Saturday, January 23, 2016

Permainan baling selipar di era moden








1.0 Pengenalan

Umum mengetahui bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Oleh itu, Malaysia sememangnya meraikan kepelbagaian serta keunikan budaya dan adat. Lantaran itu, lahir pula variasi permainan tradisional yang sering menjadi pilihan kanak-kanak Malaysia untuk mengisi waktu senggang. Permainan ini turut dikenali dengan beberapa nama yang lain seperti tikam selipar, tiga selipar atau bola selipar. Pada zaman dahulu, permainan ini sering dimainkan oleh anak-anak di kampung. Kebiasaannya, permainan ini akan dimainkan pada waktu petang di mana kanak-kanak akan berkumpul untuk bermain permainan ini. Permainan ini dimainkan secara meluas di kampung dan di bandar kerana hanya memerlukan ruang yang minimum dan alatan yang mudah.


2.0 Objektif Kajian

Kajian ini adalah untuk memperkenalkan permainan baling selipar, mengetahui perspektif masyarakat terhadap permainan baling selipar dan mencadangkan usaha-usaha mengekalkan permainan baling selipar.


3.0 Hasil Kajian

3.1 Cara Bermain

Selipar adalah satu-satunya alatan yang diperlukan untuk memulakan permainan ini. Kebiasaannya, permainan baling selipar akan berlangsung selama 15 minit dan memiliki kira-kira empat pusingan. Selipar akan disusun dalam bentuk piramid. Kumpulan A perlu menjatuhkan susunan selipar itu dengan melontar selipar yang dipegang. Jika ahli pertama gagal, ahli yang kedua hingga terakhir boleh mengambil giliran untuk melontar. Setiap individu hanya diberi peluang sebanyak tiga balingan sahaja.

Misi kumpulan A adalah untuk menyusun semula selipar dalam bentuk sedia kala. Misi kumpulan B pula untuk mematikan semua ahli kumpulan A. Jika semua ahli kumpulan A telah dimatikan sebelum selipar berjaya disusun, permainan akan tamat dan tiada mata yang akan diberikan. Mata akan diberikan jika semua ahli kumpulan A berjaya menyusun semula selipar sebelum semua ahli mati.

3.2 Peraturan Permainan Baling Selipar

Antara peraturan ini ialah pemain tidak dibenarkan membuat balingan melebihi garisan yang diberikan; penjaga tidak dibenarkan mematikan pihak pembaling dengan mengejar sambil membawa selipar. Selipar harus dilontar kepada rakan lain untuk mematikan pemain; penjaga juga tidak dibenarkan merosak kembali selipar yang telah disusun oleh pembaling; dan pemenang akan dikira kepada pasukan yang dapat menyusun selipar dengan banyak.

3.3 Kebaikan Permainan Baling Selipar

Banyak kebaikan yang boleh diperolehi melalui permainan ini. Antaranya dari segi intelek, kita dapat melatih daya berfikir seperti cara-cara untuk membolosi serangan pihak lawan dan melontar dengan betul agar balingan tidak jauh tersasar. Selanjutnya, dapat mengasah pemikiran lebih kritis. Pemain perlu mengamati rentak permainan sambil menunggu peluang yang sesuai dan masa yang tepat untuk memulakan langkah. Kita juga dapat merangsang pemikiran kreatif dengan merancang pelan yang bagus, teknik-teknik menyusun selipar dengan lebih cepat dan stabil.

Dari segi sosioemosi pula, jalinan komunikasi dapat dibuat dengan berbincang mengenai mematuhi peraturan dan membentuk kerjasama. Sosioemosi juga dapat menggilap potensi kepimpinan. Selain itu, dapat mengaplikasikan nilai-nilai positif seperti bertoleransi, tolong-menolong, mendengar arahan dengan teliti, mempunyai sikap berdaya saing dan sikap berani mencuba.

Akhir sekali adalah, dari segi fizikal, kita dapat meningkatkan kemahiran mengelak, mengacah, berlari dan melompat. Tambahan pula, permainan baling selipar dapat mencergaskan tubuh badan kerana penjanaan kuasa diaktifkan sewaktu bergerak. Seterusnya, aktiviti tersebut membantu perkembangan tubuh badan melalui penggunaan tenaga yang optimum serta meningkatkan stamina dan keupayaan kardiovaskular.


4.0 Cadangan

Secara tuntas, permainan baling selipar mempunyai banyak kebaikan yang tidak dapat dinafikan. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha untuk memperkenal dan mengangkat martabat permainan ini ke tahap yang lebih tinggi sewajarnya digiatkan agar warisan tradisi tersebut kekal menjadi pilihan dan tidak luput ditelan zaman.

Antara inisiatif yang boleh diambil ialah pihak penganjur mengambil peluang untuk mengadakan sayembara permainan baling selipar di majlis-majlis tertentu. Seterusnya, masyarakat harus berganding bahu dalam mengkomersialkan permainan ini yang boleh dijadikan salah satu tentatif di dalam program seperti Cuti-Cuti Malaysia yang membantu memperkenalkan konsep permainan ini kepada warga kota atau pelancong-pelancong dari luar negara.

Tambahan pula, ibu bapa perlu mengambil peranan dalam memupuk minat anak-anak terhadap permainan tradisional ini. Ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak bermain permainan tersebut di waktu petang dan ketika masa senggang. Mereka juga boleh melibatkan diri bersama-sama keluarga. Secara tidak langsung, mereka menjadi ejen yang memperkenalkan warisan tradisi ini kepada generasi muda.

Selanjutnya, usaha ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan media sosial dan menjadikan medium ini sebagai capaian utama yang sesuai untuk mempromosi permainan baling selipar. Peranan yang dimainkan oleh media massa secara umum adalah merupakan sumber primer dalam komunikasi massa. Hal ini dapat dilihat apabila media massa dijadikan sebagai satu wadah dalam mencari maklumat dan rujukan. Manakala, media elektronik seperti televisyen boleh memaparkan dokumentari atau drama yang mengangkat permainan tradisional ini sebagai tema utama. Hal ini demikian, agar permainan baling selipar dapat terus dipelihara serta diperluaskan.


5.0 Rumusan

Kesimpulannya, permainan baling selipar pada zaman ini semakin tidak dikenali dan kurang menjadi pilihan kanak-kanak dan masyarakat. Permainan baling selipar ini memberi banyak kesan positif kepada para pemain. Antaranya adalah dapat mengeratkan silaturrahim antara pemain. Permainan ini boleh dimainkan oleh semua orang tanpa mengira bangsa dan agama.

Seterusnya dalam era globalisasi ini, permainan ini semakin ditenggelami oleh teknologi- teknologi dan arus kemodenan yang kian memuncak. Hal ini kerana, generasi alaf ini lebih cenderung bermain gajet berbanding permainan tradisional. Oleh itu, penggemar permainan tradisional perlu merancakkan usaha demi memartabat dan mengembangkan kembali permainan ini kepada masyarakat yang kian hanyut dengan gajet yang berteknologi tinggi.


MZ Zainudin, Nurin Atiqah Abd Ghani, Nurul Aini Mohd Zamri, Nurul Najah Dahlan, Shahira Nur Amira Shahran, Siti Sofia Shukor


Post a Comment