Tuesday, February 03, 2015

Beri sokongan keluarga










Semasa berhenti membeli minuman di R&R Bukit Gantang, Perak hari isnin yang lalu, saya dengar bunyi siren ambulans yang bergerak laju di lebuh raya. Tidak ada syak apa-apa.

Sepuluh minit sebelum itu saya makan tengah hari di digerai kesukaan saya iaitu kedai makan bertentangan plaza tol Bukit Merah. Saya keluar plaza tol dalam pukul 12.27 tengah hari dan selesai makan pada puul 1.30 petang.

Perjalanan ke Putrajaya terasa lebih segar. Ketika bergerak menuju laluan Bukit Gantang-Taiping, saya perasaan ada dua buah kereta di tepi lebuh raya dengan salah satunya Proton Perdana berwarna hitam. Agak pelik juga kenapa kereta ditinggalkan disitu tanpa ada sesiapa.

Rupa-rupanya ada kes pembunuhan melibatkan seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah dikelar dan dikejarkan ke hospital. Pelajar perempuan ini cedera parah dan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar.

Suspek merupakan seorang lelaki yang bekerja di Melaka dan dikatakan telah mengambil mangsa di UiTM. Semasa berhampiran tempat kejadian, saksi mengatakan mereka nampak pertengkaran di dalam kereta dan kereta tersebut tiba-tiba berhenti. Suspek mengheret mangsa ke tepi jalan dan melarikan diri.

Keluarga mangsa dikatakan telah membuat laporan polis ke atas suspek empat tahun lalu kerana sering mengganggu mangsa.

Dalam kejadian ini, hubungan mangsa-suspek telah pun berakhir tanpa ada kegembiraan. Mangsa telah meninggal dunia dan suspek ditahan dan disiasat di bawah Skesyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.

Kisah begini amat menyedihkan. Bagaimana seorang lelaki sanggup membunuh seorang perempuan? Apa motifnya? Bagaimana ia boleh berlaku? Apa peranan keluarga?

Kepada pasangan muda yang menghadapi masalah dalam hubungan mereka, adalah lebih baik mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada keluarga dan kumpulan sokongan supaya masalah yang dihadapi dapat diselesaikan. Mengambil jalan penyelesaian sendiri mungkin menyebabkan sebuah tragedi.



No comments:

Post a Comment