya seperti agama Hindu yang mempercayai lembu adalah tuhan mereka. Untuk masyarakat Islam pula makanan halal harus ditinjau dari segala aspek cara mendapatkan dan kandungan bahan yang terdapat dalam makanan tersebut agar tidak mencemari tubuh badan seseorang individu.

Akhirnya, setiap masyarakat mempunyai persepsi yang tersendiri tentang makanan halal haram. Ini menunjukkan bahawa sesetengah pengguna tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang status makanan dan halal yang sebenar. Oleh itu, kerajaan dan pihak berkuasa  Jakim  haruslah mengambil langkah bagi membantu meningkatkan pengetahuan pengguna tentang makanan halal dan  haram menerusi kempen, media massa dan media elektronik.


Rujukan

Noraini Haji Idris. (2007). Malaysia ke arah hab makanan halal dunia. Selangor: Dawama Sdn.Bhd.
Nor Aini Ramlan. (2000). Halal Haram. Selangor: Pustaka Ilmi.
Saadan Man, Zainal Abidin Yahya. (2014). Halalkah makanan kita? Selangor: PTS Islamika Sdn.Bhd.
Yusuf Qardhawi. (2003). Halal dan haram dalam Islam. Indonesia: PT Bina Ilmu Surabaya.

http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/makanan-halal-untuk-umat-islam-1.292364
http://zahirzainudin.blogspot.my/search?q=makanan+halal
https://prezi.com/aeeq1whzbqyj/pemakanan-halal-dan-haram-setiap-agama/
https://ms.wikipedia.org/wiki/Hukum_pemakanan_Islam
http://www.slideshare.net/SitiNadzirahSupar/makanan-halal-menurut-islam


MZ Zainudin, Nur Syazila Hamzah, Nur Amirah Bahari, Syafiqah Nordin, Yap Chui Xian



Post a Comment