Monday, November 03, 2014

Jalan yang lurus







Penulis: Kassim Ahmad
Tahun: 2014
Penerbit: Pekan Ilmu Publications Sdn Bhd, Ampang, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 492


Buku ini merupakan pancaran pemikiran Kassim Ahmad yang dikumpulkan dari beberapa makalah dan surat khabar. Artikel-artikel ini berjumlah 73, mungkin Kassim hendak menunjukkan umat Islam akan berpecah-pecah kepada 73 kumpulan.

Kassim Ahmad dikenali sebagai tokoh pemikir sastera dan falsafah yang kontroversi. Beliau juga menjadi pembicara agama yang sering mengundang masalah kepada ulama tradisional. Antara yang tidak lekang dari kontroversi adalah buku Hadis- Satu Penilaian Semula yang dianggap merosakkan pemikiran masyarakat Islam dan telah diharamkan.

Membaca semua artikel Kassim pasti membuatkan pembaca tidak senang duduk. Ada kelainan pada tulisannya. Setiap satunya membuatkan kita berfikir, bermenung dan membuat pentaksiran sendiri. Bagi pembaca yang sukakan kontroversi dan mencabar pemikiran, buku ini mengambil masa untuk dihabiskan.

Jalan Yang Lurus bukannya seperti buku “Ziglar on Selling” ataupun “7 Formula Individu Cemerlang” sebaliknya membuatkan kita menongkah idea yang dilontarkan. Contohnya Kassim bertanya “Bilakah kita boleh meletakkan tanggungjawab ke atas seseorang manusia bagi perbuatannya?” Selanjutnya Kassim bertanya, “Pada umur berapa pula Tuhan meletakkan tanggungjawab bagi perbuatan seseorang manusia?”

Kassim mengambil surah al-Ahqaf ayat 15 yang bermaksud, “...setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia...”

Kesimpulan Kassim adalah kebebasan beragama berlaku pada umur 40 tahun, bukan sebelumnya.

Banyak lagi kontroversi pemikiran Kassim seperti tahun berlaku kiamat. Beliau sangat yakin dengan Kod 19 yang mengatakan dunia akan berakhir pada tahun 2280 masihi atau tahun hijrah 1710, lebih kurang 260 tahun dari sekarang. Apakah pandangan ini boleh diterima?

Seterusnya Kassim melanjutkan pemikirannya dengan menyebut syurga dan neraka bukan tempat tetapi keadaan mental, emosi dan kejiwaan yang berlaku di dunia ini juga.

Meneruskan pembacaan helaian demi helaian menjadikan pembaca berubah tempat duduk, geleng kepala, muka berkeriut dan panas punggung, namun bagi pembaca yang berfikir, mereka akan menerima cabaran Kassim dan mencari dalil untuk menyanggah pemikirannya.


 
Post a Comment