Kemalangan jalan raya di lebuh raya utara
selatan dari Ayer Keroh ke Bangi boleh dikatakan kerap berlaku. Sama ada ke
utara atau ke selatan, kemalangan ini boleh berlaku di mana-mana tempat.
Biasanya antara Nilai dan Seremban kerana kenderaan yang banyak dan lorong
jalan yang sempit.
Petang ini saya bertolak dari Melaka pukul
empat dalam keadaan hujan renyai-renyai. Petang Jumaat biasanya banyak
kenderaan yang naik ke Kuala Lumpur. Menggunakan aplikasi waze, saya boleh tahu di mana kenderaan sesak dan berlaku
kemalangan.
Sepanjang jalan ke tol Kajang dan Putrajaya,
terdapat tiga kemalangan jalan raya.
Pertama, selepas susur keluar rehat dan rawat
Seremban di mana seorang penunggang motosikal tersandar di bumper kereta Perodua Kelisa berwarna biru. Motosikalnya sudah pun
terbabas di tepi jalan. Kenderaan berhimpit-himpit sepanjang laluan ini.
Pengguna lebuh raya yang prihatin dilihat mengurus trafik dengan
melambai-lambai kain meminta kenderaan diperlahankan. Ada tiga hingga empat
kenderaan yang berhenti untuk memberi bantuan. Kejadian ini mungkin baru
berlaku kerana ambulans belum lagi tiba walaupun saya ada mendengar bunyi
siren.
Kedua, betul-betul di sebelah tiang AES Bangi
berhampiran KLIUC. Sebuah kereta Proton Iswara masuk longkang. Kereta ini
terbongkah dengan keempat-empat tayar berada di atas. Ketika saya melalui
tempat ini, pemandunya duduk bertingkuh melihat keretanya. Barangkali beliau
berada dalam keadaan panik dan trauma. Dua buah motosikal berhenti untuk
melihat kereta berkenaan di samping sebuah pick-up
juga sudah berada di situ.
Ketiga, kemalangan yang melibatkan sebuah
kereta Proton Saga berwarna hijau yang menuruni selekoh di Presint 11
Putrajaya. Kemalangan ini menyebabkan laluan berkenaan sesak lebih-lebih lagi
dengan kehadiran kenderaan FRU yang mungkin baru menamatkan tugas di Mahkamah
Persekutuan. Beberapa kenderaan berwarna merah membawa anggota FRU turut
tersangkut di laluan ini. Hujan renyai-renyai mungkin menyebabkan jalan licin
dan pemandu tidak dapat mengawal kenderaan.
Tiga kemalangan ini menjadi contoh bagaimana
sistem jalan raya di negara kita berfungsi.
Lebuhraya Utara Selatan sedang dinaik taraf
menjadi lapan lorong. Di kiri dan kanan lorong-lorong ini diletakkan
bongkah-bongkah yang memisahkan antara jalan sebenar dengan jalan tambahan.
Lorong untuk penunggang motosikal tidak disediakan dan mereka perlu berkongsi
laluan dengan lori, treler, kereta, bas dan van. Tidak hairanlah sepanjang
perjalanan saya, penunggang motosikal lebih kerap menjadi mangsa kemalangan.
Lebuh raya ini juga tidak disenggara dengan
sempurna kerana banyak permukaan jalan yang mula berlubang dan
bertampal-tampal. Di laluan jambatan, proses menutup ruang yang menyambung
antara jambatan tidak dilakukan dengan ikhlas menyebabkan ruang berkenaan
kembali berlubang, semakin lama semakin besar. Keadaan ini tidak dihiraukan
oleh pihak lebuh raya. Pengguna perlu tunggu beberapa tahun lagi untuk melihat
sambungan pada ruang berkenaan ditutup dengan sempurna. Ruang berlubang ini
lebih kerap di laluan Seremban-Pedas-Simpang Ampat.
No comments:
Post a Comment