Friday, November 14, 2014

Keputusan hakim yang mengejutkan







Rata-rata masyarakat Islam Malaysia tidak dapat menerima keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Undang-undang Syariah Negeri Sembilan berkaitan Seksyen 66 Enakmen bahawa golongan lelaki Islam berpakaian seperti wanita adalah jenayah dan tidak sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Dalam menghakimi kes berkenaan, dua daripada tiga hakim berbangsa Melayu.

Timbalan Perdana Menteri menyifatkan keputusan berkenaan sebagai luar biasa dan mengejutkan. Beliau juga berpendapat keputusan berkenaan memberi implikasi yang amat besar.

Penolakan Seksyen 66 disebabkan panel hakim berpendapat seksyen itu menafikan hak penghidap masalah identiti gender (GID) untuk bebas bergerak. Perayu dalam kes ini telah menyerahkan laporan perubatan yang mengesahkan mereka menghidap masalah itu di samping mempunyai kecenderungan untuk berpakaian seperti wanita kerana naluri dan identiti mereka sebenarnya adalah wanita.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan Penasihat Undang-undang Negeri Sembilan yang menyifatkan perayu-perayu menghidap masalah mental yang dianggap sebagai tidak masuk akal.

Golongan agamawan khususnya mufti menyelar keputusan panel hakim itu dengan merujuk kepada al-quran dan hadis. Pemimpin-pemimpin Islam pula menyifatkan perbicaraan kes berkenaan sebagai satu usaha pencerobohan terancang terhadap Mahkamah Syariah.

Pemimpin di Negeri Sembilan berkata kes itu amat penting kerana jika tidak ditangani dengan baik akan membuka kepada keadaan yang tidak baik kepada kesucian agama islam.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman mengingatkan lelaki yang menyerupai wanita atau sebaliknya merupakan perbuatan dilaknat Allah yang jelas menunjukkan perkara itu haram dalam Islam. Beliau menambah lagi dengan katanya, “Kalau lelaki menyerupai perempuan kita halalkan, ertinya kita telah menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah”.

Kedua-dua hakim yang berkenaan wajar merenungi kenyataan ini, “Hukumnya orang yang bercakap begitu, kalau dia sedar dia boleh syirik kepada Allah, dia boleh terkeluar daripada Islam kerana dia telah mengubah hukum Allah sertinya tidak memperakui peraturan Allah”.

Wajarlah mereka berdua sedar.

 

No comments:

Post a Comment