Friday, February 27, 2015

Cabaran pelaksanaan syariah di Terengganu








Kefahaman masyarakat bukan Islam, khususnya Cina dalam kalangan ahli MCA terhadap undang-undang syariah di Malaysia masih lagi cetek. Terbaru adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Gan Ping Siau, pengerusi Tugas Khas Pelaksanaan Dasar dan Undang-Undang Syariah berkaitan hukuman ke atas lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat di Terengganu.

Gan menyifatkan hukuman membawa lelaki yang ponteng solat Jumaat di dalam kereta jenazah sebagai tindakan memalukan dan menyerupai undang-undang syariah Taliban. Beliau juga menyifatkan hukuman tersebut seperti tindakan memberi malu sepertimana ketika Era Gelap di Eropah.

Melihat kepada tahap kefahaman Gan terhadap undang-undang syariah ini, boleh disifatkan Gan masih keliru dan sangat jahil. Pandangannya hanya bersandarkan pada logik akal dan nafsu yang melindungi kebenaran. Beliau harus belajar lebih banyak lagi tentang Islam, cara hidup Islam dan tugas seorang Islam.

Dalam hal ini, pihak berkuasa agama wajar mengambil berat kejahilan Gan berkaitan Islam supaya beliau tidak terus bergelumang dalam kejahilan tersebut. Boleh dikatakan Gan bercakap ‘ikut sedap mulut’.

Gan bertanya apakah tindakan yang sama akan dikenakan ke atas umat Islam yang datang ke Terangganu untuk melancong, berniaga dan singgah sebentar pada hari Jumaat.

Semua orang Islam tahu bahawa musafir seperti itu diberi kelonggaran untuk melakukan solat zohor sahaja pada hari Jumaat.

Pihak berkuasa agama Islam di Terengganu wajar menjadikan kritikan Gan ini sebagai dorongan untuk melaksanakan syariah di negeri itu. Sebaik-baiknya pendakwah menggunakan pendekatan berhikmah untuk berdakwah kepada pemimpin bukan Islam supaya mereka memahami Islam.



No comments:

Post a Comment