Thursday, February 12, 2015

Lebih 23 kenderaan rosak tayar, terlanggar bongkah besi








Lebih daripada 23 kenderaan mengalami kerosakan tayar akibat terlanggar bongkah besi di Kilometer 264.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kenderaan itu terdiri daripada 18 buah kereta dan lima buah motosikal yang masih berada di tempat kejadian semasa pihak polis tiba, sementara yang lain dipercayai telah meneruskan perjalanan selepas menukar tayar mereka.

Kejadian berlaku antara pukul 6.15 pagi hingga 7.30 pagi.

Beliau berkata bongkah besi itu berukuran 80 sentimer panjang dan 15 sentimeter lebar dipercayai terjatuh daripada kenderaan lain.

Kes disiasat di bawah Peraturan 19 LN 166/59 (muatan jatuh dari atas kenderaan).
Sementara itu dalam kejadian lain, seorang warga emas cedera parah apabila kenderaan pelbagai gunanya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori kontena di Kilometer 235.9 lebuh raya sama dekat Rembau malam tadi.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa dikenali sebagai Ng Sam, 62, sementara tiga penumpangnya yang merupakan warga Myanmar cedera ringan. - BERNAMA

(Berita Harian, 12 Februari 2015)



No comments:

Post a Comment