Sunday, February 08, 2015

Strategi komunikasi pengaruhi persepsi pemimpin








Lawatan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih mesra dengan ‘Jokowi’ ke Malaysia telah berhasil mencapai kesepakatan daam enam perkara iaitu melantik duta khas bagi menyelesaikan isu sempadan matirim, mengusir nelayan yang melangkaui sempadan perairan bertindih, saluran khusus pengambilan amah, pembukaan Sekolah Indonesia di Sarawak, penyeragaman waktu Asean dan bantuan Proton untuk membangunkan kenderaan nasional Indonesia.

Keenam-enam inisiatif ini sudah pasti memberi banyak implikasi terhadap hubungan dua hala kedua-dua negara.

Kehadiran Jokowi disambut mesra oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang menyambut presiden itu di KLIA, suatu yang jarang-jarang dilakukan oleh mana-mana pemimpin negara. Sudah tentu sambutan ‘hangat’ ini membuatkan Jokowi berfikir panjang tentang bagaimana Malaysia mengurus hubungan dua hala ini.

Bermula sebagai ahli perniagaan perabot, Jokowi melangkah ke arena politik sebagai Datuk Bandar Jakarta yang dikagumi. Sifatnya yang mesra rakyat lebih digemari dan disenangi. Watak ini juga dibawa dalam lawatannya ke Kuala Lumpur apabila melayani rakyat Indonesia yang sudah lama menunggu di kedutaan negara itu. Beliau turun dari kereta dan bertanya khabar sambil bersalam dengan khalayak seperti biasa.

Berwatak mesra rakyat belum tentu dapat menyelesaikan masalah dalam dan luar negara. Keputusannya membenarkan kenaikan bahan bakar di Indonesia menyebabkan banyak pihak tidak puas hati tetapi tindakan itu dilihat membantu perancangan pembangunan Indonesia mengalihkan bantuan subsidi kepada kelompok yang lebih memerlukan.

Indonesia merupakan sebuah negara membangun dengan jumlah penduduk 234 juta orang. Namun, daripada jumlah ini, 32 juta orang berada di bawah paras kemiskinan dan dianggarkan separuh daripada isi rumah kekal berada dalam kelompok di bawah garis kemiskinan kebangsaan iaitu Rp200,262 ($22). Kadar kemiskinan pada tahun 2011 adalah 11.7 peratus dan menunjukkan sedikit penurunan pada tahun 2013 iaitu 11.5 peratus. Kadar pekerjaan juga lebih perlahan berbanding pertumbuhan penduduk dan masih ketinggalan dalam usaha menambah baik sektor kesihatan dan insfrastruktur yang berkaitan. Kesannya, Indonesia masih gagal mencapai sasaran pembasmian kemiskinan.

Kemiskinan ini memberi kesan kepada negara tetangga seperti Malaysia. Kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Indonesia di negara ini sudah menjadi penyakit yang tidak diketahui ubatnya. PATI Indonesia memberi masalah besar kepada sistem sosial masyarakat Malaysia khususnya berkaitan jenayah, penularan penyakit berjangkit dan keharmonian masyarakat.

Sebelum ini kita jarang mendengar pembunuhan yang mengerikan namun sejak kebanjiran PATI Indonesia dan nari negara-negara lain, pembunuhan rakan sekerja sudah menjadi lumrah di samping kegiatan jenayah melibatkan rompakan. Ada PATI Indonesia yang datang ke Malaysia semata-mata melakukan rompakan dan akan pulang selepas selesai merompak.

Khusus untuk PATI Indonesia dari Lombok, mereka ini mempunyai dua matlamat datang ke Malaysia. Pertama untuk bekerja dan kedua membawa lari anak gadis Malaysia untuk dijadikan isteri. Kisah ini agak kurang kita dengar dalam setahun dua ini. Pengalaman anak gadis yang dibawa lari dan berkahwin ini amat menyedihkan. Ada yang terpaksa bekerja sehari suntuk untuk mendapat upah lima enam ringgit tanpa ada rumah yang selesa. Saban hari mengangkut air sungai untuk diminum dan mencuci pakaian. Bagi kita, sendiri buat sendirilah tanggung. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.

Ada juga yang masuk secara sah dan bekerja bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib hidup mereka. Mereka ini lebih tahu bagaimana menjadi seorang pencari kerja yang baik dan bersyukur dengan rezeki yang diperolehi.

Lawatan tiga hari ini juga kita melihat ada dua pencapaian yang hebat. Pertama adalah mungkin tidak ada lagi bot nelayan Malaysia yang akan dibom kerana memasuki kawasan perairan bertindih. Agak menyedihkan apabila mahkamah Indonesia membuat keputusan mengebom bot nelayan negara asing semata-mata mahu menunjukkan azam mereka memerangi pencerobohan. Keputusan lebih bijaksana adalah merampas dan mengenakan denda kepada nelayan yang menceroboh. Bot yang dirampas ini boleh dimiliknegarakan dan dijadikan alat untuk pendidikan dan sebagainya. Sementara wang denda dapat dijadikan sebagai pendapatan negara. Malangnya pemimpin negara itu gagal melihat pendekatan ini sebagai positif sebaliknya memusnahkan bot lebih baik.

Pencapaian kedua adalah berkaitan usaha Proton untuk membangunkan kereta nasional Indonesia. Indonesia pernah berusaha untuk mencipta kereta sendiri yang diberi nama ‘Timur’ ketika era pemerintahan Suharto. Namun krisis ekonomi serantau menguburkan kereta ini. Kini Indonesia berbangga dengan pengeluaran kereta Toyota, Honda, Nissan dan Kia tanpa berfikir bagaimana mereka boleh mengeluarkan kereta nasional sendiri. Yang mendapat untung adalah syarikat kereta Jepun dan Korea. Justeru, kesediaan Jokowi mendapatkan khidmat Proton adalah langkah pemulaan yang baik supaya industri automatif negara itu terus berkembang.

Pemikiran Jokowi tidak dipersetujui oleh sesetengah pemimpin Indonesia yang berfikiran sempit seperti Sofyan Wanandi, Ketua KADIN yang menyifatkan Proton sudah mahu muflis. Barangkali beliau tidak tahu bagaimana Proton bermula dan berkembang seperti hari ini. Persepsi muflis turut diutarakan oleh Nico Harjanto dari Populi Center Jakarta yang berkata ‘Mobil nasional sekarang ini tidak menjadi prioritas bangsa. Prioritas bangsa adalah memperbaiki sistem transportasi publik, bukan membantu perusahaan yang mau bankrap’. Ternyata kedua-duanya tidak mempunyai pengetahuan dan keinginan untuk tahu bagaimana industri automatif nasional dapat membawa keuntungan kepada negara sendiri.

Selain daripada itu, peranan Tun Dr Mahathir juga penting. Mungkin Jokowi berasa takjub melihat pemimpin Malaysia ini yang masih lagi berusaha membangunkan Proton walaupun sudah berumur lebih 80 tahun. Dibawa oleh Dr Mahathir dalam Proton Iriz, Jokowi mungkin hairan bagaimana sebuah negara kecil seperti Malaysia dapat menghasilkan sebuah kereta yang hebat. Kehadiran Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang duduk di belakang juga memberi impak yang besar ke atas bentuk dan kaedah komunikasi berpengaruh. Ahmad Zahid boleh cakap Jawa dan mungkin sebab itulah beliau diminta naik sekali supaya Jokowi lebih selesa.

Bermula seawal menjejakkan kaki ke KLIA, Malaysia sudah menyusun dan mengatur semua urusan dua hala secara terperinci. Negara itu memastikan setiap individu yang terlibat memberi impak yang maksimum untuk mencapai pelbagai matlamat. Maklum balas lawatan disifatkan sebagai berjaya khususnya agenda lawatan dan perbincangan yang bersesuaian dengan harapan kedua-dua belah pihak.

Selepas semua urusan selesai, kerja-kerja yang dirancang selepas ini hanyalah berbentuk operasi dan matlamat akhir adalah kedua-dua pihak akan mendpat manfaat sesuai dengan keadaan negara masing-masing.



No comments:

Post a Comment