Sunday, February 22, 2015

Kemalangan ragut mangsa kecil










Kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Ayer Keroh baru-baru ini sangat menyayat hati. Bayi berumur berumur 20 bulan meninggal dunia akibat dihempap kereta yang dipandu bapa sendiri, manakala ibunya, cedera parah.

Saya sempat melalui kesesakan lebuh raya semasa kemalangan ini berlaku. Kejadian tersebut boleh dilihat di sini.

Oleh kerana saya menggunakan kamera rakaman yang diletakkan pada cermin hadapan kereta, keadaan kemalangan dapat dilihat dengan jelas. Kereta Perodua Viva hampir remuk pada bahagian bonet hadapan dan tayar kereta sebelah kiri hampir terjungkil keluar.

Kemalangan begini biasa berlaku di PLUS. Banyak faktor yang menyumbang antaranya sikap pemandu yang memandu melebihi had laju. Adalah biasa melihat kereta yang dipandu laju melebihi 110 kilometer sejam, berdesup hilang sekelip mata. Ia melibatkan semua jenis kenderaan termasuk bas dan lori.

Selain itu, sikap tidak mahu bersabar dan hendak sampai segera ke destinasi menjadi punca nahas yang lebih parah. Keadaan ini kerap berlaku pada sebelah pagi iaitu selepas subuh hingga pukul sembilan pagi. Masa ini kenderaan lebih banyak di atas jalan raya dan semuanya hendak sampai cepat.

Ada kalanya terdapat kenderaan yang rosak di bahu jalan yang tidak memasang sebarang tanda amaran menyebabkan penunggang motosikal merempuh belakang kenderaan tersebut. Ada juga longgokan tayar pecah di tengah jalan yang menyebabkan kenderaan lain di belakang melanggar dan terbabas ke kiri dan kanan jalan.

Ada yang lebih parah apabila kenderaan yang laju bertali arus tidak sempat mengelak binatang yang melintas dan membrek secara mengejut menyebabkan kenderaan di belakang tidak sempat mengelak. Biasanya mangsa lebih parah dalam keadaan begini.

Susah juga hendak mendidik pemandu lebuh raya supaya lebih berhati-hati dengan suasana gelap sebelah pagi. Walaupun ada lampu di kiri dan kanan jalan, sikap tidak berhati-hati menjadikan pemandu dan pengguna lain sebagai mangsa.

Wajar bagi PLUS mengambil inisiatif membanyakkan info keselamatan lebuh raya di samping meningkatkan kesedaran pengguna terhadap keselamatan diri melalui kualiti permukaan jalan (banyak laluan bertampal) dan tambah papan tanda. Di samping itu pasukan polis trafik perlu lebih berhemah dalam membuat perangkap had laju seperti memaklumkan dahulu kawasan operasi mereka supaya pemandu sedar bahawa kelajuan mereka sedang direkodkan. Inilah kebaikan membuat informasi lebih awal berbanding keadaan sekarang iaitu berselindung di sebalik tiang atau pokok-pokok yang menghiasai laluan tengah lebuh raya.


No comments:

Post a Comment