Tuesday, November 18, 2014

Kajian pasaran resort di Melaka: kajian kes di d’Village Resort Melaka








1.0 Pengenalan

Perniagaan yang sebesar ini juga akan banyak memberi impak yang positif kepada masyarakat setempat dan negara kita. Masyarakat juga dapat bekerja di d’Village Resort Melaka bagi menambahkan pendapatan harian sekali gus dapat memajukan resort ini dengan memiliki pekerja yang ramai dan berkualiti. Dalam kajian kes ini, dapat diketahui dengan lebih terperinci tentang proses penubuhan dalam sesebuah perniagaan. Penubuhan yang lengkap bagi perniagaan tersebut akan menyebabkan keuntungan yang banyak dan memberi kebaikan-kebaikan kepada seluruh masyarakat dan negara. Dengan ini, negara akan lebih maju kerana dengan keuntungan resort ini akan menambahkan pendapatan negara. Negara akan dapat cukai daripada perniagaan d’Village Resort Melaka ini dan dapat memajukan negara di mata dunia. Perniagaan juga boleh diusaha dengan lebih lancar tanpa menghadapi kerugian dan rintangan yang serius.

Kami juga mendapati bahawa misi dan visi penubuhan juga dianggap penting dalam sesebuah perniagaan. Ia dapat membawa makna dari pelbagai segi dan pandangan.  Misi dan visi juga akan dijadikan sebagai salah satu slogan atau matlamat bagi sesebuah perniagaan untuk memajukan dan menjayakan perniagaan tersebut. Selain itu, pengurusan dalam sesebuah perniagaan juga merupakan faktor-faktor yang penting bagi menjayakan sesebuah perniagaan.

Pengurusan yang tersusun dan pentadbiran yang adil kepada pekerja-pekerja juga akan menarik minat pekerja untuk melaksanakan tugas masing-masing dengan bersungguh-sungguh tanpa sebarang perselisihan faham antara satu sama lain. Penubuhan yang sistematik juga tidak melupakan kebajikan dan hak-hak bagi pekerja-pekerja dalam sesebuah perniagaan.

Di samping itu, hal ini juga boleh mendidik dan memberi peluang untuk belajar teknik-teknik berkesan dalam berkomunikasi.

2.0 Latar Belakang Projek Pembangunan

Lokasi kajian ini bertempat di Ayer Keroh, Melaka. Resort ini berdekatan dengan Zoo Melaka, Tasik Ayer Keroh, Taman Buaya dan juga berdekatan dengan Pasar Raya Mydin. Jadi, kawasan resort ini sangat strategik kerana berdekatan dengan tempat-tempat pelancongan di Melaka yang terdapat ramai pelancong luar negara atau luar negeri yang boleh menginap di d’Village Resort Melaka. d’Village Resort Melaka mempunyai keluasan yang sangat luas iaitu kira-kira 10.6 hektar. Resort ini diketuai oleh pengurus operasi atau ketua syarikat yang mempunyai pengalaman dalam bidang penghotelan.

d’Village Resort Melaka telah ditubuhkan selama dua puluh tahun dan pelbagai cabaran dan dugaan dalam perniagaan telah ditempuhi dengan baik. Resort ini juga telah menempuhi pelbagai jatuh bangun dalam bidang penghotelan ini kerana terpaksa bersaing dengan pelbagai jenis resort sekitar kawasan di negeri Melaka ini. Resort ini merupakan resort yang pertama dibina di Melaka dan telah ditubuhkan pada Disember 1992. d’Village Resort Melaka telah dirasmikan pada 15 April 1993 oleh Mantan Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Resort ini dianugerahkan tiga bintang dan mampu juga bersaing dengan resort-resort yang lain yang ada di Melaka ini. Mantan perdana menteri berbangga dengan pembukaan d’Village Resort Melaka yang memenuhi ciri-ciri resort yang memenuhi citarasa pelanggan dan mampu maju pada masa akan datang. d’Village Resort Melaka ini juga dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera.

d’Village Resort Melaka ini mempunyai kawasan yang sangat luas. Resort ini mempunyai “ballroom” yang boleh menempatkan seribu orang pelanggan. “Ballroom” ini boleh dijadikan tempat persandingan atau perkahwinan dan juga seminar untuk pelajar-pelajar atau pekerja-pekerja. d’Village Resort Melaka mempunyai penginapan yang selesa bersesuaian dengan harga yang ditawarkan. Harga chalet dan hotel ini sangat berpatutan dengan keluasan tersebut.

Ramai pengunjung atau penginap d’Village Resort Melaka berpuas hati dengan harga dan juga layanan perkerja-pekerja resort yang sangat peramah dan baik. Makanan yang disediakan di d’Village Resort Melaka ini sangat sedap dan menarik. Ramai pengunjung atau penginap amat suka akan makanan yang disediakan di resort ini. d’Village Resort Melaka ini juga sesuai untuk diadakan seminar kerana resort ini mempunyai “ballroom” yang sangat besar.

Latar belakang para pekerja d’Village Resort Melaka ini adalah kebanyakan dari mereka berasal dari kawasan yang berdekatan dengan Ayer Keroh, Melaka. Terdapat sesetengah pekerja yang juga berasal dari negeri-negeri lain yang berhijrah ke Melaka untuk mencari pekerjaan. Pekerja yang berasal dari daerah lain di Melaka juga ada tetapi dalam bilangan yang sedikit. Pekerja-pekerja di d’Village Resort Melaka terdiri daripada pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke atas. Kebanyakkan pelajar-pelajar lepasan SPM ini dijadikan pekerja praktikal dengan diberikan bayaran alaun setiap bulan. Pekerja-pekerja yang bukan lepasan SPM ada juga bekerja di d’Village Resort Melaka dan kebanyakkan mereka bekerja sebagai penyambut tetamu, penunjuk arah dan sebagainya. Pekerja-pekerja yang bekerja di d’Village Resort Melaka sangat berpuas hati dan seronok bekerja di sini kerana pihak atasan sangat baik. Dengan memperoleh pendapatan yang agak lumayan, para pekerja susah untuk meninggalkan d’Village Resort Melaka untuk bekerja di resort yang lain.
                                                                                               
3.0 Operasi Resort

3.1 Objektif Penubuhan

Objektif penubuhannya adalah menjadi salah satu resort pelancongan yang terkenal di mata dunia. Objektif dan matlamat resort ini dapat dilihat dari misi dan visinya dalam mencapai matlamat mereka itu. Bagi d’Village Resort Melaka, misi utama mereka adalah menjadi resort milik bumiputera yang menepati hospitaliti dan memenuhi ciri-ciri seperti berikut:

·         A-Affordable Price
·         K- Kampung Atmosphere
·         D- Different
·         V- Versatile

d’Village Resort Melaka menawarkan harga yang berpatutan dan sesuai bagi semua pihak. Bagi mereka kepentingan dan keselesaan pelanggan amatlah dititikberatkan. Selain itu, d’Village Resort Melaka menyediakan suasana ala-ala kampung bagi mereka yang mencari kedamaian dan ingin lari dari hiruk pikuk suasana bandar. Resort ini berbeza dari resort yang lain dari segi lokasinya yang strategik, perkhidmatan yang cekap di samping harganya yang berpatutan. Resort ini juga mempunyai pemandangan flora dan fauna yang begitu indah sekali buat tatapan pengunjung.

d’Village Resort Melaka mempunyai visinya yang tersendiri untuk terus maju dalam bidang ini. Antara visi-visinya adalah Menjaga kebajikan semua pekerja d’Village Resort Melaka. Resort ini sangat mengambil berat akan hal-hal kebajikan para pekerjanya untuk memastikan mereka selesa dengan suasana bekerja dan dapat menjalankan tugas dengan efisien serta cekap. Dengan cara ini, semua pekerja suka dan seronok bekerja di d’Village Resort Melaka ini.

Visi d’Village Resort Melaka yang kedua dan ketiga adalah menaiktaraf produk supaya lebih bermutu. Produk–produk serta perkhidmatan yang ditawarkan di d’Village Resort Melaka sentiasa dinaik taraf mutunya untuk memenuhi kehendak serta standard yang dikehendaki oleh pelanggan. Membaik pulih dan membuat renovasi resort untuk bersaing dengan resort-resort yang lain. d’Village Resort Melaka sentiasa membaik pulih fasiliti-fasiliti mereka serta membuat renovasi bagi menarik pelanggan ke resort mereka. Segala renovasi yang dibuat mengikut gaya yang terkini dan disukai pelanggan.

Visi d’Village Resort Melaka yang keempat adalah strategi pemasaran yang efektif dan inovatif. Antara strategi pemasaran efektif yang dibuat adalah seperti menetapkan kadar bayaran penginapan yang berpatutan, menyediakan pelbagai jenis masakan antaranya masakan Melayu, Cina dan Barat dan juga menawarkan pakej yang sesuai sepanjang pelanggan menginap di resort mereka. Contohnya pakej bufet Ramadhan yang ditawarkan khusus sepanjang bulan puasa dan ‘steamboat’ untuk pelanggan.

Visi terakhir d’Village Resort Melaka ini adalah menjadi resort terkemuka di Melaka. Untuk menjadikan cita-cita ini kenyataan, maka d’Village Resort Melaka telah mengambil inisiatif sendiri iaitu dengan memastikan kebersihan resort dijaga dengan baik. Setiap hari semua kawasan dalam resort ini akan dibersihkan oleh para pekerjanya yang cekap dan mahir. Selain itu, d’Village Resort Melaka memberi layanan serta perkhidmatan yang cekap di samping harganya yang berpatutan.

Sekiranya matlamat, misi dan visi ini tercapai ia bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup diri sendiri malah turut memberi sumbangan kepada impak sosioekonomi masyarakat dan negara. Melalui resort ini, pelbagai masalah sosial dapat diselesaikan antaranya dapat menaiktaraf kehidupan masyarakat setempat, mengurangkan kadar pengangguran, menarik minat pelancong dalam dan luar negara serta memajukan kawasan sekeliling.

Pelaksanaan operasi di d’Village Resort Melaka diketuai oleh seorang pengurus resort. Pengurus resort berperanan menetapkan matlamat dan menentukan ia tercapai mengikut tujuan organisasi. Pengurus resort ini juga meneliti perkembangan dan peluang yang berlaku di persekitaran luaran supaya organisasi itu dapat menyesuaikan diri kepada perubahan yang berlaku.  itu. Dalam erti kata lain pengurus resort memegang peranan penting dalam carta organisasi kerana beliau merupakan tonggak utama pengoperasian.

Di bawah pengurus resort, terdapat beberapa bahagian jabatan yang diwujudkan untuk melancarkan lagi pengoperasian resort. Contohnya Bahagian Sumber Manusia yang berperanan mengurus urusan surat-menyurat dan menyelaras tugas-tugas pentadbiran, mengurus pembangunan sumber manusia, membuat perancangan dalam pembaharuan setiap bahagian, menyiap dan mengemaskini rekod-rekod kakitangan dan lain-lain lagi.

Bahagian pentadbiran pula berperanan mengendalikan surat keluar masuk, pengurusan mesyuarat, pengurusan sistem perkhidmatan kaunter dan pengurusan peralatan pejabat. Urusan perkhidmatan kakitangan merangkumi tugas-tugas mengemaskini rekod perkhidmatan, cuti, mengemaskini keputusan pergerakan gaji, mengurus hal-hal berkaitan pengisian jawatan dan hal-hal berkaitan dengan pemangkuan/penanggungan kerja.

Bagi bahagian pemasaran, mereka melakukan kerja-kerja penjualan dan/atau mempromosi barangan atau khidmat bagi sesebuah organisasi. Pengiklanan dan keputusan dalam penentuan harga juga dilakukan oleh bahagian ini. Pemasaran juga bertanggungjawab dalam memenuhi kepuasan hati pelanggan akan kehendak mereka dan juga untuk berhubung dengan pengendali operasi dan perekacipta. Bagi pembentukan produk baru, bahagian pemasaran, rekabentuk dan pengeluaran mesti bekerjasama dengan rapat bagi memastikan kejayaan implementasi perubahan dan penambahbaikan produk baru yang lebih diterima oleh pelanggan. Pemasaran juga berperanan untuk membekalkan maklumat atas pilihan pelanggan supaya rekabentuk baru dapat memenuhi kehendak dan bertepatan dengan ciri-ciri yang disukai atas bilangan yang sesuai dan kebolehhasilan (manufacturability) reka bentuk baru tersebut.

Bahagian dapur berperanan penting dalam pengoperasian sesebuah resort. Tanpa bahagian dapur operasi sesebuah resort itu tidak lengkap ibarat rumah tidak bertiang kerana dari bahagian dapurlah segala masakan serta menu yang terbaik disediakan dan dihidangkan kepada pelanggan. Satu hidangan yang menarik serta lazat mampu menarik hati pelanggan untuk terus berkunjung ke tempat tersebut.

Selepas organisasi lapisan pertama yang melakukan kerja-kerja pejabat, terdapat organisasi lapisan kedua yang melakukan kerja-kerja perkhidmatan seperti menyambut tetamu, housekeeping dan sebagainya. Bagi tugas penyambut tetamu di d’Village Resort Melaka dilakukan di kaunter hadapan mereka. Pelanggan disambut dengan senyuman serta layanan yang mesra daripada pekerja disitu. Segala kehendak pelanggan juga dilayani dengan pantas serta efisien oleh kakitangan d’Village Resort Melaka.

Housekeeping adalah salah satu jabatan yang mempunyai peranan yang sangat besar dalam menyokong usaha sebuah hotel atau resort sehingga dapat dikatakan bahawa fungsi housekeeping adalah salah satu jabatan yang bertanggungjawab terhadap kebersihan, keselesaan, keselamatan, bagi pengguna perkhidmatan hotel atau resort. Tugas-tugas pokok housekeeping di antaranya adalah:

·      Menjaga kebersihan seluruh kawasan hotel
·      Merawat dan memelihara inventori hotel
·      Mengatur peredaran linen
·      Memelihara dan merawat taman dan tanaman
·      Melaksanakan perkhidmatan di bilik-bilik
·       Melaksanakan pencucian linen, uniform dan pencucian pakaian tetamu

Bahagian makanan dan minuman atau ‘food and beverages’ dalam istilah Inggerisnya pula berperanan menawar pelbagai jenis aneka makanan serta minuman kepada pelanggan. Di sini pelanggan boleh memilih bermacam-macam jenis masakan yang ada seperti masakan Melayu, masakan Cina serta masakan Barat. d’Village Resort Melaka menggunakan konsep ‘stall’ bagi menarik minat pengunjung terutama pengunjung dari dalam negara ke resort mereka selain daripada bertukar menu setiap hari.

Lapisan terakhir dalam carta organisasi adalah penyelia dan juga pekerja-pekerja. Tugas-tugas penyelia merangkumi melatih, memecat, mengatur, dan menyelia pembantu, tukang cuci, dan kakitangan pengemasan lain, membeli atau mengawal pembelian bekalan, mengawal penyimpanan dan pengeluaran bekalan, menyelia kebajikan am dan tingkah laku individu dalam institusi. Bagi pekerja-pekerja bawahan, tugas-tugas mereka merangkumi menyapu atau memvakum, mencuci dan menggilap lantai, perabot, dan lekapan yang lain, mengemas katil, mencuci bilik mandi dan membekalkan tuala dan sabun serta barangan yang berkaitan, mencuci dapur secara amnya membantu dalam kerja-kerja dapur, termasuk membasuh pinggan mangkuk, bertanggungjawab mengendalikan pengurusan pembersihan resort, penginapan, menyelia dapur dan dewan makan, memeriksa bahan-bahan mentah dan peralatan dapur. Kebanyakan pekerja-pekerja yang bekerja di d’Village Resort Melaka merupakan penduduk tempatan dan bekerja secara sepenuh masa. Cuma kadang-kadang ketika waktu-waktu puncak seperti cuti sekolah barulah pekerja-pekerja separuh masa diupah untuk bekerja di situ.

Selain itu d’Village Resort Melaka melakukan pelbagai aktiviti sampingan tetapi tetap menjadikan penginapan sebagai fungsi utama. Contoh aktiviti sampingan yang dijalankan adalah menyajikan tempat yang ideal untuk menjalankan apa-apa acara seperti acara perkahwinan, seminar ataupun persidangan khas. Kemudahan untuk konvensyen termasuk sebuah dewan yang mewah dan tanpa tiang dengan kapasiti sehingga seribu tetamu juga turut terdapat di sini. Terdapat juga empat bilik tambahan dan ballroom yang dilengkapi dengan kemudahan audiovisual moden. d’Village Resort Melaka juga turut mempunyai kemudahan yang selesa seperti tempat letak kereta yang selamat dan luas, kolam renang, kafe, wifi dan kedai runcit untuk para pelanggan.

4.0 Kekuatan d’Village Resort

Setiap projek pembangunan yang dijalankan di Malaysia mempunyai kekuatan dan kelemahan tersendiri. d’Village Resort Melaka adalah termasuk dalam kategori industri pelancongan. Dewasa ini, industri pelancongan di Malaysia semakin pesat dan berkembang maju. Hal ini kerana rakyat Malaysia mengamalkan budaya melancong di negara sendiri. Kebanyakan rakyat lebih berminat untuk melancong di negara sendiri bersesuaian dengan Malaysia yang mempunyai pelbagai budaya dan identiti tersendiri bagi setiap negara seperti Melaka yang terkenal dengan bandar bersejarah manakala Terengganu pula terkenal dengan canting batik juga pulau-pulau yang cantik.

d’Village Resort Melaka terletak berdekatan dengan tempat-tempat menarik seperti Taman Botanikal, bersebelahan dengan jalan utama, dan Taman Buaya. Selain itu, resort ini juga mempunyai banyak kemudahan yang menyenangkan pelanggan seperti kawasan tempat letak kereta yang luas, mempunyai kemudahan wifi, kolam renang yang bersih, keselesaan di kafe, terdapat kedai runcit mini dan bilik penginapan yang banyak. Seperti yang kita tahu, industri pelancongan semakin berkembang lebih-lebih lagi di musim cuti sekolah. Maka, resort-resort banyak mendapat permintaan yang tinggi dari para pelanggan yang gemar melancong.

Promosi yang mantap juga merupakan salah satu kekuatan resort ini. Majalah City Explorer merupakan majalah yang banyak mempromosikan tempat-tempat penginapan yang menarik termasuklah d’Village Resort Melaka ini. Keistimewaannya adalah majalah ini akan diedarkan pada setiap taman perumahan yang berada di Melaka. Oleh itu, lebih mudah dan senang untuk orang ramai mengetahui tentang kewujudan tempat penginapan ini. Bahagian promosi bagi resort ini telah membuat satu laman sesawang untuk memperkenalkan resort ini kepada pelancong luar melalui sumber internet.

Bersesuaian dengan zaman teknologi yang semakin pesat, promosi melalui internet lebih mudah dan senang untuk pelancong luar mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kewujudan resort ini. Bak kata pepatah “dunia di hujung jari”. Dalam pada itu, resort ini juga menawarkan pakej-pakej lain selain daripada tempat penginapan sebagai fungsi utama. Pakej-pakej menarik seperti pakej seminar ditawarkan kepada sekolah-sekolah mahupun pejabat yang ingin mengadakan seminar kepada pelajar ataupun pekerja mereka. Kebiasaannya dalam bulan ramadan, resort ini menawarkan pakej bufet dan juga memberi harga yang istimewa pada hari-hari tertentu. Resort ini juga menyasarkan pelanggan yang datang dari semua golongan tanpa mengiraa golongan yang berpendapatan rendah atau sebaliknya. Resort ini sesuai kerana harga yang berpatutan, tempat yang bersih dan selesa serta makanan yang disediakan berkualiti dan dijamin halal.

5.0 Impak Sosioekonomi Kepada Masyarakat Setempat dan Negara

Setiap projek pembangunan yang dijalankan akan memberi impak dari segi sosioekonomi terhadap masyarakat setempat dan negara. Contohnya setiap bilik yang disewakan akan dikenakan cukai. Cukai yang dikenakan diberi kepada pihak kerajaan sebagai cukai kerajaan.  Cukai yang dikenakan ke atas rakyat bukan untuk kepentingan sendiri tetapi sebagai pusingan modal negara dalam mengimbangi kewangan negara supaya sentiasa dalam keadaan stabil. Oleh itu, cukai tersebut sedikit sebanyak dapat membantu kerajaan dalam menstabilkan ekonomi negara.

Selain daripada itu, projek pembangunan ini dapat membantu negara dalam memperluaskan sektor pelancongan ini kepada negara luar. Hal ini bagus kerana dapat membuka mata negara luar agar dapat mengenali Malaysia seterusnya menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara maju di dunia. Projek-projek pembangunan yang dijalankan contohnya d’Village Resort Melaka adalah salah satu cara ataupun kaedah untuk menarik pelancong luar agar datang melancong di negara Malaysia bukan sahaja sekadar melancong tetapi dapat memperkembangkan budaya masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai suku kaum dan etnik.

Sektor pembangunan ini juga memberi impak positif kepada masyarakat setempat. Antaranya adalah dapat memberi sumber pendapatan kepada pembekal-pembekal bahan mentah seperti pembekal telur, pembekal ayam, sayur-sayuran dan pembekal barangan perabot juga elektrik. Hal ini dapat membantu para pembekal semakin maju dalam perniagaan serta dapat memperluaskan perniagaan mereka. Kebiasaannya, projek pembangunan seperti resort ini mengambil pekerja yang berasal daripada tempat yang berdekatan seperti masyarakat setempat. Hal ini kerana memberi kemudahan kepada pekerja mereka untuk berulang alik ke rumah. Oleh itu, dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat mendapatkan pekerjaan yang menjamin masa hadapan. Disebabkan peluang pekerjaan yang menjamin masa hadapan maka para pekerja dapat menjana pendapatan yang lebih baik dan stabil. Kesan daripada itu juga dapat menaiktarafkan ekonomi sesebuah keluarga.

Kesan positif daripada sudut lain adalah dapat menjamin kesejahteraan sesebuah keluarga. Contohnya, sesebuah keluarga dapat meluangkan masa bersama di resort ini selain dapat menenangkan jiwa dan dapat keluar daripada kepompong aktiviti harian yang rumit. Oleh itu, impak yang positif banyak dipengaruhi oleh projek pembangunan ini.

6.0 Cadangan dan Potensi Masa Hadapan

Setiap perniagaan mempunyai perancangan di masa hadapan dalam menambahbaikkan lagi perniagaan yang sedia ada. Bagi d’Village Resort Melaka, mereka menaik taraf segala kemudahan yang sedia ada. Selain itu mereka juga mengharapkan bahawa resort ini dapat menyediakan perkhidmatan penginapan yang terbaik di seluruh negeri Melaka. Pihak resort juga mencari pelanggan tetap atau “regular customer” bagi menjamin masa depan resort ini.

Di samping itu, pihak d’Village Resort Melaka akan cuba menjadi resort bertaraf tiga bintang yang terbaik bukan sahaja di Melaka, malah di serata Malaysia. Pihak resort sedaya upaya memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan. Taraf layanan dinaik taraf supaya dapat memenuhi kehendak dan keperluan pelanggan. Pihak resort juga memastikan servis yang diberikan adalah berkualiti. Sehubungan itu, d’Village Resort Melaka juga berpotensi menjadi resort yang terbaik di seluruh Melaka bahkan di seluruh Malaysia. Dengan kedudukan yang strategik dan kawasan tumpuan pelancong, potensi kejayaan resort ini teramat besar. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi dan pembangunan negara dalam bidang penghotelan.

Pihak resort juga meningkatkan lagi perkhidmatan dan layanan kepada pelanggan. Para pekerja yang tidak mempunyai pengalaman akan diasuh dan diajar cara bagaimana hendak memuaskan kehendak pelanggan. Pelanggan perlu diutamakan dalam segala aspek, tidak kira dari segi keselesaan, kebersihan atau servis layanan yang diberikan. Pihak resort berusaha untuk memartabatkan lagi nama resort supaya setanding dengan nama-nama besar dalam dunia penghotelan. Tambahan pula, Malaysia sekarang semakin banyak dikunjungi oleh pelancong-pelancong luar negara, bukan sahaja mereka menetap di hotel untuk tidur dan sebagainya, malah mereka dapat mempelajari tentang budaya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini.

MZ Zainudin, Nursyafika Kamizi, Che Farha Nabila Che Mohd Noor, Michelle Wong Khai Shing, Nur Izzaty Muhamad Ridzuan, Siti Nurazeera Azli

No comments:

Post a Comment