Tuesday, November 11, 2014

Komunikasi punca perpaduan rapuh









1.0 Pengenalan

Masyarakat di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum seperti kaum Melayu, Cina, Indi, Iban, Kadazan dan sebagainya. Setiap kaum menggunakan bahasa ibunda masing-masing ketika berkomunikasi sesama akum mereka dan ini merupakan sesuatu yang normal kerana apabila kita berkomunikasi, perkara yang penting adalah memastikan mesej yang hendak kita sampaikan dapat difahami oleh individu tersebut. Namun begitu, wujud masalah sekiranya dua individu yang berkomunikasi itu terdiri daripada kaum yang berlainan. Masalah yang dihadapai adalah berkaitan pemilihan bahasa yang menyukarkan mereka berkomunikasi dengan berkesan. Perpaduan kaum dapat disemarakkan apabila individu daripada berlainan kaum dapat berkomunikasi menggunakan satu bahasa yang mudah dan daripada komunikasi itu dapat digunakan sebagai batu loncatan untuk menyemarakkan perpaduan kaum.

Di Malaysia bahasa Melayu adalah bahasa yang umum digunakan dalam berkomunikasi sama ada individu tersebut terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India mahupun kaum pribumi. Mereka menggunakan bahasa Melayu apabila berkomunikasi dengan individu daripada kaum selain daripada kaum mereka sendiri.

1.1  Objektif

Objektif kajian ini adalah mengenal pasti faktor-faktor yang membawa kepada sebab berlakunya halangan komunikasi dalam kalangan etnik di Malaysia dan langkah-langkah menangani halangan komunikasi antara kaum.

2.0 Kajian Literatur

Kaum dari segi definisi adalah golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar; suku bangsa. Kaum juga boleh ditakrifkan sebagai perkataan lain bagi bangsa. Di sini dapat dilihat bahawa ada pihak lain yang mentafsirkan perkataan kaum itu sebagai bangsa tetapi di Malaysia kaum itu diketahui umum sebagai golongan orang daripada satu bangsa yang besar.

Komunikasi pula ditafsirkan sebagai satu proses perpindahan maklumat, perasaan, idea, dan fikiran seseorang individu kepada individu atau sekumpulan individu yang lain. Menurut Venderber dan Verdeber (1977), komunikasi adalah satu proses berkongsi makna melalui pengiriman dan penerimaan mesej secara sengaja dan tidak sengaja. Komunikasi merupakan satu proses penyampaian maklumat dari satu pihak (penyampai) kepada satu pihak yang lain (penerima). Komunikasi juga dilihat sebagai ejen yang menyebabkan terpupuknya persefahaman dan menjadikan sesebuah bangsa itu harmoni jika kita mengelakkan berlakunya pertikaman lidah dan sentiasa menggunakan bahasa yang elok ketika berkomunikasi.
           
Perpaduan pula merujuk kepada sifat sesebuah kumpulan yang akrab dan tidak dapat dipisahkan. Perkara ini juga merujuk kepada sifat apabila lebih daripada dua kaum itu berbaik dan tidak mencetuskan pergaduhan serta menolong dalam apa-apa hal jua di antara satu sama lain. Perpaduan adalah satu perkara yang penting dalam memupuk dan membentuk sebuah negara yang berstatu-padu serta jauh dari sengketa antara kaum. Perpaduan juga boleh menjadi satu ejen pemangking yang akan menggerakkan sesebuah negara untuk menghindari peperangan dan menjauhi perpecahan kaum dan politik.

Kegagalan merujuk kepada sifat atau keadaan di mana sesuatu perkara itu tidak menjadi atau berjalan seperti yang kita jangkakan dan membawa kepada musibah.

2.1 Jenis Halangan Komunikasi

Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang terdiri daripada pelabagai kaum yang kaya dengan pelbagai kebudayaan, adat resam dan perayaan. Kita juga hidup dalam masyarakat yang berkomunikasi menggunakan pelbagai bahasa contohnya bahasa India, Mandarin, Melayu, Inggeris dan lain-lain dalam kehidupan seharian kita sama ada kita berkomunikasi dengan keluarga atau rakan-rakan.

Kebelakangan ini, masalah komunikasi semakin menjadi satu masalah yang sukar dielakkan kerana apabila kaum yang berlainan seperti kaum Cina dan kaum Melayu ingin berkomunikasi, mereka dilihat menghadapi kesukaran kerana komunikasi antara mereka sedikit terbatas kerana sesetengah faktor. Masalah ini boleh dibincangkan dengan lebih lanjut mengenai halangan komunikasi yang wujud antara kaum dan kita boleh meletakkan sebab musabab yang sesuai akibat kerana wujudnya kemelut ini.

Jenis halangan komunikasi yang wujud di antara kaum boleh disifatkan dalam beberapa sebab. Sebab atau jenis halangan yang wujud boleh dilihat berserta penerangan seperti jenis pilihan bahasa dalam komunikasi. Apabila dua individu yang berlainan kaum berkomunikasi, mereka akan secara automatik akan memilih bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar atau bahasa yang umum untuk digunakan dalam komunikasi harian mereka. Namun begitu, kita mengetahui bahawa kaum Melayu sudah pastinya tidak mengalami masalah jika berkomunikasi dalam bahasa Melayu kerana itu adalah bahasa ibunda mereka. Namun, lain pula halnya bagi kaum Cina atau India kerana mereka mungkin sering berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka apabila mereka berada di rumah. Hal yang sama juga mungkin berlaku apabila individu daripada kaum india ingin berkomunikasi dengan individu daripada kaum Cina, mereka akan memilih bahasa Inggeris kerana bahasa ini lebih difahami dengan baik oleh kedua-dua individu tersebut. Oleh itu, dapat dilihat bahawa jenis pilihan bahasa dalam komunikasi turut menyumbang dalam halangan komunikasi yang berlaku antara kaum di Malaysia.

Ketika menggunakan bahasa Melayu dalam komunikasi, kaum Melayu tidak dapat mengelak daripada menggunakan loghat atau ‘slang’ yang sudah terbiasa dicampurkan ke dalam bahasa Melayu bagi setiap daerah.  Hal ini dilihat semakin menyukarkan komunikasi antara kaum dan secara tidak langsung turut menyumbang kepada kurangnya terpupuk perpaduan di antara kaum di Malaysia. Bagi kaum Melayu masalah penggunaan loghat di dalam komunikasi harian mereka tidak menjadi masalah di dalam komunikasi, namun bagi kaum selain yang biasa menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi mereka akan berasa kurang faham apabila penggunaan loghat digunakan ketika berkomunikasi dengan mereka. Hal ini kerana kaum yang jarang menggunakan bahasa Melayu dalan kehidupan seharian mereka seperti kaum India dan kaum Cina, mereka kurang biasa mendengar loghat digunakan dalam komunikasi kerana mereka hanya mengetahui bahasa melayu secara umum seperti yang diajar di sekolah kebangsaan yang mereka sertai.

Hal ini biasa terjadi dalam kalangan kaum di Malaysia. Hal ini kerana mereka memikirkan bahawa apabila kaum berlainan, maka komunikasi antara mereka adalah akan menggunakan bahasa Melayu atau mereka menyangka individu tersebut tidak faham akan perkara yang akan mereka katakan. Hal ini juga sedikit sebanyak akan menghalang komunikasi antara kaum di Malaysia daripada berlaku dan sekal igus turut menghalang perpaduan dan penyatuan kaum di Malaysia. Ini bermakna komunikasi antara kaum itu tidak berlaku kerana apabila bahasa berlainan maka setiap individu daripada berlainan kaum tidak mengambil inisiatif untuk mencuba berkomunikasi menggunakan bahasa lain misalnya seperti bahasa Melayu.

3.0 Metodologi

Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan dengan borang soal selidik sebagai instrumen. Sebanyak 40 orang responden telah dipilih dari tiga fakulti. Pengedaran soal selidik dilakukan dalam satu hari dalam kalangan responden. Sepanjang pengedaran soal selidik, responden telah memberi kerjasama yang sangat baik. Borang soal selidik diedarkan di asrama, pusat persatuan pelajar, perpustakaan, kafe kampus bandar dan bilik kuliah terpilih. Semua lokasi kajian ini dipilih kerana ia merupakan tempat tumpuan pelajar. Oleh itu ia memudahkan proses pemilihan responden yang terdiri daripada fakulti yang berbeza.

Dalam kajian ini populasi sasaran kami terdiri daripada pelajar-pelajar UTEM yang terdiri daripada tiga buah fakulti iaitu FTMK, FTK dan FKM. Terdapat lebih kurang 3000 orang pelajar di ketiga-tiga buah fakulti ini dan 40 orang responden yang dipilih ialah 20 orang daripada FTK, 10 orang daripada FKM dan 10 orang daripada FTMK.

Semua data yang dikumpul telah dikodkan dan disaring seterusnya dianalisis. Penyaringan data dijalankan bagi melihat ciri-ciri sebenar yang wujud sebelum  analisis dapat dijalankan.  Penyaringan data amat penting dalam memastikan  data yang dianalisis adalah tepat dan taburan normaliti yang diterima sebagai syarat penganalisisan teknik statistik inferensi (Coakes & Steed, 1999). Di samping itu, penyaringan juga dijalankan bagi mengenal pasti wujudnya “missing value” yang timbul akibat kegagalan responden dalam menjawab soal selidik yang diberikan dan seterusnya boleh menjejaskan analisis data. Data-data tersebut termasuklah latar belakang responden,pandangan responden, pengetahuan responden dan lain-lain.

4.0 Dapatan Kajian dan Cadangan

Seramai 40 orang respnonden telah terlibat dan mereka terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, India dan Cina serta beberapa kaum yang lain. Kesemua responden yng terlibat dalam soal selidik ini adalah dari pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka dari pelbagai fakulti.

Dapatan menunjukkan 13 responden Melayu menggunakan Bahasa Melayu, lapan responden Cina menggunakan bahasa Mandarin dan tujuh responden India menggunakan bahasa Tamil. Manakala lima responden kaum lain-lain menggunakan bahasa etnik sendiri dan bahasa Inggeris. Keseluruhan penggunaan bahasa Inggeris adalah 8 orang responden yang terdiri daripada pelbagai kaum, di mana penggunaan bahasa Inggeris adalah amat meluas kerana ideologi dan pengetahuan bahawa penggunaan bahasa Inggeris amat penting dalam pendidikan dan pekerjaan.

Dalam kesukaran berbahasa Melayu, majoriti responden tidak menghadapi masalah menggunakan bahaa itu. Purata daripada 40 orang responden, 28 orang responden tidak mengalami masalah atau kesukaran menggunakan bahasa Melayu. Selebihnya iaitu 12 responden menghadapi masalah atau kesukaran berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Walaupun begitu, responden ini masih mampu bertutur dan memahami bahasa Melayu dengan baik.

Kajian ini mendapati responden tidak menghadapi kesukaran ketika berkomunikasi dengan berlainan bangsa. Hal ini kerana kebanyakan responden tahu bagaimana bahasa yang sesuai untuk digunakan apabila berkomunikasi dengan kaum lain.  Seramai 17 responden mengatakan sukar bagi mereka berkomunikasi dengan berlainan bangsa.

Dapatan kajian juga menunjukkan 31 responden mengatakan mereka lebih kerap berkomunikasi dengan kawan serumah tanpa mengira kaum. Sembilan responden mengatakan tidak setuju kerana mereka tidak suka atau tidak tahu bagaimana ingin memulakan pergaulan di antara mereka.
                                                          
Dari segi penggunaan dwibahasa ketika bertutur dengan kaum lain, 31 responden menggunakan dwibahasa apabila bertutur atau berkomunikasi dengan kaum lain manakala sembilan responden tidak menggunakan dwibahasa apabila bertutur dengan kaum lain. Hal ini menunjukan bahawa penggunaan dwibahasa amat meluas kerana pemahaman mengenai sesuatu ayat atau perkataan yang kurang kerana kurangnya pengetahuan hasilnya dalam sesetengah bahasa tersekat menyebabkan adanya penggunaan bahasa lain dalam pertuturan dengan kaum lain.

Malaysia mempunyai banyak perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Hari Gawai dan lain-lain perayaan. Namun begitu, sedangkan perayaan-perayaan ini bukan sahaja disambut oleh kaum tertentu sahaja tetapi disambuti oleh semua kaum di Malaysia. Justeru, kaum-kaum di Malaysia mengadakan rumah terbuka.

Konsep rumah terbuka bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain tetapi juga dapat mengatasi masalah komunikasi antara kaum. Sebagai contoh, pada Hari Raya Aidilfitri, kaum Melayu mengadakan rumah terbuka, kaum-kaum di Malaysia dijemput ke rumah kaum Melayu. Semasa aktiviti rumah terbuka, kaum-kaum ini berkomunikasi dengan satu sama lain dengan menggunakan bahasa Melayu. Dari situ, mereka telah meningkatkan penggunaan bahasa semasa berkomunikasi dengan kaum lain. Setelah dapat berkomunikasi dengan kaum-kaum lain, maka tahap perselisihan antara kaum dapat dielakkan dan situasi tersebut membantu mencapai perpaduan yang lebih kukuh.

Kelab atau persatuan di sekolah atau Universiti yang dianggotai oleh pelbagai kaum.
Di sekolah atau universiti kita dapat lihat bahawa kebanyakan kelab dan persatuan dianggotai satu kaum sahaja. Situasi tersebut terjadi kerana ramai kaum memilih kelab atau persatuan yang anggotanya terdiri daripada komuniti sendiri. Apabila mereka berada dalam suasana yang kebanyakannya komuniti sendiri, mereka berasa selasa. Namun, situasi tersebut telah mendorong keruntuhan sikap perpaduan antara kaum. Apabila satu kaum di komuniti sendiri sahaja, mereka hanya bertutur dalam bahasa sendiri atau bahasa ibunda. Apabila mereka menjejak kaki ke dalam komuniti yang lebih luas yang terdiri daripada pelbagai kaum, mereka tidak dapat berkomunikasi dengan kaum lain. Fenomena tersebut telah mendorong ketidakfahaman apabila kaum lain sedang bertutur sekali gus mereka menjauhkan diri mereka. Justeru semangat perpaduan turut dihapuskan. Oleh itu, kelab atau persatuan di sekolah dan universiti harus dianggotai oleh pelbagai kaum supaya apabila sesuatu aktiviti dijalankan, semua kaum dapat berkomunikasi dengan satu sama lain, membincang sesuatu dan memahami satu sama lain.

Kita memahami bahawa kebanyakan anak-anak akan menggunakan bahasa ibunda semasa di rumah. Terdapat juga ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka bertutur dalam bahasa ibunda sahaja apabila di rumah. Oleh itu, anak-anak hanya dapat bertutur bahasa lain di sekolah atau universiti. Fenomena ini telah menyebabkan anak tersebut kurang menggunakan bahasa lain dan tidak faham bahasa lain. Justeru, anak tersebut secara tidak langsung akan menjauhi dirinya daripada kaum-kaum lain kerana anak tersebut tidak faham bahasa tersebut. Oleh itu. sebagai ibu bapa, meraka harus membenarkan anak mereka mempelajari bahasa lain atau belikan buku bahasa lain kepada anak mereka supaya anak mereka mempelajari bahasa lain. Ibu bapa juga harus sentiasa menggunakan bahasa lain apabila berkomunikasi dengan anak mereka supaya anak mereka dapat menguasai bahasa lain dan tidak akan menjadi satu halangan berkomunikasi apabila anak tersebut berada di luar rumah

5.0 Kesimpulan

Daripada hasil kajian, dapat disimpulkan bahawa kebanyakan kaum di Malaysia menggunakan bahasa Melayu apabila berkomunikasi dengan individu daripada kaum lain. Selain itu, didapati kebanyakan individu menggunakan bahasa Inggeris semasa komunikasi harian mereka bersama individu daripada kaum lain. Hal ini kerana timbulnya kesedaran pada zaman sekarang tentang kepentingan bahasa Inggeris dalam industri ataupun alam pekerjaan. Oleh itu, mereka berlatih dan mengasah kemahiran menggunakan bahasa inggeris di dalam komunikasi harian mereka bersama individu daripada kaum lain. Hal ini sekali gus menyumbang kepada peningkatan penggunaan bahasa Inggeris di dalam komunikasi harian antara kaum di Malaysia.

Komunikasi antara kaum itu penting dan hal ini sekali gus membawa kepada pentingnya perpaduan rakyat kerana ia adalah keutuhan dan keselamatan negara. Tanpa komunikasi dan juga bahasa yang umum untuk dipertuturkan dan yang mudah difahami oleh setiap kaum, adalah mustahil untuk kita memupuk perpaduan dan menjadikan Malaysia sebagai Negara aman damai, sejahtera serta makmur seperti yang kita nikmati hari ini. Kesimpulannya, resepi negara Malaysia boleh berjaya hingga ke hari ini ialah kerana masyarakatnya yang hidup aman damai, bersatu, bekerjasama dan saling hormat-menghormati.


Rujukan

Mansor Mohd. Noor, Abdul Rahman Abdul Aziz dan Mohamad Ainuddin Iskandar Lee (2006). Hubungan etnik di Malaysia.
Wan Hashim Wan The. (2011). Hubungan etnik di Malaysia.
Alo Liliweri. (2005). Prasangka dan konflik.
http://www.scribd.com/doc/21243661/MASALAH-KOMUNIKASI-PERTUTURAN
http://www.scribd.com/doc/36010348/Masalah-Bahasa-Dan-Komunikasi


MZ Zainudin, Mohammad Arsyad Kamarol Ariffin, Shahzlan Janawah, Muhammad Qutaibah Kamruldzaman, ‘Afief Jamaludin, Amirul Aqim Ahmad, Tan Zhao Yi, Muruges Sehran




No comments:

Post a Comment