Sunday, February 15, 2015

Nik Aziz berdakwah sepanjang hayat







Nik Aziz Nik Mat sentiasa bergerak ke seluruh negara untuk berceramah dan berdakwah. Gambar di atas menunjukkan kehadirannya ke Labuan dalam siri kempen pilihan raya pada tahun 1999. Kedatangannya diuruskan oleh parti yang turut menyediakan sebuah rumah transit untuk beliau berehat.

Menurut beberapa orang yang turut bermalam di rumah transit yang sama, Nik Aziz pulang agak lewat selepas berceramah tetapi orang yang paling awal bangun untuk bersolat subuh berjemaah.

Beliau turun dari tingkat atas beberapa minit sebelum azan subuh, lengkap dengan jubah dan serban, menjadi imam seterusnya menyampaikan tazkirah. Dalam doanya, antara yang dipohon adalah kekuatan Islam dan kelemahan musuh Islam dan musuh politik. Doanya supaya pengundi memilih parti yang memperjuangkan Islam adalah paling kerap didengar dan diulang-ulang. Dalam lain perkataan, beliau memohon pengundi hanya nampak lambang bulan semasa keluar mengundi.

Selang sejam selepas itu, Nik Aziz ditemukan dengan seorang lelaki India yang baru seminggu mengucap syahadah. Dahi Nik Aziz agak berkedut dan mukanya tepat memandang lelaki berkenaan kerana beliau memberi perhatian terhadap patah-patah perkataan yang diucapkan oleh lelaki itu. Peristiwa ini hanya beberapa minit dan diakhiri dengan doa.

Jelas di sini, Nik Aziz bukan setakat berceramah mengenai politik malah beliau juga berdakwah tanpa mengira siapa, di mana dan bila-bila masa.

Kepulangan Nik Aziz ke rahmatullah pada jumaat lepas meninggalkan legasi yang akan diteruskan oleh pemuda-pemudi Islam. Sifat sederhana dalam serba-serbi wajar menjadi contoh kepada pemimpin-pemimpin hari ini. Beliau sederhana dalam makan dan minum serta berpakaian. Tidak ada baju atau kot mahal, cuma baju Melayu dan berserban.

Walaupun dianugerahkan gelaran Datuk, beliau lebih selesa dengan panggilan Tuan Guru atau Tok Guru, lambang penghormatan dan kemuliaan yang lebih baik.

Kesungguhan belajar dan menuntut ilmu juga sangat menakjubkan. Beliau memiliki dua ijazah sarjana dan mahir berbahasa Arab, Inggeris, Urdu dan Tamil, sesuatu yang boleh dicontohi oleh pendakwah-pendakwah muda hari ini.

Tanpa mengira perbezaan politik dan kefahaman, Nik Aziz boleh dijadikan teladan dalam perjuangan berdakwah dan berpolitik di negara ini. Kesungguhan dan istiqamah yang ada pada diri beliau boleh dikaji dan dibukukan supaya generasi masa hadapan dapat mempelajari konsep kepimpinan yang dilaksanakan sama ada di Kelantan, dalam organisasi atau impak terhadap politik Malaysia. Sudah pasti ada sesuatu yang menarik apabila Nik Aziz dapat bertahan selama 23 tahun dalam politik di Kelantan.



No comments:

Post a Comment