Susulan cadangan memasukkan hukuman ke atas
ibu bapa yang merotan anak dalam rang undang-undang baharu bagi menggantikan
Akta Kanak-Kanak 2001, banyak pihak yang menyuarakan pandangan kurang
bersetuju. Pelbagai alasan yang diberi dan dihujah termasuk rasional hukuman
tersebut patut dibincangkan lebih lanjut.
Antara yang mengemukakan pandangan adalah
golongan mufti, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik, akademia dan orang
ramai sendiri. Alasan yang paling popular adalah terdapat saranan hadis Nabi Muhamad
saw yang memberi ruang kepada ibu bapa untuk merotan anak-anak yang enggan
bersolat apabila mencapai usia sepuluh tahun selepas melalui proses nasihat dan
tindakan merotan tidak sehingga mencederakan anak-anak.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat yang mewakili suara kerajaan berkata mereka tidak ada pilihan selain
menjadikan merotan sebagai satu kesalahan kerana Malaysia telah menandatangani
perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).
Dari perspektif agama, keadaannya jelas iaitu
boleh dirotan kerana tidak mahu bersolat. Dalam budaya masyarakat Melayu, ada
pepatah yang berbunyi, “sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan bini
tinggal-tinggalkan”. Maksud tangan-tangankan adalah memukul (denga tangan)
supaya jera dan mengajar. Selain tangan, masyarakat Melayu turut menggunakan
rotan sebagai proses pendidikan.
Masyarakat Cina juga turut menggunakan elemen
tangan-tangankan dalam proses mendidik anak-anak selain meninggikan suara
supaya anak berasa takut dan mengikut arahan.
Dalam hal ini, merotan dan memukul telah
diterima sebagai satu bentuk pendidikan kepada anak-anak sama ada menyuruh
solat ataupun membentuk akhlak mereka. Anak-anak kampung yang malas mengaji
tentu sudah kena rotan sama ada dengan batang rotan atau ranting kayu. Saya
sendiri pernah kena rotan di betis kerana main hujan. Sedikit rotan dan tarik
telinga sudah menyerikkan anak-anak kampung yang malas mengaji al-quran atau
tak dengar cakap.
Tidak semua pukulan rotan mendatangkan kesan
negatif kepada anak-anak asalkan tindakan tersebut dalam sempadan untuk
mendidik supaya menjadi lebih baik.
Anak-anak adalah permata hati ibu dan bapa.
Anak-anak adalah waris yang akan menjaga kebajikan ibu bapa hingga ke akhir
hayat dan menyedekahkan al-fatihah semasa menziarahi kubur kedua-duanya. Doa
anak-anak ibarat bara yang sentiasa memberikan kepanasan ketika dingin malam.
Mendidik anak bersolat sejak usia setahun
tentu memudahkan ibu bapa. Ajak mereka solat bersama-sama supaya hati dan
fikiran mereka cenderung kepada amalan-amalan agama, cenderung mendengar cakap
dan mengutamakan kehendak agama apabila membuat pilihan.
Dalam tempoh setahun hingga lima tahun,
anak-anak yang dilatih bersolat sudah tidak ada masalah apabila diajak atau
disuruh bersolat. Malah mereka akan ambil sejadah dan melaungkan azan. Biarpun
sebutan huruf dan bacaan ayat al-quran masih pelat, proses begini akan
membiasakan anak-anak dengan prosedur dan peraturan solat.
Jadi, apabila mencapai umut tujuh tahun,
anak-anak tidak perlu disuruh dengan rotan untuk bersolat kerana asasnya sudah
ada. Masalahnya adalah proses pendidikan tidak dimulakan sejak awal tahun
sebaiknya bermula pada usia tujuh tahun. Malah ada ibu bapa yang mula menyuruh
anak-anak bersolat pada umur sepuluh tahun. Ada juga yang tidak pernah suruh
kerana ibu bapa juga tidak bersolat.
Menggunakan rotan merupakan satu kaedah
mendidik. Kaedah yang terbaik adalah memberi nasihat dan menjadi contoh teladan
yang hebat kepada anak-anak. Memukul boleh menjadi tindakan akhir jika mereka
enggan atau tidak mahu mendengar kata. Tanpa rotan, ibu bapa masih punya banyak
pilihan untuk menjadikan anak-anak mereka seorang insan yang cemerlang.
No comments:
Post a Comment