Monday, November 17, 2014

Tuhan sedang menguji kita






 
Penulis: Ustaz Kazim Elias
Tahun: 2014
Penerbit: Karya Bestari Sdn Bhd, Shah Alam, Selangor.
Muka Surat: 317
 
Buku ini mengandungi enam topik kecil iaitu musibah mendidik kesabaran, tika ujian menyapa, tangisan dalam penjara kehidupan,, jagailah akhlakmu, cinta ini milik kita dan ujian mengajarku berbicara. Semua topik ini diisi dengan tajuk-tajuk kecil yang berbentuk cerita, pemberitahuan dan contoh-contoh yang berkaitan dengan pengalaman seharian kita.
 
Dalam tajuk "kezaliman itu mengajarku," buku ini disembahkan dalam bentuk cerita iaitu perbualan anak dengan ayah. Anak iaitu Adib dan Hanif membela burung dan memberitahu ayah mereka, Lebai Karim. Kisah ini berkaitan sifat terus-terang seorang ayah terhadap anak-anaknya supaya tidak membela burung dalam sangkar, sebaiknya dilepas bebas. Kisah ini sepadan dengan sesetengah masyarakat kita yang membela burung.
 
Bentuk pemberitahuan dan perkongsian banyak digunakan dalam buku ini. Contohnya berkaitan akhlak. Ustaz Kazim membawa maklumat tentang ciri-ciri akhlak mulia iaitu akhlak datangnya dari wajah sebagai terjemahan nilai-nilai terpuji seorang hamba yang sentiasa mematuhi suruhan Allah swt.
 
Saya mengambil kata-kata awal di kulit buku ini yang berbunyi begini.
 
"Bumi mana tidak ditimpa hujan, lautan mana tidak bergelora. Begitu juga kehidupan manusia. Tidak pernah sunyi daripada dugaan. Umpama pelangi yang punya pelbagai warna, begitulah ujian bagi setiap hamba. Ada yang diuji dengan ketaatan, kesakitan atau musibah. Ada juga perangkap yang menunggu kita menjadi mangsa".
 
Petikan dari surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu. Boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu".
 
 
 

No comments:

Post a Comment