Monday, November 24, 2014

Quran saintifik







Penulis:  Dr Danial Zainal Abidin
Tahun: 2014
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd, Batu, Caves, Selangor.
Muka Surat: 294


Sains dan Islam tidak dapat dipisahkan. Hal ini disebabkan umat Islam disuruh Allah untuk mengkaji rahsia alam semesta secara sistematik. Dalam surah Al-Ghasiyah ayat 17 hingga 20, Allah menyatakan yang bermaksud, “Apakah mereka tidak melihat kepada unta bagaimana ia diciptakan. Dan langit  bagaimana ia ditinggikan. Dan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan”.

Malah lebih daripada itu, Allah memuliakan golongan yang suka mengkaji alam dan menggelar mereka sebagai ulul albab. Dalam surah Ali Imran ayat 190 hingga 191 Allah menjelaskan yang bermaksud, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi ulul albab. (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri ataupun duduk ataupun dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi kemudian berkata, “Wahai Tuhan kami, kamu tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha suci engkau, maka peliharakanlah kami daripada seksa neraka”. Ulul albab adalah golongan yang menggunakan akal dengan sempurna untuk mengkaji sehingga mampu meletakkan segala perkara pada perspektifnya yang betul.

Buku ini ditulis untuk menunjukkan tentang betapa hebat dan agungnya Al-Quran. Ia tidak ditulis untuk mengagungkan sains. Cuma dalam usaha untuk mengagungkan Al-Quran, penulis memanfaatkan sains dalam batas-batas yang diizinkan. Namun ayat yang berkaitan dengan sains adalah pelbagai dan buku ini hanya memberi fokus kepada tiga aspek iaitu asal-usul kejadian alam, kejadian manusia dan tujuan hidup manusia.

Bahagian terpenting yang perlu dibaca ialah bahagian awal buku ini kerana ia membicarakan tentang metodologi menghubungkaitkan Al-Quran dengan sains.

 

No comments:

Post a Comment